VaultSafeUall

Saturday 25 June 2011

FIREFLY AMBILALIH LALUAN MAS DI SIBU

FlyFirefly akan mengambil alih secara berperingkat-peringkat laluan Kuala Lumpur-Sibu daripada Malaysia Airlines mulai 1 Julai.

Ia akan terus menawarkan perkhidmatan dua kali sehari ke destinasi itu seperti Malaysia Airlines, yang tidak lagi menawarkan perkhidmatan ke laluan itu mulai 1 Ogos.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Pengarah Urusan Firefly Datuk Eddy Leong berkata: "Kami mempunyai perjanjian rakan perkongsian kod dengan Malaysia Airlines bahawa kami akan menggunakan pesawat B737-800 untuk laluan ini selain terus menyediakan sambungan dengan lain-lain laluan dengan perkhidmatan Malaysia Airlines.

"Kami juga akan mengambil kira keperluan penumpang perniagaan dan santai, dan menjadualkan masa penebangan mengikut keperluan,"

Firefly ialah anak syarikat milik penuh Malaysia Airlines.

Wednesday 22 June 2011

TDM BAYAR DIVIDEN RM81.8 JUTA

TDM Berhad, syarikat milik kerajaan Terengganu yang terlibat dengan sektor perladangan dan penjagaan kesihatan telah membayar dividen dan keuntungan lebih RM28.81 juta kepada kerajaan negeri dan agensi di bawahnya.

Pengerusinya, Datuk Roslan Awang Chik berkata, dari jumlah itu, bayaran dibuat kepada Terengganu Inc Sdn Bhd dan agensi-agensi lain RM20.4 juta dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) (RM5.4 juta).

Agensi lain yang menerima bayaran dividen dan keuntungan itu ialah Lembaga Tabung Amanah Warisan negeri Terengganu (RM2.9 juta) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam)(RM136,553).

"Dengan bayaran itu, TDM Berhad, setakat ini, telah membayar RM81.8 juta dalam bentuk dividen dan keuntungan usahasama kepada kerajaan negeri dan agensinya sejak bayaran pertama pada 2007," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian cek berkenaan kepada Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan agensi kerajaan yang terlibat yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif TDM Berhad Badrul Hisham Mahari.

Roslan berkata pembayaran dividen itu adalah selari dengan prestasi memuaskan yang dicapai oleh TDM Berhad bagi tahun lepas.

"Adalah menjadi fokus kami untuk terus memberi ganjaran kepada para pemegang saham kami."

"Bagi memastikan kami mampu berbuat demikian, usaha berterusan perlu dilakukan bagi memajukan dua perniagaan teras kami dan memperbaiki kecekapan operasi dan hasilnya boleh dilihat melalui peningkatan pembayaran dividen kepada para pemegang saham," katanya.

Menurutnya, TDM Berhad akan terus mengagihkan dividen yang memberangsangkan kepada para pemegang saham, selaras dengan peningkatan pendapatan syarikat.

Beliau berkata TDM Berhad mencatatkan peningkatan hasil kumpulan sebanyak 25 peratus daripada RM335.6 juta pada 2009 kepada RM420.4 juta pada tahun lepas manakala keuntungan sebelum cukai turut meningkat 67 peratus daripada RM77.5 juta pada 2009 kepada RM129.2 juta pada 2010.

"Peningkatan itu adalah sumbangan dari hasil sektor perladangan yang semakin meningkat dan prestasi lebih baik yang dicapai oleh sektor penjagaan kesihatan," katanya.

Roslan berkata perladangan kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM119.5 juta pada tahun lalu, iaitu peningkatan 73 peratus dari tahun sebelumnya.

Sementara itu, bahagian penjagaan kesihatan pula mencatat peningkatan keuntungan sebelum cukai 47 peratus, iaitu sebanyak RM11.2 juta.

Sunday 19 June 2011

PEDA MINTA KERAJAAN TANGGUHKAN AKTA SEWA BELI 1967

Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia (Peda) Jumaat meminta kerajaan menangguhkan sepenuhnya pelaksanaan pindaan Akta Sewa Beli 1967 bagi mengurangkan kesan negatif kepada industri itu di Malaysia.

Presidennya, Armin Baniaz Datuk Pahamin berkata, pindaan itu, yang telah diwartakan tanpa perbincangan awal dengan pihak industri, juga perlu dikaji semula.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, beliau berkata, pindaan Akta Sewa Beli itu yang berkuat kuasa semalam difahamkan tidak pragmatik dan boleh menghentikan pertumbuhan industri automotif.

Antara lain, katanya permintaan itu dibuat kerana para pengedar kenderaan akan menghadapi masalah aliran tunai yang serius disebabkan wang tempahan dan deposit perlu dijelaskan terlebih dahulu kepada bank.

