VaultSafeUall

Sunday 31 July 2011

BELUM ADA LAPORAN NEGATIF BIOBAHAN API B5

Sejak biobahan api B5 dilancarkan 1 Jun lepas, belum ada sebarang laporan mengenai kesan negatif hasil penggunaaannya.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Hamzah Zainudin berkata kementerian itu melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), telah melakukan pemantauan secara berkala dengan mengambil dan menguji sampel dari stesen minyak yang terlibat.

"Ujian mendapati biobahan api B5 tersebut berada pada paras yang sepatutnya dan sesuai untuk kegunaan kenderaan diesel," katanya kepada pemberita selepas pelancaran program B5 peringkat Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Negeri Sembilan merupakan negeri ketiga melaksanakan program B5 untuk sektor pengangkutan, selepas Putrajaya pada 1 Jun, yang melibatkan enam stesen minyak, serta di Melaka pada 1 Julai lepas, yang melibatkan 107 stesen minyak.

Katanya mulai Isnin, diesel yang dibekalkan kepada 156 stesen minyak di Negeri Sembilan mengandungi adunan biodiesel sawit.

"Mulai 1 Sept nanti, kita akan adakan program yang sama di Kuala Lumpur yang melibatkan 247 stesen minyak dan 1 Okt depan di Selangor sebanyak 634 stesen minyak. Ini bermakna setakat tahun ini sebanyak 1,150 stesen minyak di Wilayah Tengah menggunakan B5.

"Ini menunjukkan kita sudah pun mencapai satu angka yang boleh kita banggakan, walaupun ia agak kecil jika mengambil kira keseluruhan negara. Walaupun pada masa ini kita minta supaya kenderaan milik kerajaan menggunakan B5, ini tidak bermakna kita tidak menjemput "orang luar" menggunakan B5 berdasarkan banyak kebaikan menggunakan B5 ini.

"Alhamdulillah, kepada mereka yang telah menggunakan B5 dari Jun hingga hari ini, belum ada satu aduan pun berkenaan dengan penggunaan B5 dalam negara ini. Ini akan memberikan satu lagi cerita yang baik untuk negara kerana Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa beliau mahu kurangkan pengeluaran karbon dalam negara, sekurang-kurangnya menerusi penggunaan B5 ini," katanya.

B5 merujuk kepada penggunaan adunan 5 peratus metil ester sawit dengan 95 peratus diesel petroleum.

Hamzah berkata kajian menunjukkan bahawa penggunaan biodiesel sawit menyumbang kepada pengurangan sebanyak 50 peratus pelepasan gas rumah hijau berbanding diesel fosil.

"Biodiesel juga dapat meningkatkan prestasi enjin dan seterusnya menyumbang kepada pelepasan asap kenderaan yang lebih bersih," katanya.

Katanya program B5 ini tidak memberi implikasi kenaikan harga minyak memandangkan kerajaan akan terus menyediakan subsidi bagi memastikan harga runcit biobahan api B5 ini pada kadar yang sama dengan harga diesel petroleum.

Katanya sejak Februari 2009, penggunaan B5 telah dilaksanakan oleh agensi kerajaan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melibatkan 3,900 buah kenderaan berenjin diesel, dan sehingga kini, tiada sebarang laporan mengenai kesan negatif hasil daripada penggunaan B5.

Katanya Eropah dan Amerika Syarikat telah memperkenal penggunaan adunan biodiesel dengan diesel sejak awal 2000-an.

"Negara Thailand telah melaksanakan adunan B2 (2 peratus biodiesel dalam diesel) secara mandatori bermula April 2008. Selain itu, Filipina telah mewajibkan penggunaan adunan B1 (1 peratus biodiesel dalam diesel) sejak Mei 2007. Mulai tahun 2006, Indonesia telah menggunakan B5 di bandar dan daerah terpilih," katanya.

Saturday 30 July 2011

TERENGGANU TIMBANG PERMOHONAN PERWAJA

Kerajaan Negeri Terengganu sedia menimbang bagi memberi kelulusan kepada Perwaja Holdings Berhad untuk melombong bijih besi di Bukit Besi, Dungun bagi kegunaan syarikatnya.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, berkata kerajaan Terengganu akan memberi kerjasama kepada Perwaja untuk menjalankan kerja-kerja mengeluarkan bijih besi bagi kegunaan kilang barunya di Kemaman.

"Kita sedia bekerjasama dengan Perwaja untuk mengeluar dan memproses bijih besi berkenaan dengan syarat Perwaja perlu memenuhi syarat iaitu 60 peratus pekerjaan diberi peluang kepada anak tempatan.

"Mengikut kajian yang dijalankan selepas kerja-kerja melombong bijih besi oleh British sehingga 1971, masih terdapat lagi kira-kira 50 juta tan metrik bijih besi bermutu tinggi di kawasan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan upacara pecah tanah Loji Concentration and Pelletizing Perwaja bersebelahan Perwaja Steel di kawasan perindustrian Telok Kalong di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Perwaja Holdings Berhad Tan Sri Abu Sahid Mohamed.

Perwaja Holodings Berhad melabur RM400 juta bagi membina loji berkenaan yang mampu mengeluarkan sebanyak 1.2 juta tan metrik besi pilet bagi fasa pertama tahun depan dan 2.4 juta tan metrik bagi fasa kedua pada 2013.

Loji Consentration and Pelletizing merupakan logi pertama di Asia Tenggara, dijangka siap pada Ogos atau September tahun depan dengan mampu menyediakan peluang pekerjaan sehingga 3,000 orang.

Katanya, selain Perwaja, terdapat beberapa syarikat lain memohon untuk menjalankan kerja melombong di Bukit Besi, tetapi sehingga ini kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan.

Ahmad berkata selain bijih besi di Bukit Besi, terdapat beberapa kawasan lain seperti di daerah Kemaman yang dipercayai mengandungi kira-kira 25 juta tan metrik bijih besi yang masih belum diusahakan.

Sementara itu, Abu Sahid berkata, sebelum ini Perwaja mengimpot bijih besi daripada beberapa negara luar seperti Brazil, Sweden dan lain-lain bagi kegunaan kilangnya.

