VaultSafeUall

Wednesday 26 October 2011

KTCC BERI IMPAK JANGKA PANJANG

Projek Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC) oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Pantai Timur (ECERDC) akan memberi impak jangka panjang yang ketara ke atas pasaran hartanah Terengganu.

Wilayah itu akan dapat menarik lebih banyak pelaburan tempatan dan asing dalam sektor hartanah Terengganu menerusi pembangunan tanahnya yang mempunyai nilai pembangunan kasar RM5 bilion.

Foo Gee Jen, Pengarah Urusan CH Williams Talhar & Wong, perunding hartanah terkemuka, berkata kesan limpahan KTCC ke atas sektor hartanah tempatan sudahpun dapat dilihat di Kuala Terengganu apabila harga tanah dan rumah telah meningkat ketara.

"Trend ini dijangkakan berterusan mengikut fasa kemajuan KTCC, dan permintaan yang lebih tinggi untuk kawasan kediaman dan komersil di sekitar Kuala Terengganu.

"KTCC akan mengubah landskap Kuala Terengganu supaya setara dengan bandar raya lain di Malaysia, dan pusat bandar tebingan air akan berperanan sebagai destinasi pelancongan hebat," kata Foo kepada Bernama.

Foo berkata komponen strategik KTCC yang meliputi kediaman tebingan air, kelompok gaya hidup bersepadu, kampung kesihatan dan kesejahteraan serta resort tema, akan memacu permintaan yang kukuh untuk pembangunan perumahan dan komersil.

Beliau berkata kawasan komersil sedia ada di Kuala Terengganu seperti Paya Keladi, Kampung China dan Pasar Payang, sedang menjalani pembangunan semula dan ia akan mendapat manaat daripada lokasi yang strategik berhampiran KTCC.

"KTCC ialah pembangunan unik, tidak seperti di negeri lain, memandangkan ia adalah gerbang kepada aktiviti kehidupan resort dan marin, serta warisan kebudayaan unik Terengganu.

Pembangunan baharu yang menarik ini, yang terletak di kawasan strategik di tengah-tengah Kuala Terengganu, akan menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, dan akan mengurangkan kadar penghijrahan semasa ke pekan dan bandar besar lain.

"Kami menjangkakan lebih banyak pelaburan daripada pelabur tempatan dan asing yang akan merebut peluang daripada insentif yang ditawarkan oleh ECERDC, termasuk kelonggaran pemilikan tanah," katanya.

Pembangunan KTCC bertumpu sekitar Muara Utara, Muara Selatan, Pulau Warisan, Kampung Ladang/Tanjung dan Tebingan Corniche.

Keseluruhan pembangunan dianggarkan mewujudkan 82,000 pekerjaan menjelang 2020.

KTCC dijangkakan meliputi sebuah kompleks komersil, pusat konvensyen bertaraf antarabangsa, unit kediaman moden, tarikan membeli-belah, pusat perubatan, percutian dan pendidikan.

Jambatan angkat di situ akan menjadi ikon pertama seumpamanya di Malaysia, sekaligus mewujudkan mercu tanda menarik di Terengganu.

Projek dilancarkan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said di Kuala Terengganu minggu lepas.

Ia akan dilaksanakan menerusi dua fasa, dan akan siap menjelang 2020.

Tuesday 25 October 2011

LEGA PM AMBIL TINDAKAN SEGERA

Persatuan Peniaga Sarang Burung Johor melahirkan kelegaan mereka selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tindakan segera menangani isu larangan yang dikenakan oleh China terhadap import sarang burung mentah dari Malaysia.

Presidennya, Gan Tiong Huat berkata larangan itu adalah disebabkan salah faham kerana sarang burung Malaysia telah memenuhi semua standard kesihatan dan tidak mempunyai kandungan nitrat yang tinggi seperti yang didakwa.

Sebaliknya beliau berkata ia adalah sarang burung yang diseludup ke China dari negara-negara lain tetapi dijenamakan seolah-olah ia datang dari Malaysia, yang telah memberikan nama buruk kepada negara.