Ini bagi memastikan jumlah kutipan wang adalah sama jumlahnya dengan harga kereta di atas jalan (OTR) sebelum pihak bank membenarkan pengeluaran bayaran dikeluarkan kepada pengedar.

Katanya pengedar juga akan kekurangan pembayaran pendahulan sebagai modal untuk membayar kereta yang ditempah oleh pelanggan.

Selain itu, harga kereta terpakai juga turut terjejas apabila kos turut meningkat dengan syarat-syarat yang lebih ketat untuk membeli dan menjual kereta, katanya.

"Sebanyak 70 peratus jualan kenderaan baru adalah bergantung kepada kereta tukar beli. Dengan ini, pasaran kereta baru dijangka turut terjejas," katanya.

Peda dan pihak lain dari industri memahami matlamat dan objektif kerajaan, dan bersedia untuk bekerjasama dengan pihak kementerian untuk mencapai matlamat tersebut dengan impak yang minimum.

Monday 13 June 2011

PM UMUM SEMBILAN INISIATIF BARU DALAM ETP

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Isnin mengumumkan sembilan inisiatif baharu di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) bernilai pelaburan RM2.77 bilion dan kesan Pendapatan Negara Kasar (GNI) RM18.67 bilion serta mewujudkan 36,595 pekerjaan menjelang 2020.

Dengan pengumuman itu, katanya projek di bawah ETP yang diumumkan baru-baru ini, yang termasuk Pembangunan Bersepadu Penapis dan Petrokimia (Rapid) mempunyai nilai pelaburan RM60 bilion.

Apabila disatukan, kesemua 15 inisiatif di dalam tujuh Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) mempunyai nilai pelaburan kira-kira RM63.38 bilion dan GNI RM66.31 bilion serta 63,531 pekerjaan baharu.

Di segi kumulatif, sehingga hari ini, ETP telah mencatatkan pelaburan RM170.28 bilion, GNI RM220.15 bilion serta 362,396 pekerjaan baharu, katanya semasa mengumumkan Mutakhir Keenam Kemajuan ETP di sini hari ini.

Antara inisiatif yang diumumkan hari ini ialah Kumpulan UCSI, iaitu badan induk UCSI University, bagi membangunkan kluster pendidikan kesihatan bersepadu seluas 64 hektar di Bandar Springhill, Port Dickson.

Pembangunan itu akan terdiri daripada hospital pengajaran swasta pertama di Malaysia, Hospital UCSI University yang mempunyai 1,000 katil, yang menampilkan satu-satunya kemudahan anti-penuaan, perubatan esthetics dan regeneratif Malaysia.

Kumpulan itu dijangka melabur RM850 juta menjelang 2012, yang akan menjana GNI RM1.3 bilion dan 2,000 peluang pekerjaan menjelang 2020.

Satu inisiatif lain, yang merupakan satu konsortium yang terdiri daripada Kumpulan Pendidikan SEGi dan lapan penyedia pendidikan penjagaan awal kanak-kanak (ECCE) yang lain akan menambah baik kelayakan tenaga kerja sedia ada kepada paras minimum diploma dan menyediakan banyak latihan yang boleh diakses serta membangunkan program negara yang standard bagi latihan ECCE.

ECCE itu akan beroperasi sepenuhnya menjelang 2015, dengan pelaburan bernilai RM700 juta serta akan menjana GNI RM900 juta.

Yang lain termasuk Kumpulan Sime Darby Healthcare yang akan melabur di dalam penubuhan dua hospital pakar, iaitu Pusat Perubatan Sime Darby Ara Damansara (SMDC AD) dan Pusat Perubatan Sime Darby Desa ParkCity (SMDC Parkcity).

SMDC AD dan Parkcity masing-masing akan bernilai RM240 juta dan RM40 juta.

Di bawah enam Mutakhir Kemajuan ETP itu, inisiatif NKEA Pertanian akan akan menampilkan dua produk utama, udang premium dan sarang burung walit.

Katanya JEFI Aquatech Resources Sdn Bhd sedang menerajui satu inisiatif untuk membangunkan Malaysia sebagai pengeluar utama udang bagi pasaran global dan halal dengan membangunkan usahawan tani di kawasan luar bandar di seluruh negara.

Tiga komponen utama projek itu ialah penubuhan Pusat Aquatec Jefi dan Ladang Aquatech Jefi, yang termasuk Program Pembangunan Usahawan Tani.

Inisiatif ini akan memerlukan pelaburan RM575 juta.

Bagi inisiatif lain, Yanming Resources Sdn Bhd akan melabur RM5 juta bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran sarang burung untuk dimakan, ini akan meningkatkan usaha penggunaan jentera di dalam barisan pemprosesan, yang meningkat kepada 60 peratus daripada 10 peratus sekarang ini.

Ia dijangka mewujudkan RM88.7 bilion dan 103 pekerjaan baharu menjelang 2020.