Beliau berkata dengan persetujuan kerajaan negeri untuk membenarkan Perwaja mengeluarkan biji besi di negeri itu, syarikat akan dapat menjimatkan kos operasi.

"Dengan persetujuan kerajaan itu, kita akan menggunakan sepenuhnya bijih besi dari Terengganu untuk operasi loji baru kita di Kemaman ini," katanya.

SABAH DAPAT RM13.56 BILION DARIPADA MINYAK SAWIT

Sabah meraih pendapatan bernilai RM13.56 bilion daripada 5.136 juta tonne minyak sawit yang dihasilkan tahun lepas, sekali gus muncul sebagai penggerak pertanian utama dan peyumbang penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata sektor minyak sawit yang sememangnya kukuh dan berdaya tahan, juga dijangka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara dalam tempoh beberapa dekad akan datang seperti yang dibayangkan oleh Model Ekonomi Baru dan Bidang Ekonomi Utama Negara.

"Sabah pernah bergantung kepada perkayuan tetapi perkembangan ekonomi menyaksikan penglibatan pertanian dengan fokus kepada minyak sawit.

"Hari ini, bagaimanapun senario itu telah berubah sama sekali. Dengan 1.4 juta hektar, Sabah telah menjadi negeri minyak sawit terbesar di dalam negara dengan menguasai 31 peratus daripada pengeluaran minyak sawit negara," kata beliau dalam ucapannya di majlis makan malam ulang tahun ke-10 Lembaga Minyak Sawit Malaysia-Sabah di sini malam Sabtu.

Ucapannya dibaca oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Peter Pang En Yin.

Musa berkata kerajaan negeri sememangnya sedar mengenai cabaran dan masalah yang dihadapi oleh industri.

"Di dalam negara, cukai, levi dan fi dan baru-baru ini kenaikan kos bahan bakar telah meningkatkan kos pengeluaran dengan ketara.

"Kekurangan buruh merupakan satu lagi masalah yang menyebabkan ladang tidak boleh melaksanakan penyenggaraan dan penuaian seperti kebiasaan," kata beliau.

Musa berharap pembukaan kerja-kerja perladangan kepada warga asing selain dari Indonesia dan Filipina seperti yang diumumkan kerajaan Januari lepas akan menyediakan kelegaan sementara dan mengurangkan masalah kekurangan pekerja di masa penuaian.

Friday 29 July 2011

RIZAB ANTARABANGSA BNM RM407 BILION

Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM407 bilion pada 15 Julai, 2011, memadai untuk membiayai 9.7 bulan import tertangguh dan merupakan 4.5 kali hutang luar negara jangka pendek.

Dalam satu kenyataan mengenai perkembangan monetari dan kewangan bagi Jun, BNM berkata ringgit pada umumnya menyusut berbanding mata wang rakan dagangan utama Malaysia.

"Penyusutan ini sejajar dengan mata wang serantau lain, mencerminkan penghindaran risiko global yang semakin ketara di tengah-tengah kebimbangan terhadap krisis hutang kerajaan yang semakin meruncing di zon euro dan prospek ekonomi global yang berterusan tidak menentu," katanya.

BNM berkata pada Julai, ringgit mencatatkan prestasi bercampur-campur.

"Ringgit menambah nilai berbanding dengan dolar AS, euro dan renminbi China, namun menyusut nilai berbanding yen Jepun dan dolar Singapura," katanya.

Ia berkata kadar antara bank stabil pada Jun.

Dari segi kadar runcit, kadar pinjaman asas (BLR) purata bank perdagangan tidak berubah pada 6.54 peratus pada akhir bulan Jun, katanya.

Kata BNM dalam tempoh 5-7 Julai 2011, kadar purata antara bank semalaman adalah lebih rendah dan hampir kepada kadar terendah koridor kadar dasar semalaman (OPR).

"Ini disebabkan terutamanya oleh minat luar biasa yang ditunjukkan oleh peserta pasaran terhadap simpanan jangka pendek dengan BNM menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari," katanya.

Mudah tunai sektor swasta yang diukur oleh wang secara luas (M3), berkembang pada kadar tahunan yang lebih tinggi iaitu 12.4 peratus pada Jun.



"Peningkatan dalam M3 mencerminkan pemberian kredit oleh sistem perbankan kepada sektor swasta dan aliran masuk portfolio, katanya.

Ia berkata pembiayaan bersih kepada sektor swasta meningkat sebanyak RM24.1 bilion pada Jun, didorong oleh terbitan sekuriti hutang swasta (PDS).

"Terbitan PDS mweningkat disebabkan oleh beberapa terbitan yang besar, terutamanya oleh sektor bekalan elektrik, gas dan air, serta kerajaan dan perkhidmatan lain," kata BNM.

BNM berkata meskipun pinjaman terkumpul kepada sektor perniagaan dan isi rumah adalah lebih sederhana berbanding bulan sebelumnya dan ini disebabkan oleh pembayaran balik yang besar oleh sektor bekalan elektrik gas dan air, perkilangan; dan kewangan, insurans dan perkhidmatan perniagaan.



Sementara itu, katanya, permintaan terhadap pinjaman kekal kukuh dengan permohonan pinjaman yang lebih tinggi terutamanya daripada sektor perniagaan.

Permodalan sistem perbankan terus kukuh dengan nisbah modal wajaran risiko (RWCR) dan nisbah modal teras (CCR) masing-masing pada 13.9 peratus dan 12.3 peratus, kata Bank Negara.

Thursday 28 July 2011

BERNAS LANCAR SECUPAK BUDI, SEPENUH HATI

Padiberas Nasional Bhd (Bernas) akan membelanjakan RM12 juta setahun bagi kempen "Secupak Budi, Sepenuh Hati" untuk diberikan kepada anak-anak yatim seluruh negara.

Di bawah kempen itu, yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin Khamis, Bernas akan mendermakan 25 gram beras untuk setiap 10kg pek beras Bernas yang dibeli oleh rakyat Malaysia di mana-mana cawangan runcit seluruh negara.

Beras itu akan disedekahkan kepada anak-anak yatim di rumah anak yatim.