"Suatu yang baik kerajaan menangani isu tersebut dan saya berharap ia akan diselesaikan segera," katanya semasa ditemui di gerai pameran Yi Zhen Bird's Nest Sdn Bhd di Ekspo China-Asean Ke-8 (CAEXPO 2011), yang sedang berlangsung di sini.

Malaysia merupakan pengeluar kedua terbesar sarang burung selepas Indonesia.

Menurut perangkaan rasmi, 80 peratus daripada sarang burung di pasaran China datang dari Malaysia.

Najib, yang mengunjungi Bandar Raya Hijau China ini untuk merasmikan bersama CAEXPO 2011 pada Jumaat lepas, telah membangkitkan isu kandungan nitrat itu kepada rakan sejawatannya, Wen Jiabao.

Beliau memberitahu pemberita sejurus sebelum berangkat pulang bahawa sekiranya larangan itu diteruskan, ia akan melumpuhkan satu daripada industri besar di Malaysia dan menjejaskan lebih 50,000 pengusaha, terutamanya di kawasan luar bandar, termasuk Bumiputera.

"Saya telah merayu agar satu penyelesaian di cari secepat mungkin," kata beliau sambil menambah Perdana Menteri China itu telah bersetuju untuk melihat perkara ini.

Najib juga memutuskan Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai melawat China dengan segera untuk mencari penyelesaian segera bagi isu ini.

Gan berkata Yi Zhen telah lama menghasilkan sarang burung di Batu Pahat, Johor, dan meneroka ke pasaran China kira-kira dua, tiga tahun lepas untuk memanfaatkan pasaran dengan jumlah penduduk 1.4 bilion itu.

Kira-kira 80 peratus pengeluaran sarang burung syarikat itu dieksport ke China dan ia dijual oleh rangkaian pengedarnya yang besar.

Pasaran eksport Yi Zhen yang lain termasuk Singapura, Taiwan dan Vietnam.

Bagi CAEXPO 2011, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) turut membawa beberapa pengeluar sarang burung diproses dan mentah lain termasuk Billion Success World Sdn Bhd, Sari Walit Sdn Bhd dan Ecolite Biotech Manufacturing Sdn Bhd.

Saturday 22 October 2011

INDIA DESTINASI POPULAR RAKYAT MALAYSIA

Malaysia kini muncul sebagai pasaran pelancongan terbesar dari rantau Asean bagi trafik yang menuju ke India, kata Pengarah IndiaTourism yang berpangkalan di sini, Rajesh Talwar.

Katanya Malaysia menyediakan trafik terbesar ke India berbanding kesemua negara Asean yang lain di mana 150,000 rakyat Malaysia melawat negara itu pada tahun lepas.

"Trafik dari Malaysia dan Thailand telah mencatatkan pertumbuhan 16 peratus setiap satu," katanya kepada Bernama di pameran ITB Asia.

Menurutnya, Singapura, yang mencatatkan trafik ke India seramai 96,000 pelawat, menduduki tempat ke-dua, diikuti Thailand (74,000 pelawat) di tempat ke-tiga.

Talwar berkata pertumbuhan trafik pelancong ke India disumbang oleh peluasan penerbangan AirAsia Malaysia, yang terbang ke lapan atau sembilan destinasi di India.

"Penerbangan secara keseluruhannya, yang termasuk oleh syarikat penerbangan India, antara India dan Malaysia telah meningkat kepada 145 penerbangan seminggu," kata Talwar.

Selatan India dan "Segi Tiga Emas" yang terdiri daripada Delhi, Agra dan Jaipur, adalah destinasi popular di kalangan rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia juga melawat Himalaya hingga ke Kashmir dan Sikkim.

"Malah, setiap bahagian India menarik kepada pelancong dari rantau Asean, khususnya rakyat Malaysia yang selesa dengan budaya dan sejarah India," katanya, sambil menyatakan faktor Bollywood turut menarik pelancong Malaysia.

Untuk meningkatkan lagi trafik dari India ke Malaysia, sesetengah pengedali pelancongan India berharap Malaysia akan melonggarkan atau menarik balik "regim visa yang ketat" bagi para pemegang pasport India.