Beralih kepada NKEA Kandungan Komunikasi dan Infrastruktur, VADS Bhd dan Cisco telah menandatangani perjanjian kerjasama untuk membina Infrastruktur Pertukaran "TelePresence" yang pertama di Malaysia bagi menawarkan Perkhidamtan "TelePresence" Terurus kepada sektor swasta dan dan awam di negara dan rantau ini.

Pelaburan ini bernilai RM11.3 juta.

Sementara itu, inisiatif yang dibiayai kerajaan bagi merangsang jualan peralatan efisien tenaga akan menelan kos RM50.2 juta pada 2011, program yang diterajui oleh Kementerian Tenaga, Teknologi hijau dan Air untuk menambah baik keefisienan tenaga di Malaysia melalui lima inisiatif.

Akhir sekali, bagi mewujudkan pertumbuhan yang lebih kukuh bagi sektor peruncitan, 1Malaysia Unified Sale akan menyatukan tiga acara jualan utama kepada acara berpusat dan diselaraskan.

Tahun ini, 1Malaysia Unified Sale akan diperkenalkan bagi pertama kali mulai 15 Jun, 2011 hingga 31 Ogos, 2011 yang akan meliputi lebih 50 sektor berbanding dengan hanya pakaian dan kasut sebelum ini.

Saturday 11 June 2011

SELAMAT DATANG

Syukurlah akhirnya KDN meluluskan permohonan  permit majalah Celik Niaga yang dimohon oleh syarikat saya, Mindaniaga Marketing pada 2 Jun lalu. Saya telah menghantar permohonan permit baru ini pada 18 April lalu. Terima kasih kepada pegawai KDN, Puan Idarani yang meluluskan permit ini dalam masa 45 hari kurang dari tempoh dua bulan.


Ada orang menganggap bahawa Celik Niaga adalah serpihan dari Mingguan Mindaniaga. Anggapan ini mungkin betul kerana saya terlibat dengan Mindaniaga dari awal apabila permitnya diperolehi oleh Dewan Muda Publications (DMP). Khabarnya DMP mengambil masa selama lapan bulan untuk mendapatkan permit penerbitan Mingguan Mindaniaga sedangkan Majalah Celik Niaga hanya mengambil masa 1 bulan setengah.

Pada 3 Ogos 2010, pemilik permit Mingguan Mindaniaga, Kamri Kamruddin menghubungi saya untuk mencari pelabur bagi menjayakan penerbitan tabloid tersebut. Saya bawa Kamri jumpa Datuk Radzi Latif, bekas Presiden, Yayasan Kajian Strategik Melayu (YKSM).

Datuk Radzi setuju melabur maka kami diberi saham 30 peratus dalam syarikat baru. Mulai 1 September 2010 kami mengoperasikan Mingguan Mindaniaga dalam bentuk majalah bulanan di pejabat Datuk Radzi di Taman Melawati, Kuala Lumpur. Keluaran pertama Mindaniaga diterbitkan pada 4 November 2011.

Datuk Radzi kurang berpuas hati dengan mutu majalah itu. Maka pada 27 Disember dia melahirkan hasrat untuk menutup majalah Mindaniaga. Kamri selaku pemilik permit menyahut hasrat Datuk Radzi dengan menghantar e mail mengatakan dia setuju keluar dari syarikat Datuk Radzi.

Selepas berunding dengan beberapa pelabur baru, kami bersetuju menubuhkan Mindaniaga Marketing pada 17 Januari 2011. Ada seorang pelabur bersetuju melabur dalam penerbitan Mindaniaga tetapi Kamri tak setuju bila gaji baru ahli lembaga pengarah Mindaniaga Marketing hanya sekitar RM750 sebulan sahaja. Maka pada 8 Mac Kamri buat keputusan untuk menerbitkan sendiri Mingguan Mindaniaga dalam bentuk tabloid.

Tinggallah kami bertiga pemilik Mindaniaga Marketing terkapai-kapai apabila Kamri keluar dari Mindaniaga Marketing dan terbitkan sendiri tabloid itu atas nama Dewan Muda Publications. Maka saya tidak ada pilihan lain memohon permit majalah sendiri, Celik Niaga kerana kawan saya sudah melabur sebanyak  RM14,000 dalam Mindaniaga Marketing.

Jadi kami akan bersaing secara sihat. Celik Niaga dalam bentuk majalah bulanan sedangkan Mingguan Mindaniaga dalam bentuk tabloid bulanan juga walaupun permitnya mingguan.

Saya pun terperanjat amat cepat KDN meluluskan permit majalah Celik Niaga sedangkan Kamri mengambil masa selama lapan bulan untuk dapat permit Mingguan Mindaniaga.Oleh itu mulai hari ini sementara menunggu kelahiran sulung majalah Celik Niaga, maka blog ini akan diupdate setiap hari untuk menonjolkan berita-berita bisnes.Selamat Membaca.