Pengerusi Bernas, Datuk Wira Syed Abdul Jabbar Syed Hassan berkata daripada RM12 juta, RM5 juta akan dibelanjakan untuk beras yang dibeli oleh rakyat Malaysia dan RM7 juta untuk pengiklanan dan promosi.

Bernas mensasarkan 150 anak yatim dari pelbagai bangsa dan ugama untuk mendapat manfaat daripada kempen itu.

Proses pemilihan akan dijalankan secara berterusan dari masa ke semasa sehingga jumlah sasaran anak yatim dicapai.

Selain daripada jenama Bernas, kempen itu akan turut disertai oleh beberapa unitnya iaitu Jasmine Food Corp, Serba Wangi Sdn Bhd dan Era Bayam Kota Sdn Bhd di Semenanjung Malaysia sementara di Sabah dan Sarawak oleh Sabarice Sdn Bhd, Sazarice Sdn Bhd dan Liansin Trading Sdn Bhd.

Kesemua Bernas dan jenama beras yang menyertai yang dijual di kedai-kedai akan ditandakan dengan pelekat "Secupak budi, Sepenuh Hati".

Pembelian pek beras 2kg, 5kg atau 10kg akan menjuruskan kepada pendermaan beras kepada anak-anak yatim bagi pihak pengguna.

Syed Abdul Jabbar berkata kempen akan berjalan selama tiga hingga empat tahun dan akan disemak semula selepas itu.

Wednesday 27 July 2011

ENAM SYARIKAT DISENARAI DI BAWAH SJJB

Enam syarikat Bumiputera, dengan gabungan permodalan pasaran hampir RM1 bilion, disenaraikan di Bursa Malaysia di bawah Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) kerajaan, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Syarikat keenam ialah Prestariang Bhd yang memulakan dagangan sulung di Pasaran Utama Rabu.

"Kami mempunyai 20 syarikat dalam perancangan (untuk disenaraikan) dalam tempoh dua tahun akan datang. Kami boleh dapat kira-kira 10 syarikat pada akhir tahun ini dan tahun depan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyenaraian Prestariang.

Turut hadir ialah Pengerusi Prestariang Datuk Ramli Abbas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Abu Hassan Ismail.

Awang Adek berkata baki syarikat yang akan disenaraikan di bawah skim itu terlibat dalam pelbagai sektor termasuk teknologi maklumat (IT), bioteknologi, pembuatan serta minyak dan gas.

Penyedia perkhidmatan teknologi komunikasi maklumat, Prestariang, memulakan dagangan sulung di Pasaran Ace pada diskaun setengah sen pada 89.5 sen berbanding harga tawaran 90 sen dengan 3.75 juta saham diniagakan.

Abu Hassan menjangka syarikat itu menggandakan nilai perolehan kontrak sebanyak RM145.29 juta pada akhir tahun, dengan projek-projek yang akan dilaksanakan sehingga 2014.

Mengenai rancangan Prestariang, beliau berkata syarikat tersebut berharap dapat menembusi Timur Tengah bagi meningkatkan jumlah pelanggannya dari rantau itu menerusi perjanjian perkongsian.

Kumpulan Modal Perdana Sdn Bhd, anak syarikat Kementerian Kewangan Diperbadankan, memiliki kira-kira 10 peratus pegangan dalam Prestariang.

Ditubuhkan pada 2003, Prestariang menyediakan latihan ICT asas dan profesional serta pengedaran lesen perisian dan perkhidmatan pengurusan.

Ia menawarkan 40 kursus persijilan daripada pelbagai vendor perisian dan teknologi seperti Microsoft, IBM, Oracle, CompTIA, Autodesk dan Adobe.

Monday 25 July 2011

PROTON AKAN NILAI SEMULA VENDORNYA

Proton Holdings Bhd akan menilai semula vendornya di dalam usaha untuk mempersiapkan kilangnya untuk mengeluarkan model kereta globalnya, yang dijangka menembusi pasaran awal tahun hadapan.

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata penilaian yang lebih ketat akan dilakukan terhadap vendor Proton bagi meminimumkan tahap kecacatan model kereta barunya.

"Buat masa ini, kami telah mengenal pasti 20 dari 108 vendor Proton untuk model kereta terbaharu kami.

"Terdapat juga sesetengah vendor yang akan digabungkan untuk menghasilkan pengeluaran yang lebih berkualiti," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran model kereta terbaru Proton yangg diberikan nama samaran "P3-21A" di sini pada Isnin.

Pada majlis yang sama, Proton juga telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MOU) bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia bagi meningkatkan kebolehan vendornya dengan cara mempraktikkan Kaedah Kecemerlangan Perniagaan (BEx).

BEx merupakan satu rangka kerja yang kini digunakan oleh anggota-anggota Majlis Kecemerlangan Global atau Global Excellence Model Council bagi menilai prestasi sesebuah syarikat dalam kepimpinan, perancangan, informasi, fokus pelanggan, orang ramai, proses dan hasil.

"Pemilihan vendor Proton bagi pengeluaran model P3-21A akan dibuat berdasarkan prestasi yang dinilai mengikut model BEx.

"Matlamat yang disasarkan adalah untuk meningkatkan kebolehan para vendor Proton agar lebih berdaya-saing, seiring dengan inisiatif kerajaan yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian ketiga," kata Syed Zainal.

Wednesday 20 July 2011

KLCC UNJUR PEROLEHAN MENINGKAT RM100 JUTA

KLCC Property Holdings Bhd yang memiliki pelbagai portfolio hartanah, termasuk sebuah hotel mewah, sebahagian besar di kawasan Pembangunan KLCC, mengunjurkan perolehannya meningkat kepada RM100 juta dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2012.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Hashim Wahir berkata unjuran yang lebih tinggi dalam tahun kewangan baharu itu adalah berasaskan impak ketara yang dijangkakan hasil penyiapan dan operasi penuh menara pejabat Lot C di kawasan pembangunan KLCC pada awal 2012.

"Operasi runcit di Lot C pada September juga dijangka meningkatkan keuntungan kumpulan," kata Wahir selepas mesyuarat agung tahunan KLCC Property.

Pusat membeli-belah enam tingkat di Suria KLCC, kata Wahir, bakal menyaksikan tambahan 140,000 kaki persegi kawasaan bersih boleh disewa menerusi pembukaan perniagaan runcit Lot C.