Thursday 20 October 2011

HALIM NAFI TIDAK SEBULU DENGAN NAZAR

Pengerusi KUB Malaysia Bhd. (KUB), Datuk Abd. Halim Abd. Samad menafikan dakwaan kononnya beliau tidak sependapat dengan Mohd. Nazar Samad sehingga mendorong Pengarah Urusan itu melepaskan jawatannya.


''Hubungan saya dengan dengan Mohd. Nazar akrab dan tidak bermasalah,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengesahkan bahawa syarikat itu melanjutkan kontrak perkhidmatan Mohd. Nazar sehingga 2013 kerana berpuas hati dengan prestasi dan kejayaan memulihkan KUB.

Malah, katanya, Lembaga Pengarah telah menolak peletakan jawatan Mohd. Nazar yang dikemukakan pada awal tahun lalu.

''Bagaimanapun, kami terpaksa bersetuju dengan peletakan jawatan beliau untuk kali kedua pada 17 Oktober atas desakan sendiri dengan alasan untuk berehat.

''Tiada siapa mendesak atau menyuruh beliau untuk meletak jawatan,'' tambah beliau.

Abd. Halim menegaskan, peletakan jawatan Mohd. Nazar tidak akan menjejaskan transformasi KUB kerana beliau telah berjaya menjana strategi perniagaan berdaya tahan dan menyediakan pengurusan pelapis yang baik, selain bersedia memastikan proses peralihan dilakukan dengan lancar.

Sebaliknya, KUB yakin pengurusan baharu mampu meneruskan transformasi perniagaan KUB yang telah dibina oleh Mohd. Nazar dan mampu menjadikan KUB berprestasi lebih baik dan berdaya maju.

Tambahnya, Lembaga Pengarah KUB memilih Datuk Wan Mohd. Nor Wan Ahmad memangku jawatan Pengarah Urusan berdasarkan pengalaman 30 tahun dalam pengurusan strategik dan operasi.

Selain itu, Wan Mohd. Nor memiliki pengalaman dalam bidang gas petroleum cecair yang bakal menjadi salah satu operasi teras KUB.

''Beliau (Wan Mohd. Nor) telah bersama KUB sejak tahun 2001, kami yakin beliau mampu meneruskan legasi yang diusahakan selama ini,'' ujar Abd. Halim.

Tuesday 18 October 2011

11 TAHUN RUGI, BILA UNTUNG, LETAK JAWATAN PULA

Pengarah Urusan KUB Malaysia Bhd. (KUB), Datuk Mohd. Nazar Samad telah meletakkan jawatannya, sekali gus menimbulkan tanda tanya tentang hala tuju dan masa depan syarikat itu.
 
Mohd. Nazar, 55, yang masih mempunyai kontrak lanjutan dengan KUB sehingga 2013 telah meletakkan jawatan secara rasmi semalam.

Lembaga Pengarah Kumpulan yang bermesyuarat semalam menerima peletakan jawatannya.
Serentak itu, jawatan nombor satu itu akan dipangku oleh Ketua Pegawai Eksekutif Summit Petroleum (M) Sdn. Bhd., Datuk Wan Mohd Nor Wan Ahmad, 58 berkuat kuasa semalam.

Pengurus Besar Perkhidmatan Operasi Kumpulan, Dr. Wan Ahmad Rudirman Wan Razak pula dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi.

KUB dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, pelantikan itu dibuat semalam.
Utusan Malaysia difahamkan bahawa Mohd. Nazar mengambil keputusan melepaskan jawatan yang disandang sejak 24 Disember 2008 kerana dikatakan 'tidak sependapat' dengan Pengerusi KUB, Datuk Abd. Halim Abd. Samad.

Abd. Halim menganggotai Lembaga Pengarah KUB pada 19 November 10 Disember 2009.
Ekoran notis peletakan jawatan itu, Mohd. Nazar dipercayai akan bertugas sehingga 30 November ini sebelum diambil alih oleh Wan Mohd. Nor pada 1 Disember ini.

Mohd. Nazar bagaimanapun dipercayai meletakkan jawatan di atas alasan peribadi di sebalik dakwaan yang mengatakan wujudnya ketidak sefahaman dalam barisan pengurusan syarikat sejak pada awal tahun lalu.

KUB mungkin mengadakan sidang akhbar dalam masa terdekat untuk menjelaskan perkembangan yang sebenar dalam syarikat itu.

Peletakan jawatan Mohd. Nazar mengejutkan industri dan pasaran kerana beliau berjaya memulihkan semula KUB dengan pencapaian cukup luar biasa.

Di bawah pimpinan Mohd. Nazar, KUB telah mencipta kejutan apabila meraih keuntungan kali pertama selepas mencatatkan kerugian 11 tahun berturut-turut.
Buat kali pertama selepas tempoh berkenaan, KUB mencatat keuntungan bersih RM39.4juta bagi 2008 berbanding kerugian RM88.8 juta pada 2007.

Keuntungan itu turut menggembirakan kira-kira 70,000 pemegang saham KUB apabila buat pertama kali juga syarikat itu memberi dividen 2.4 sen kepada pemegang sahamnya.

Momentum pemulihan KUB terus meningkat dengan kemampuan meraih keuntungan untuk kali kedua bagi tahun kewangan 2009. Pada tempoh berkenaan, KUB mencatat keuntungan bersih RM80.2 juta.

Malah, pada awal tahun ini, Mohd. Nazar telah membentangkan perancangan pertumbuhan KUB untuk memastikan syarikat itu terus kukuh dalam industri yang disertai sehingga boleh membuat lonjakan pendapatan kepada RM2 bilion menjelang 2013.

Ia termasuk keyakinan Mohd. Nazar untuk memenangi bidaan bagi menguasai operasi LPG Shell Malaysia, selain aktif dalam segmen hartanah dan kejuruteraan.
Dalam segmen pembinaan pula, KUB terlibat membina hospital pakar kanak-kanak di Cheras.

KUB juga telah berjaya dalam bidaan untuk membina landasan ketiga dan laluan pesawat atau taxiway bagi KLIA2 di Sepang. Ini tidak termasuk lagi projek dengan Malaysia Steel Works (KL) Bhd. untuk membina sistem rel di Iskandar Johor.

Pada masa sama KUB juga dikatakan mencari syarikat ekuiti persendirian untuk membangunkan lebih banyak cawangan makanannya di bawah jenama A&W serta menambah kawasan ladang sawitnya.

Perancangan teliti yang bakal diharungi oleh KUB itu bertujuan untuk memastikan saham KUB mampu melonjak ke paras RM1 sesaham. Harga saham KUB hari ini ditutup jatuh satu sen kepada 71 sen sesaham.

NADAYU HARAP RAYUANNYA DITERIMA

Nadayu Properties Bhd. (Nadayu) berharap rayuannya kepada Kementerian Kewangan berkaitan kelulusan pembelian tanah milik UDA Holdings Bhd. (UDA Holdings) di Jalan Sultan Ismail, di sini mendapat maklum balas positif.


Pengerusi Eksekutifnya, Hamidon Abdullah berkata, syarikat masih berminat untuk membangunkan kawasan tanah tersebut kerana lokasinya yang baik.

''Kami sudah berbincang dengan pihak kementerian dan merasakan sesuatu yang positif boleh dicapai.

''Rayuan syarikat adalah berdasarkan kertas cadangan pertama diberikan sebelum ini,'' katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Nadayu di sini hari ini

Hadir sama Pengarah Eksekutifnya, Cheang Chee Leong.

Nadayu sebelum ini dikenali sebagai Mutiara Goodyear Development Bhd. (Mutiara Goodyear).

Sebelum ini, UDA Holdings telah memutuskan untuk menjual tanah seluas 1.15 hektar di Jalan Sultan Ismail kepada Mutiara Goodyear pada harga RM215.5 juta.

Pengerusi UDA Holdings, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, mereka menjual tanah itu kepada Mutiara Goodyear kerana menawarkan harga terbaik iaitu lebih RM1,400 kaki persegi berbanding harga pasaran iaitu sekitar RM800 per segi.

Kementerian Kewangan, pada bulan Julai lalu menolak transaksi jual beli tersebut kerana mendakwa Nadayu tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan meskipun telah memberikan surat kelulusan.