Semalam, Sapura Resources Bhd menandatangani perjanjian usaha sama dengan KLCC (Holdings) Sdn Bhd, antara pemegang saham terbesar KLCC Property, bagi pembangunan tanah berukuran 7,605 meter persegi bersebelahan Pusat Konvensyen KLCC.

"Peranan kami dalam pembangunan ini adalah dalam bentuk perkhidmatan, dengan menggunakan keupayaan kami untuk mengurus bangunan pejabat dan runcit," katanya.

Selepas Lot C, beliau berkata pembangunan seterusnya, yang dijadual dilancar dalam tempoh setahun, membabitkan kawasan berdekatan Mandarin Oriental Hotel, Kuala Lumpur dengan keluasan 1.4 ekar. Ia dijangkakan membabitkan projek pembangunan bercampur.

KLCC Property, pemilik Kompleks Dayabumi, mencadangkan dividen akhir tujuh peratus sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2011.

Ini menjadikan jumlah dividen bagi tahun ini kepada 12 peratus sesaham, pembayaran tertinggi sejak penyenaraian syarikat pada 2004.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2011, keuntungan bagi tahun itu selepas kepentingan minoriti berjumlah RM706 juta, peningkatan sembilan peratus berbanding tahun sebelumnya.

Monday 18 July 2011

PROTON ATASI PERODUA

Proton Holdings Bhd mengatasi Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) untuk menduduki kedudukan teratas dalam jualan kereta pada separuh pertama tahun ini dengan 74,519 unit dijual berbanding Perodua sebanyak 62,584.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam laporan kajian pasaran yang dikeluarkan Isnin berkata jualan Proton meningkat daripada 65,918 yang dilihat pada tempoh yang sama tahun lepas tetapi Perodua mencatatkan penurunan daripada 71,375 sebelumnya.

Bagi jualan segmen kereta bukan nasional, Toyota di tempat pertama dengan 21,653 unit dijual pada separuh pertama walaupun penurunan daripada 25,697 unit dijual sebelumnya, diikuti oleh Honda dengan jualan sebanyak 15,807 unit berbanding dengan 18,796 unit.

Jumlah kereta penumpang pada Jun sebanyak 4,255 unit atau 9.2 peratus lebih rendah berbanding bulan sebelumnya.

Antara faktor-faktor yang menyumbang kepada prestasi yang kurang memberangsangkan termasuk kesan gempa bumi dan tsunami yang berlaku pada Mac terhadap bekalan dari Jepun serta pelaksanaan pindaan Akta Sewa Beli 1967.

Menurut MAA, pindaan akta berkenaan menjadikan proses penyelesaian jualan mengambil masa yang menyebabkan kelewatan pendaftaran kenderaan baru.

Bagaimanapun, persatuan mengunjur jualan akan lebih baik pada separuh kedua tahun ini dengan pengeluaran dijangka pulih ke paras normal mulai Ogos serta dengan pengenalan model baru.

Namun begitu, MAA menyemak turun unjuran jualan industri kenderaan bagi tahun ini kepada 608,000 unit, daripada anggaran awal sebanyak 618,000. Tahun lepas jumlah jualan industri sebanyak 605,156 unit.

Friday 15 July 2011

DI MANA ADA KEMAHUAN, DI SITU ADA JALAN

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Tekad yang menggambarkan liku-liku perjalanan Datuk Wan Mohammad Sani Salleh sebelum bergelar usahawan muda Melayu negara yang berjaya.
Beliau merupakan pemilik rangkaian operasi bas yang sedang meningkat naik Sani Ekspres di bawah kendalian syarikat, Sani United Sdn. Bhd. (SUSB).
Biarpun baru berusia 35 tahun tetapi Wan Mohammad Sani sudah menggenggam pelbagai pengiktirafan termasuk Tokoh Usahawan Muda, anugerah yang dinobatkan oleh Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), baru-baru ini.
Malah, beliau dianggap ikon generasi muda dalam dunia perniagaan masa kini.
Ketika berkongsi pengalamannya, Wan Mohammad Sani berkata, beliau sendiri tidak pernah terlintas untuk berada di tahap sekarang biarpun memiliki impian menjadi ahli perniagaan sejak remaja lagi.
Sewaktu mengimbau semula sejarah perniagaanya, beliau berkata, hasrat untuk memiliki perniagaan bas timbul selepas sering berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Terengganu 20 tahun lalu.
''Saya sebenarnya memulakan perniagaan melalui naluri sendiri, tidak ada orang suruh, tidak mendapat pandangan orang lain. Penglibatan dalam bidang ini adalah atas desakan diri sendiri.
''Saya akui mempunyai sedikit kelebihan iaitu pandai mencari peluang dan peluang yang ada saya gunakan sebaik mungkin, kalau tidak sampai bila pun kita tidak mampu mendapatkannya lagi,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Katanya, pengalaman menaiki pelbagai perkhidmatan bas mendorong dirinya sendiri untuk memberi perkhidmatan bas terbaik suatu hari nanti.
Dengan peluang yang diberi, beliau mula membuat kajian terperinci, penganalisis dan menstruktur strategi.
Ditanya mengapa industri pengangkutan menjadi pertaruhannya, Wan Mohammad Sani berkata, tiada sebab lain kecuali sektor tersebut begitu mencabar sehingga memerlukan semangat yang kuat kerana ia bukan mudah, selain risiko juga cukup banyak.
Namun, beliau tidak menafikan kesukaran yang dilaluinya berbaloi apabila Sani Ekspres kini adalah peneraju dalam pengangkutan ekspres di Malaysia.
Sani Ekspres, bas merah putih yang mula membelah jalan raya pada 2006, kini mempunyai 150 kakitangan sendiri dan beroperasi di Wisma Dato' Sani di Klang Sentral.
Beliau berkata, biarpun SUSB adalah miliknya, tetapi dia masih bekerja seperti makan gaji untuk memastikan syarikat itu menjadi sebuah syarikat pengangkutan terbesar akan tercapai suatu hari nanti.
''Saya sedar impian ini sukar dan saya tidak ada jalan lain kecuali berusaha, berusaha dan berusaha,'' ujarnya.
Wan Mohammad Sani berkata, dia bukan sahaja berhasrat memiliki 100 buah bas dan meneroka semua laluan yang ada, tetapi juga mahu memperkenalkan bas-bas berteknologi tinggi di Malaysia seperti bullet bus hasil kerjasama dengan sebuah syarikat di Sweeden.
Ia selari dengan hasratnya - mahu mengubah persepsi bahawa penggunaan bas ekspres bagi perjalanan jarak jauh adalah lebih menjimatkan dan selamat. ''Ia adalah keutamaan saya sekarang,'' kata beliau.
Ditanya tentang aktiviti hariannya, beliau mengakui masanya terhad kerana sibuk merencana perniagaan dan Sani Ekspres bukanlah tumpuan tunggal kerana perniagaannya yang lain turut menuntut perhatian yang sama.
Di sebalik jadual harian yang padat, beliau tidak pernah mengeluh kepenatan terutamanya dengan kehadiran Gia Zara, puteri sulungnya yang dilahirkan pada 1 Julai lalu.
''Kelahiran Gia Zara begitu bermakna dan memberi semangat baru kepada saya meneruskan perjuangan melebarkan empayar perniagaan ini,'' kata beliau sebagai menutup bicara dalam pertemuan itu.