Selain itu, Nadayu juga berminat menyertai pembangunan tanah di Sungai Buloh yang diberikan kepercayaan oleh kerajaan untuk dimajukan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Terdahulu, Nadayu mendapat kelulusan dari pemegang sahamnya untuk menjual tiga lot pejabat di Dataran Prima, satu lot pejabat Menara Prima dan ruangan letak kereta kepada Park Access Sdn. Bhd. pada harga RM42.6 juta.

Hamidon berkata, pelupusan aset tersebut selari dengan strategi syarikat untuk memberi tumpuan kepada perniagaan utama iaitu pembangunan hartanah.

''Tunai yang diterima nanti akan digunakan untuk membeli lebih banyak bank tanah pada masa hadapan bagi mengukuhkan jenama kami,'' jelasnya.

Bergerak ke hadapan, beliau berkata, Nadayu menyasarkan jualan syarikat adalah sekitar RM300 juta pada tahun hadapan berbanding sasaran sebanyak RM250 juta pada tahun ini.

Sunday 16 October 2011

PENGERUSI BOLEH CABAR CEO

Kalau anda berpendapat jawatan pengerusi syarikat sekadar menghadiri mesyuarat dan memantau ketua pegawai eksekutif (CEO), tanggapan itu adalah silap sama sekali," demikian menurut Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd. Nor.


Pengerusi Malayan Banking Bhd. (Maybank). itu berkata, walaupun pengerusi dan CEO mempunyai jawatan yang berbeza tetapi ia sepatutnya saling melengkapi antara satu sama lain dan bukannya bersaing sesama sendiri.

Beliau berkata, sekiranya CEO perlu memainkan peranan penting dalam seluruh pengurusan organisasi, pengerusi pula juga mempunyai peranan yang tidak kurang hebatnya iaitu meningkatkan nilai para pemegang saham.

''Sangat mustahak bagi pengerusi untuk meningkatkan nilai pemegang saham syarikat. Prestasi pengerusi diukur pada jumlah pulangan pemegang saham setiap tahun.
''Kalau seseorang pengerusi gagal untuk berbuat demikian, mereka perlu berani meletakkan jawatan kerana memang peranannya utama untuk menambah nilai pemegang saham," katanya di sini.

Berikutan itu, kata beliau, pengerusi perlu mempunyai pengalaman luas supaya mampu melihat dan meningkatkan prestasi, reputasi dan pertumbuhan syarikat dengan cukup baik.

Megat Zaharuddin menambah, malah menjadi tanggungjawab seorang pengerusi untuk 'mencabar' CEO syarikat sekiranya mereka mendapati CEO tidak memainkan peranan seperti yang diharapkan.

Begitu juga CEO boleh 'mencabar' pengerusi sekiranya mendapati pengerusi tidak memainkan peranan sebenar, ia tidak salah demi kebaikan organisasi yang dipimpin.
''Seperti juga permainan bola sepak, pemilik pasukan tidak boleh membiarkan pengurus membuat sesuka hati, pemantauan perlu dilakukan untuk memastikan prestasi dapat dikekalkan," jelas beliau lagi.

Saturday 15 October 2011

HAMAD KAMA PIAH DIPILIH TOKOH AHLI PERNIAGAAN 2011

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman hari ini dipilih sebagai Tokoh Ahli Perniagaan 2011 oleh Akademi Pengurusan Asia (AAM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).


Anugerah itu disampaikan oleh Presiden AAM, Zamri Ahmad selepas selesai Hamad Kama Piah menyampaikan ucaptama bertajuk Transforming AsianBusiness Through Innovation for a Sustainable Tomorrow pada Persidangan Akademik Pengurusan Antarabangsa Peringkat Asia 2011 yang dianjurkan di sini.

Naib Canselor USM, Datuk Omar Osman berkata, Hamad Kama Piah dipilih berdasarkan ketokohan, kewibawaan dan kejayaan yang ditempa beliau selama 32 tahun berkecimpung dalam bidang pelaburan terutama kejayaannya menjadikan PNB sebagai entiti pelaburan paling berjaya di dunia.

Omar berkata, sehingga kini tiada sebuah firma pelaburan seumpama PNB yang berjaya ditubuhkan meskipun banyak negara cuba menirunya.
"PNB berjaya menggemblengkan wang pelaburan rakyat dan sentiasa memastikan wang pelabur tersebut terpelihara dan di sebalik kejayaan ini, kita sepatutnya mengiktiraf Hamad Kama Piah.
"Beliau berjaya membawa PNB ke mercu kejayaan setanding syarikat milik kerajaan (GLC) yang lain seperti Petronas dan Khazanah Nasional Berhad. Pemilihan beliau bertepatan kerana ketokohannya setanding dengan penerima-penerima sebelum ini," katanya selepas merasmikan persidangan itu di sini hari ini. Turut hadir Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Prof. Datuk Ishak Ismail.

Persidangan yang diadakan selama tiga hari bermula hari ini bertujuan membincangkan beberapa perkara mengenai pasaran kewangan Asia serta etika dan tanggungjawab sosial korporat.

Sementara itu Zamri memberitahu, sebelum ini anugerah yang sama telah diberikan AAM dan USM kepada lapan tokoh lain antaranya mendiang Tan Sri Beck Nelson dari United Plantations, Tan Sri Fumihiko Konishi (Texchem Corporation), Datuk Jamaluddin Ibrahim (Maxis), Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan (Media Prima) dan Datuk Seri Eleena Azlan Shah (Gamuda Berhad).

Menurut Zamri, selain Hamad Kama Piah, pada majlis itu pihaknya turut menganugerahkan keahlian sepanjang hayat kepada empat tokoh yang telah mempamerkan ciri-ciri kepimpinan yang berkarisma dan berwibawa dalam bidang akademik dan industri.

"Selain Naib Canselor USM (Datuk Omar Osman), tiga lagi penerima ialah Naib Canselor Universiti Antarabangsa Albukhary, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak; Pengarah Urusan Texchem Corporation, Brian Tan dan Pengarah urusan Seletra Industries, Tahiruddin Tun Hamdan," katanya.

Friday 14 October 2011

ORANG RAMAI BOLEH BUKA KEDAI RAKYAT 1MALAYSIA

Kabinet hari ini bersetuju memberi peluang kepada orang ramai yang berminat untuk mengendalikan Kedai Rakyat 1Malaysia.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan menerima banyak permintaan daripada orang ramai yang berminat untuk menjalankan perniagaan tersebut.

“Cuma syarat-syarat dan panduan pengurusannya kita akan tentu sebulan lagi kerana kita baru sahaja mendapat persetujuan daripada Jemaah Menteri,” katanya pada sidang akhbar Pelancaran Program Francais Komuniti di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, soal modal, kos pengubahsuaian dan lain-lain yang berkaitan akan ditanggung sepenuhnya oleh mereka yang berminat itu.

Katanya, kerajaan hanya memberi kebenaran untuk menggunakan logo Kedai Rakyat.
“Mereka yang memiliki kedai runcit kini mempunyai dua pilihan iaitu menukarkan sepenuhnya atau menempatkan satu rak khas untuk menjual produk Kedai Rakyat.

“Ini kerana, Kedai Rakyat mempunyai 250 jenis produk dan mungkin mereka perlu hanya 50 jenis dan atas sebab itu, tidak perlu buka atau menukar kepada Kedai Rakyat sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, mengenai Program Francais Komuniti, beliau berkata, program terbabit akan memberi peluang kepada usahawan atau peniaga berskala kecil untuk terlibat dalam perniagaan francais.

Katanya, bagi program tersebut, sebanyak 14 buah syarikat bersetuju untuk menjadi francaisor.

“Fokus kita lebih kepada peniaga kecil dengan pinjaman kecil, bersesuaian dengan dana yang diperuntukkan di bawah Skim Pinjaman Kecil yang had maksimumnya adalah RM50,000.

“Untuk itu, siri penerangan dan promosi akan dilaksanakan di seluruh negara dengan lokasinya sekitar taman perumahan, dewan orang ramai, kampung, Felda dan flat,” katanya.

Wednesday 12 October 2011

CIMB HARAP DIPILIH KENDALIKAN IPO FELDA GLOBAL

CIMB Group berharap bakal dipilih untuk mengendalikan tawaran awam permulaan (IPO) Felda Global Ventures Holdings (Felda Global) yang akan disenaraikan nanti.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment Bank Bhd., Datuk Charon Wardini Mokhzani berkata, seperti bank-bank lain di sini, CIMB Group juga ingin menjadi sebahagian daripada proses penyenaraian tersebut.