Thursday 14 July 2011

BANDAR GETAH BERSEPADU DI PADANG TERAP

Tradewinds Plantations Bhd., (TPB) merancang membina bandar getah bersepadu di Kota Putra dekat Padang Terap, Kedah dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
 
Kawasan seluas 11,000 hektar itu dijangka lengkap dengan pelbagai kemudahan dan mempunyai pelbagai aktiviti dan operasi perkilangan membabitkan industri getah.

Pengerusinya, Datuk Wira Syed Abdul Jabbar Shahabudin berkata, bandar getah tersebut dijangka menarik pelaburan hebat dari luar dan dalam negara.

Katanya, lokasi Kota Putra yang berada di sempadan Thailand turut dijangka dapat menarik pelaburan dari negara jiran terdekat itu.

''Kami masih di peringkat pelan induk perancangan. Bandar tersebut dijangka menampilkan kemudahan bertaraf dunia, piawaian tempat tinggal dan persekitaran kerja yang berkualiti serta baik,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat agung luar biasa (EGM) TPB di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif TPB, Chan Seng Fatt, Pengarah Urusan Padiberas Nasional Bhd., (Bernas) Bakry Hamzah, dan Ketua Pegawai Eksekutif Mardec Bhd., Khalid Bahsoon.

Pada mesyuarat hari ini, para pemegang saham telah meluluskan usul cadangan TPB untuk mengambil alih Mardec dengan harga RM140 juta pada Oktober depan.

Ketika ditanya mengapa TPB mengambil proses terlalu lama untuk mengambil alih Mardec, Syed Abdul Jabbar menjawab, pihaknya perlu mendapatkan kelulusan dan kebenaran daripada pelbagai pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Malaysia dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).

"Kami menjangka untuk mendapatkan kelulusan daripada EPU berhubung pengambilalihan Mardec akhir bulan ini,'' ujarnya.

Jelas Syed Abdul Jabbar, pihaknya dijangka menamatkan proses menanam pokok getah pada tahun 2014.

Katanya, pada waktu ini, pihaknya mempunyai 6,100 hektar tanah untuk ditanam dengan pokok getah di Kedah.

"Kami masih mempunyai 18,000 hektar tanah yang belum dibangunkan,'' ujarnya.
Seng Fatt menambah, TPB menjangkakan untuk menuai hasil getah sebanyak 2,000 tan metrik pada tahun depan.

Katanya, getah masih belum menjadi penyumbang tertinggi keuntungan TPB berbanding kelapa sawit.

Beliau memberitahu, dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, pihaknya menyasarkan untuk memperoleh 10 peratus keuntungan daripada sektor getah, tujuh hingga 10 peratus daripada Mardec dan 80 peratus masih daripada sektor kelapa sawit.

"TPB telah menanam kelapa sawit di kawasan seluas 102,000 hektar, 72,000 hektar daripadanya merupakan kawasan pokok matang manakala 30,000 daripadanya pokok masih muda.

"Syarikat turut merancang untuk menanam pokok kelapa sawit di kawasan baru seluas 6,000 hektar,'' ujarnya.

Wednesday 13 July 2011

PINDAAN AKTA SEWA BELI LEMBAPKAN TEMPAHAN

Para peniaga kereta meragui sama ada sasaran peningkatan 2.1 peratus jualan kenderaan keseluruhan kepada 618,000 unit tahun ini boleh dicapai atau tidak, berikutan penguatkuasaan pindaan Akta Sewa Beli, yang walau pun disasarkan untuk melindungi hak pengguna, telah melembapkan tempahan.

Beberapa syarikat jualan kereta mengadu bahawa tempahan harian mereka, yang kebanyakannya bagi kereta, telah merosot pada purata 20-30 peratus sejak pindaan akta itu berkuat kuasa pada 15 Jun.

Peserta automotif tempatan, sambil menghargai pindaan akta itu yang mementingkan hak dan kepentingan pengguna, telah mulai merasai keperitan jualan yang tidak berubah, yang mereka jangka akan berterusan bagi tempoh beberapa bulan akan datang berikutan keperluan di bawah akta itu.

Sekurang-kurangnya tiga pengedar kereta -- Proton, UMW Toyota dan Edaran Tan Chong, yang menguasai agihan pasaran disatukan lebih 50 peratus daripada jumlah jualan industri (TIV), berkata mereka kemungkinan perlu menyemak semula sasaran jualan awal syarikat-syarikat berkenaan.

Pindaan akta itu telah menyebabkan mereka mengalami masalah aliran tunai kerana fi tempahan maksimum yang dikenakan hanya 1.0 peratus daripada harga jualan keseluruhan kereta yang dikenakan pada pembeli, yang terlalu kecil berbanding dengan keperluan 10 peratus sebelum ini.

Bagi memburukkan lagi keadaan, jika urus niaga itu dilaksanakan, pembeli akan menerima semula 90 peratus daripada fi tempahan, yang menyebabkan mereka mendapat sebahagian kecil wang itu.