''Pengumuman yang dibuat kerajaan baru-baru ini (penyenaraian Felda Global) adalah sesuatu yang baik dan kami berharap dapat turut serta.

''Buat masa ini, masih belum ada sebarang perkembangan terbaharu. Mereka akan mengumumkannya,'' kata beliau selepas taklimat media mengenai Persidangan CIMB ASEAN 2011 di sini hari ini.

Cadangan penyenaraian Felda Global yang dijangka dilaksanakan menjelang pertengahan tahun depan telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2012 minggu lalu.

Ketika ditanya tentang prestasi pasaran semasa sama ada sesuai untuk melakukan penyenaraian atau IPO, Charon berkata, buat masa ini ia masih tidak menentu.
''Sentimen pasaran waktu ini tidak menentu. Walaupun, Asia Tenggara dan Malaysia tidak mengalami sebarang krisis kewangan tetapi para pelabur masih menanti perkembangan yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

''Namun dalam tempoh sebulan atau dua bulan akan datang pasaran akan kembali pulih untuk sebarang IPO atau penyenaraian,'' jelasnya.

Diminta mengulas mengenai perkembangan pengambilan alihan Bank of Commerce di Filipina, Charon berkata, mereka mengharapkan penyelesaian baik.

Sebelum ini , CIMB Group mengeluarkan kenyataan bahawa pihak mereka sedang berada di peringkat awal perbincangan San Miguel Corp. (SMC) mengenai pengambilan alih itu.

SMC merupakan pemilik Bank of Commercen atau turut dikenali sebagai BankCom, Bancommerce dan BoC adalah bank perdagangan ke-16 terbesar di Filipina dengan jumlah kira-kira AS$2.07 bilion (RM6.56 bilion).

Dalam perkembangan lain, CIMB Group akan menganjurkan Persidangan CIMB ASEAN 2011 yang akan berlangsung pada 27 hingga 28 Oktober ini dengan tema Korporat ASEAN adalah Dunia Baru.

Saturday 8 October 2011

TERSERAH NAK LABEL BELANJAWAN PILIHANRAYA


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, terserah kepada mana-mana pihak untuk melabelkan belanjawan yang diumum hari ini sebagai "belanjawan pilihan raya".

Katanya, kerajaan sebaliknya memberikan pelbagai kemudahan dan tawaran kerana prihatin dengan keperluan rakyat pada masa ini.

"Tapi kalau ada pihak yang mengatakan ini election budget, itu terserah kpd mereka... Bila election nak diadakan? Bila?" soalnya.

NONESejak awal lagi, banyak pihak menjangkakan belanjawan kali ini - di ambang pilihan raya umum yang dijangka tidak lama lagi - bertujuan memenangi hati pengundi.

Malah, bagi Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, banyak pemberian yang diberikan masih hanya kerana hampir pilihan raya umum, tidak seperti negeri Pakatan yang memberikannya setiap tahun secara tetap.

Bercakap kepada pemberita di lobi parlimen selepas pembentangan menteri kewangan, Muhyiddin berkata, jika dibandingkan dengan belanjawan alternatif Pakatan Rakyat, belanjawan hari ini bersifatpeople centric.

"Selepas 54 tahun mereka baru sebut negara kebajikan, nak buat dasar kebajikan, kita dah laksanakan dulu, jadi kita sudah lebih 54 tahun dasar-dasar tentang apa yang kita harus buat.

"Pembangkang sekarang baru sedar. Baru inilah sekarang kata nak buat dalam parlimen... Buku Jingga untuk menarik minat rakyat. Tapi rakyat sudah tahulah," katanya.

Defisit berterusan 15 tahun
Sementara itu, ditanya tentang pencapaian defisit selamsa 15 tahun berterusan, Muhyiddin berkata pertumbuhan ekononomi masih boleh dikekalkan.

Katanya, walaupun sampai tahap di mana rating Malaysia di peringkat antarabangsa menurun, tetapi dengan kebijaksanaan menguruskan dana negara, pelaburan masih masuk dan pertumbuhan tetap ada.