Pengarah Eksekutif Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd Datuk Ang Bon Beng berkata para pelanggan juga boleh menukar fikiran walau pun pada saat akhir, selain fi tempahan yang rendah itu.

Dengan lain perkataan, mereka tiada komitmen pada urus niaga itu, katanya, sambil menyatakan bebanan hubungan tidak komited itu perlu ditanggung oleh peniaga kereta atau prinsipal syarikat automotif.

Selain itu, para pelanggan juga hanya perlu menandatangani perjanjian belian apabila kereta sudah sedia ada dan ditunjukkan kepada pelanggan dan jika pelanggan memilih tidak membeli kereta itu, para peniaga akan turut mengalami kerugian.

Jika kereta itu tidak terjual, ia akan menyebabkan gangguan pada rantaian bekalan kerana tempahan telah dibuat mendapatkan kereta itu.

Hasilnya, peniaga kereta kini mencatatkan kemerosotan tempahan 20-30 peratus sehari berikutan keperluan proses yang lama mendapatkan sesebuah kereta di bawah pindaan akta itu kerana pembeli kini perlu berurus niaga dengan bank yang bermakna peningkatan kerja dokumentasi dan pemprosesan.

Sebelum ini, seseorang peniaga akan dapat mengendalikan keseluruhan proses dokumentasi dan pembelian sesebuah kenderaan.

"Kami (Tan Chong) pernah mencatatkan kira-kira 200 tempahan sehari tetapi kini ia turun kepada kira-kira 100 tempahan sahaja," kata Ang.

Tambahan pula, berikutan fi tempahan yang rendah, para peniaga kereta tidak dapat membezakan antara pembeli tulin atau yang tidak serius kerana ramai yang memilih untuk menukar kepada kereta lain pada saat akhir.

Para peniaga juga mengadu seseorang pembeli boleh membuat tempahan tidak serius di beberapa perniagaan kereta tanpa membayar fi tempahan, yang menyebabkan pembaziran sumber permohonan pinjaman dan ketidakefisienan bagi bank dan peniaga kereta.

Presiden UMW Toyota Motor Sdn Bhd Ismet Suki yang akur dengan hasrat kerajaan bagi memastikan pengguna tidak tertipu dan diterima oleh kesemua peserta industri, merasai terdapat kelemahan pada pindaan akta itu.

"Akta itu terdapat kecacatan pada perspektif automotif kerana banyak segmen, iaitu pengilangan, pengeluaran dan sistem tempahan (kenderaan), mengalami gangguan," katanya.

Ismet berkata proses dokumentasi dan kertas kerja yang lama antara bank, peniaga kereta dan pelanggan sebenarnya melambatkan sistem serahan kerana proses memuktamadkan perjanjian pembelian kereta memakan masa tambahan 3-4 hari.

Pengilang dan pemasar kereta Toyota serta pengedar kenderaan berjenama Lexus juga menyatakan bahawa isu utama sekarang bukan jualan kereta tetapi mengambil risiko mengeluarkan kereta mengikut tempahan bank, tanpa mengetahu sama ada tempahan itu tulin atau akan dipenuhi.

Pengurus Besar Pemasaran Proton Edar Sdn Bhd Sidik Abdul Hamid berkata di segi kereta nasional, reaksi terhadap pindaan akta itu dari para pelanggan adalah positif.

Bagaimana pun, katanya syarikat itu sedang mengkaji untuk menyemak semula sasaran jualan awal 173,000 kereta ke bawah kerana pemain automotif utama itu telah mencatatkan penurunan 30 peratus tempahan kereta sejak 15 Jun.

Berikutan masalah yang dihadapi penjual kereta itu, kerajaan pada bulan lepas berjanji menyelesaikan masalah berikutan pelaksanaan pindaan akta itu.

Tuesday 12 July 2011

PERCAYA ATAU TIDAK?

Ada yang tak percaya bila ada pelabur dari Amerika Syarikat mahu melabur di Malaysia dengan wang yang besar. Tak perlulah saya sebut angka itu. Tapi keinginan pelabur itu menemui Perdana Menteri untuk menyatakan hasratnya itu bukti besar bahawa perhimpunan Bersih Sabtu lalu tidak berkesan.

Ini menunjukkan Bersih gagal meraih simpati dunia apabila pelabur dari US masih lagi minat melabur di Malaysia. Perhimpunan haram Sabtu lalu tidak terjejas ekonomi Malaysia.

oleh itu rakyat yang waras perlu menolak usaha Bersih ini kerana majoriti rakyat mahukan kedamaian, keamanan dan bukannya kekacauan seperti ditunjukkan oleh penyokong Bersih. Malah jika pakatan rakyat memerintah Malaysia mereka juga tidak mahu penyokong BN buat perhimpunan di jalanan.

Bukti yang jelas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng marah bila penyokong UMNO buat demonstrasi di depan pejabatnya baru-baru ini. kenapa Lim Guan Eng double standard? Perhimpunan Bersih dia sokong tetapi bila kena batang hidungnya sendiri, dia melenting.

Oleh itu saya berharap hasrat pelabur dari US ini untuk melabur di Malaysia akan menjadi kenyataan sebagai bukti utama apa yang dibuat oleh Bersih itu adalah sia-sia sahaja. jangan buang masa Bersih. Bertaubatlah anda semua!

ADA JUGA YANG BUSUK HATI

Kalau semua orang baik  di dunia ini, Allah tak akan wujudkan syurga dan neraka di akhirat kelak. Oleh sebab ada orang yang jahat, maka Allah wujudkan neraka untuk orang jahat.

Ada juga orang yang busuk hati. Semasa dia tidak dibayar gaji oleh bekas bossnya, saya yang beri pinjam RM500 kepadanya sehingga sekarang tidak dibayar balik pinjaman itu. Bila keretanya kena tarik, saya yang beri pinjam duit kepadanya untuk dia ambil semula keretanya itu (wang yang dipinjam ini sudah dipulangkannya). Bila saya dapat permit KDN majalah Celik Niaga, beliau pula yang dengki dan lapor kepada KDN kononnya mock-up yang dihantar ke KDN seratus peratus diciplak dari majalah asal miliknya.

Saya akui ada yang kita ambil semula kerana ketika itu kami dalam satu syarikat. Oleh itu bukan niat kami untuk ciplak majalah asalnya. Malah ada yang juga rencana yang asli dalam mock up itu. Kenapa perlu dengki kepada kami sedangkan KDN sudah luluskan permit penerbitan kami?

Nampak sangat dia takut bersaing dengan kami. Kami bukan pesaingnya walaupuin nama majalah hampir serupa. Penerbitannya adalah dalam bentuk tabloid sedangkan kami dalam bentuk majalah. Jadi kami bukan pesaingnya jadi tak perlu takutlah kepada kami.

Sehingga ini majalah Celik Niaga belum diterbitkan lagi, sudah ada orang yang takut kepada bayang-bayang. Bersainglah secara sihat. Tak perlu takut kerana kami tidak kacau majalah kamu. Inilah kelemahan orang Melayu. Bila ada Melayu lain dapat permit dimarahinya  dan didengkinya sedangkan kalau orang Cina dapat permit baru, mereka yang sudah ada permit bantu kepada pemilik permit baru. Sebab itulah orang Melayu tidak boleh maju dalam bisnes.

Yang anehnya kita suruh orang lain buka minda kita dalam bisnes, sebaliknya minda kita masih belum berubah penuh dengan hasad dengki dan dendam kesumat. kembalilah kepada cara hidup Islam. Janganlah kita bermusuh sesama sendiri dan anggaplah permit baru kawan sendiri sebagai satu persaingan yang sihat.







Sunday 10 July 2011

EMPAT TAHUN DILANCAR, BARU MAHATHIR NAIK AIR ASIA X

TUN Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali buat pertama kalinya menggunakan perkhidmatan AirAsia X untuk ke London, kelmarin.

Turut bersama Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah dalam pesawat Airbus A340 itu ialah Pengasas Bersama dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd. (AirAsia) Datuk Kamarudin Meranun.

Kesudian Dr. Mahathir menggunakan perkhidmatan AirAsia X itu merupakan satu penghargaan kepada AirAsia.
Dr. Mahathir telah memberi hak beroperasi kepada syarikat penerbangan tambang murah itu pada 2001 dan pelancaran AirAsia X pada 2007.

Friday 8 July 2011

SURUHANJAYA SEKURITI MUDAHKAN PEMEGANG SAHAM

Pelan Terperinci Tadbir Urus Korporat 2011 Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang baru dilancarkan telah mencadangkan penubuhan satu kumpulan kerja mengkaji kemungkinan pembiayaan litigasi pihak ketiga bagi membantu para pelabur mengambil tindakan penguatkuasaan persendirian.

Pengerusi Tan Sri Zarinah Anwar berkata cadangan itu bertujuan memudahkan para pemegang saham mengambil tindakan penguatkuasaan persendirian bagi mendapatkan keadilan sivil.

"SC akan melaksanakan kajian sama ada ia perlu diperkasakan bagi mengambil tindakan kerana penindasan atau prasangka tidak adil," katanya semasa pelancaran pelan terperinci itu di sini Jumaat.

Menurut pelan terperinci itu, ada masanya para pengawal atur terpaksa bertindak seperti individu persendirian mendapatkan keadilan melalui sistem mahkamah.

Ini kemungkinan muncul apabila tiada insentif ekonomi bagi pihak persendirian untuk meneruskan tindakan atau akses terhad mendapatkan maklumat bagi menyokong tindakan oleh pihak persendirian.

"Ini dicadangkan jika kita mahu para pemegang kita dan para pelabur menjadi lebih aktif di segi melindungi hak masing-masing dan mengurangkan bebanan kawalan atur."

"Apa yang kita cuba lakukan ialah melihat cara-cara memudahkan para pemegang saham untuk menguatkuasakan hak masing-masing," kata Zarinah.

Thursday 7 July 2011

MAYBANK SASAR 30 RIBU PELANGGAN BARU

Malayan Banking Bhd. (Maybank) menyasarkan 30,000 pelanggan baharu dalam tempoh tiga tahun bagi kad kredit khas untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), MAS American Express Business Card yang dilancarkan semalam.
 
MAS American Express Business Card adalah hasil usahasama antara Maybank dengan Malaysian Airline System Bhd. (MAS) dan American Express bagi menarik pelanggan PKS yang dianggarkan lebih 540,000 syarikat.

Timbalan Presiden dan Ketua Perkhidmatan Kewangan Komunitinya, Lim Hong Tat berkata, ini merupakan kali pertama Maybank melancarkan kad kredit khas untuk PKS yang kerap melakukan penerbangan dalam operasinya.

''MAS American Express Business Card menawarkan diskaun dan ganjaran mata bonus yang lumayan untuk setiap transaksi yang dilakukan.

''Dengan itu, PKS boleh melakukan penjimatan untuk setiap penerbangan menerusi MAS ke mana sahaja dengan menggunakan kad kredit baharu tersebut,'' katanya selepas majlis pelancaran kad kredit berkenaan di sini semalam.

Turut hadir Naib Presiden American Express, Ketua Perkhidmatan Rangkaian Antarabangsa, Jepun, Asia Pasifik dan Australia, Kula Kulendran dan Naib Presiden Kanan Bahagian Jualan Malaysia MAS, Azman Ahmad.

Ketika ini Maybank memiliki lebih 1.5 juta pelanggan kad kredit, meningkat 17 peratus berbanding tahun lalu.

Sementara itu, Azman Ahmad berkata, kerjasama dengan Maybank merupakan langkah terbaik untuk MAS mendekati pelanggan PKS yang semakin meningkat bilangannya setiap tahun.

''Kami tidak kuat dalam pasaran PKS sebelum ini dan kerjasama adalah salah satu strategi mengukuhkan bahagian tersebut,'' jelasnya.

MAS American Express Business Card ditawarkan dalam dua pakej iaitu Platinum dan Gold dengan kedua-duanya menawarkan faedah penerbangan, ganjaran dan juga penjimatan yang komprehensif.