NONE"Jadi defisit walaupun kita anggap penting, tapi yang penting ialah menguruskan defisit. Yang ini kita telah pun laksanakan," katanya lagi.

Sementara itu, ditanya tentang belanja pembangunan sebanyak RM51 bilion yang tidak seimbang dengan belanja operasi sebanyak RM181 bilion, Muyhyiddin berkata, perkara sebegitu boleh dilihat dalam belanjawan di banyak negara lain.

Katanya, kebiasaannya kos operasi untuk mentadbir negara memang lebih tinggi daripada kos pembangunannya.

"Tapi apa pun ia dilaksanakan secara berkhemah, dan tidak menyebabkan defisit yang agak melampau sehingga kita tak boleh uruskan. Ini tak berlaku di Malaysia," kata timbalan perdana menteri.

"Defisit kita boleh uruskan dan kita telah tunjukkan kita telah dapat kurangkan. Bermakna itu tidak harus jadi satu perkara yang membimbangkan. Tapi ada langkah dibuat untuk mengurangkan (defisit), umpamanya penambahan jawatan baru dibekukan."

Sunday 2 October 2011

PUNB AKAN TUMPU SEMULA SEGMEN PEMBORONGAN

Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) akan memberikan tumpuan semula kepada segmen pemborong yang merupakan bahagian kritikal dalam pembangunan perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dzulkifli Fadzilah berkata, tumpuan itu merupakan salah satu usaha untuk mengurangkan kos produk dan memastikan bekalan berterusan diterima oleh para peniaga runcit.

''Untuk memastikan kejayaannya, PUNB telah bekerjasama dengan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin),

''Kami juga memberikan penekanan kepada sektor tertentu yang sukar dibangunkan seperti perkakasan (hardware) yang masih belum diteroka pengusaha Bumiputera pada masa ini,'' katanya di sini.

Selain itu, Dzulkifli berkata PUNB juga akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) untuk membantu menggerakkan segmen pemborong ini.

''Antaranya adalah dengan Proton Holdings Bhd. (Proton) dan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas). Selain itu, kami turut bekerjasama dengan pengeluar tayar Goodyear untuk membantu usahawan Bumiputera kami terutama yang terlibat dalam segmen automotif.

''Berikutan permintaan terhadap perniagaan telekomunikasi yang tinggi PUNB turut membantu usahawan berbincang dengan syarikat telekomunikasi bagi menggalakkan bagi pembekalan kad pra bayar.

''Potensi bagi perniagaan tersebut adalah besar dan syarikat telekomunikasi telah bersetuju membantu usahawan-usahawan itu,'' jelasnya.

Dzulkifli berkata, dengan konsep ekonomi terbuka yang dilakukan oleh negara China dan India, peluang untuk usahawan bumiputera tempatan mengimport terus dari sana adalah besar.

''Oleh itu, kami menyarankan supaya para usahawan bersatu dalam merancang untuk menjalankan perniagaan borong agar manfaat dapat diterima oleh peruncit,'' tambahnya.

Sementara itu, PUNB turut mewujudkan Program Prosper TERAS untuk membangun dan membantu usahawan peruncit Bumiputera meningkatkan penglibatan mereka dalam sektor ekonomi dan menjadi penyumbang kepada masyarakat berpendapatan tinggi.

Prosper TERAS telah diilhamkan melalui makmal Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dengan kerjasama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Dzulkifli berkata, TERAS adalah Transformasi Peruncitan Bumiputera dengan objektif menaik taraf perniagaan runcit untuk keseragaman jenama, susun atur produk, pilihan produk dan sistem bersepadu.

Fokus bidang perniagaan di bawah program ini adalah pasar mini (mengguna pakai konsep Mydin), automotif atau mana-mana subsektor industri peruncitan yang dikenal pasti mempunyai nilai tambah dan komersial tinggi.

''Antara syarat yang dikenakan adalah bumiputera berusia 18 tahun ke atas dengan rekod kewangan memuaskan dan perniagaan sedia ada dan telah beroperasi sekurang-kurangnya selama satu tahun,'' katanya.