Pemegang kad berpeluang menikmati sehingga 100 peratus mata ganjaran Enrich Miles untuk perbelanjaan tempatan, lima peratus penjimatan untuk penerbangan antarabangsa MAS, diskaun 20 peratus untuk pembayaran melalui American Express dan 50 hari bebas kadar faedah untuk semua transaksi.

Bagi menghargai pelanggan terawal, pemegang kad akan memperolehi 10,000 mata ganjaran Enrich Miles untuk transaksi pertama dan peluang memenangi cabutan bertuah berupa dua tiket penerbangan pergi balik ke negara-negara Asia Tenggara terpilih.

Wednesday 6 July 2011

ARAB CITY DI MELAKA SIAP AKHIR TAHUN

Golden Corporate Heritage Sdn. Bhd. (GCHSB) menjangkakan projek pembangunan Taman Tema Arab atau Arab City yang terletak di Pulau Melaka, Melaka akan siap menjelang akhir tahun ini.


Buat masa ini, taman tema seluas 3.6 hektar dengan nilai pembangunan kasarnya RM75 juta, menyaksikan hampir 68 peratus telah siap.

Pengarah GCHSB, Dr. Salim N. Al Gudhea berkata, Arab City Melaka seterusnya akan dilancarkan secara tidak rasmi pada Januari ini dan dijangka dibuka kepada umum beberapa bulan selepas itu.

Katanya lagi, sedikit tambahan telah dilakukan di bahagian pesisir pantai taman itu. Struktur tambahan berupa permukaan berpasir itu dinamakan sebagai Arabian Oasis.

“Projek tambahan seluas 1.6 hektar itu akan dilaksanakan oleh syarikat pemaju pesisir pantai, Benalec Holdings Sdn. Bhd..

“Tempoh pembangunannya adalah selama 16 minggu,” katanya di sini hari ini pada majlis memeterai perjanjian pelantikan Benalec dalam projek berkenaan.

Arab City Melaka dibina dengan tujuan menjadikannya sebagai salah satu daya penarik pelancong ke negeri itu hasil usaha sama GCHSB dan Kerajaan Negeri Melaka.

Ia diterapkan dengan unsur-unsur kebudayaan masyarakat Arab dengan menyediakan muzium Mesir, taman tema, teater, spa untuk golongan lelaki dan wanita serta 20 restoran makanan asli Arab, bazar dan gerai kraftangan.

Tambah Salim, projek di Pulau Melaka itu yang telah bermula pada awal tahun ini adalah merupakan fasa pertama daripada keseluruhan projek yang akan turut dilaksanakan di negeri itu.

Fasa kedua dan ketiga masing-masing terletak di Klebang dan Kampung Jawa, Melaka.

Monday 4 July 2011

ARAB MINAT MELABUR DI TERENGGANU

Negara Arab minat melabur di Terengganu. Menurut wakilnya di Kuala Lumpur, Hashim Ismail, negara Timur tengah itu dijangka membangunkan Arabian City di negeri tersebut.

Bercakap kepada Celik niaga, hashim berkata pihaknya sedang mengenalpasti kawasan seluas 100 ekar di sebuah daerah di negeri itu untuk dijadikan Arabian City.

"Nilai pelaburan dijangka sekitar RM1 bilion," katanya lagi yang menjelaskan pada mulanya beliau mahu membawa arab itu ke Langkawi tetapi arab itu lebih berminat melabur di terengganu.

katanya, pihaknya akan menghantar proposal kepada UPEN untuk dipertimbangkan dengan seberapa segera.

"Jika Arabian City ini menjadi kenyataan, rakyat Terengganu akan beruntung kerana peluang pekerjaan bakal diwujudkan melalui pelaburan bernilai RM1 bilion itu," katanya lagi yang pernah bertugas di kedutaan malaysia di Rusia tidak lama dahulu.

beliau kini sedangkan membangunkan kilang penapisan minyak sawit di Bagan Datoh, Perak dengan membawa pelabur dari Arab juga yang bernilai RM6 bilion. Projek itu menunggu kelulusan Exco Kerajaan Negeri Perak.

"Saya berharap Exco Kerajaan terengganu dapat meluluskan segera arabian City memandangkan pelaburannya yang besar menguntungkan rakyat dan kerajaan Terengganu," tegasnya lagi.

Friday 1 July 2011

PERNIAGAAN EON BANK DIPINDAHKAN KEPADA HONG LEONG

Berkuat kuasa hari ini, semua perniagaan EON Bank Bhd. (EON Bank) termasuk aset dan liabilitinya akan dipindahkan kepada Hong Leong Bank Bhd. (HLBB).

HLBB dalam kenyataannya berkata, pemindahan itu ditetapkan dalam Perintah Letak Hak oleh Mahkamah Tinggi pada 17 Jun lalu, bagi melengkapkan proses penggabungannya.

EON Bank akan menjadi sebuah syarikat tidak aktif (dormant) berkuasa kuat serta-merta.

‘‘Perintah Letak Hak secara efektifnya memindahkan semua aset dan liabiliti termasuk hak-hak kontrak EON Bank kepada HLBB mulai 1 Julai 2011,’’ katanya dalam kenyataan itu.


Bagaimanapun, perniagaan beroperasi seperti biasa.
Tambahnya, seperti penggabungan semua bank, proses integrasi penuh akan mengambil masa panjang kerana ia pelaksanaannya melibatkan pemindahan sistem teknologi maklumat (IT), proses dan polisi kepada platform IT tunggal.
Berikutan itu, Kementerian Kewangan telah membenarkan HLBB terus menggunakan nama EON Bank Bhd. sehingga satu tempoh.

Bank Negara Malaysia pula telah meluluskan permohonan HLBB supaya EON Bank boleh mengeluarkan pembayaran dan instrumen transaksi seperti buku akaun, cek, bank draf, selain ATM, kad debit dan kredit bagi satu tempoh, jelas Pengarah Urusan Kumpulan HLBB, Yvonne Chia.

Ini bermakna pembayaran dan transaksi bank yang telah dibuat oleh EON Bank masih laku digunakan.
Semua pelanggan dan rakan perniagaan dan bersekutu boleh membuat transaksi seperti biasa sehingga menerima notis selanjutnya.