VaultSafeUall

Thursday 29 September 2011

PEMEGANG SAHAM RUGI JIKA PNB TAK BELI SP SETIA

Permodalan Nasional Bhd. (PNB) tidak rugi apa-apa sekiranya para pemegang saham SP Setia Bhd. (SP Setia) menolak cadangan tawaran harga pembelian syarikat hartanah itu.
 
Sebaliknya, yang rugi adalah para pemegang saham syarikat itu.

Menurut penganalisis tempatan yang enggan dikenali berkata, harga yang ditawarkan oleh PNB adalah terbaik berdasarkan kedudukan syarikat itu dan situasi pasaran pada masa ini.

''Cuba anda lihat laporan analisis, semuanya menyatakan tawaran harga yang dibuat oleh PNB adalah tinggi, adil dan cukup munasabah,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan, Lembaga Pengarah SP Setia juga menyedari PNB membuat tawaran yang menarik, cuma Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Tan Sri Liew Kee Sin dipercayai mahu mencuba nasib mengharapkan harga lebih tinggi.

Meskipun SP Setia meletakkan penanda aras RM4.50 hingga RM5 sesaham berbanding RM3.90 sesaham yang ditawarkan, dipercayai PNB akan terus 'bertahan' pada harga asal.

''Sukar untuk PNB mengikut rentak SP Setia kerana itulah PNB dan PNB tidak rugi apa-apa pun kalau tidak menguasai kepentingan 51 peratus dalam syarikat tersebut.

''Kalau PNB menguasai SP Setia, saya pasti PNB tidak akan menukar pengurusan syarikat tersebut.

''Sekarang terpulang kepada pemegang saham untuk membuat keputusan,'' ujar penganalisis lagi.

Sementara itu, MIDF Research (MIDF), berkata, harga yang ditawarkan PNB untuk menguasai baki saham yang belum dimilikinya adalah adil.

Malah, pandangan yang sama diberikan oleh OSK Research yang menyifatkannya sebagai munasabah dan patut diterima.

Mengulas lanjut, MIDF dalam nota penyelidikannya berkata, harga tawaran itu mewakili premium 21 peratus daripada jumlah harga purata selama lima hari (5-days VMAP) yang berjumlah RM3.21 selain 24 peratus lebih tinggi berbanding harga sasaran MIDF iaitu RM3.15.

Berdasarkan data yang dikumpulkan Bloomberg, 17 urusniaga hartanah yang bernilai lebih AS$500 juta (RM1.58 bilion) di Asia Tenggara sejak lima tahun lalu menawarkan purata premium sebanyak 34 peratus.

" Kami percaya harga tawaran tersebut adalah adil apabila mengambil kira peningkatan risiko terhadap gelombang kedua kemelesetan ekonomi. Berbanding beberapa pengambilan alih dan urusniaga penggabungan pemaju hartanah di Malaysia sebelum ini, harga yang ditawarkan PNB adalah yang tertinggi dari segi harga/nilai aset bersih (P/NAV) iaitu 2.15.

''Kami menasihati para pelabur supaya merebut peluang menjual pegangan mereka sebelum pasaran ekuiti semakin jatuh," katanya.

Bagaimanapun, pelabur lebih lama mungkin enggan melepaskan pegangan mereka berikutan asas kukuh yang dimiliki SP Setia, hasil dividen yang menarik serta potensi pertumbuhan lebih baik.
"PNB dijangka mengekalkan status penyenaraian SP Setia kerana jenama ekuiti SP Setia sudah terkenal dan ia juga mempunyai pilihan sama ada menggabungkan kesemua aset hartanahnya di bawah SP Setia ataupun membangunkan projek hartanah secara usahasama," katanya.

OSK Research dalam kenyataannya berkata, harga RM3.90 itu jika diterjemahkan adalah 2.25 kali harga bagi setiap nilai belian (P/BV) bagi tahun kewangan 2012 (FY 12) yang mana lebih tinggi sedikit berbanding purata tertinggi SP Setia dalam tempoh lima tahun iaitu 2.22 kali.

Ia juga adalah 23.1 kali ganda nisbah harga pendapatan (PER) pada pendapatan sesaham (EPS) pada tahun 2012, kata OSK Research.

Monday 26 September 2011

PERDASAMA SOKONG KENYATAAN SALLEH MAJID

Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) meminta Sime Darby memandang serius dengan kenyataan bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia), Datuk Salleh Majid yang mempersoalkan alasan Sime Darby bagi memiliki 30 peratus saham Eastern & Oriental (E&O) Bhd.


Presidennya, Datuk Moehamad Izat Emir bersetuju dengan kenyataan Salleh yang melihat Sime Darby sanggup membayar 60 peratus lebih mahal daripada harga pasaran bagi memiliki saham tersebut.

"Mereka seharusnya lebih berhati-hati dalam membuat pelaburan sedangkan setahun dua sebelum ini Sime Darby telah mengalami kerugian ekoran kelemahan pengurusan dan beberapa individu telah diambil tindakan.

"Pada waktu ini, Sime Darby masih dalam tahap pemulihan. Ekonomi dunia juga menunjukkan permasalahan dan kelemahan, namun Alhamdulillah langkah-langkah yang diambil Perdana Menteri dan kerajaan bagi pengurusan ekonomi cara baru berjaya membantu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kontroversi pembelian 30 peratus saham syarikat E&O oleh Sime Darby dengan kos RM776 juta secara tunai, iaitu 60 peratus lebih mahal daripada harga pasaran sehingga menimbulkan pelbagai keraguan orang ramai.

Tambah Moehamad, mungkin tindakan Sime Darby atas alasan untuk lebih berkembang, tetapi mereka tidaklah perlu berbelanja melebihi daripada sepatutnya.

Sementara itu, Yang Dipertua Perdasama Perak, Ariffin Zun berkata, jawatankuasa dalaman khas yang telah dibentuk oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) harus memberi perhatian dalam soal ini bagi memastikan apa yang berlaku sebenarnya kerana implikasinya akan menyebabkan keraguan kepada pelabur asing.

Sunday 25 September 2011

SALLEH PERSOAL SIME DARBY

Bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia), Datuk Salleh Majid mempersoal apakah tidak cukup pakar dalam sektor hartanah yang dimiliki Sime Darby selama ini, sehingga syarikat milik kerajaan (GLC) itu terpaksa menagih kepakaran Eastern & Oriental (E&O) Bhd.


Katanya, alasan Sime Darby bahawa pihaknya sanggup membayar harga tinggi sehingga 60 peratus melebihi premium harga pasaran bagi membeli saham E&O disebabkan syarikat itu mempunyai kepakaran dalam bidang hartanah, selain ingin menceburi bidang hartanah di segmen atasan sukar diterima.

“Soalan saya, tidak cukupkah pakar dalam sektor hartanah Sime Darby yang sudah terlibat dalam pembangunan taman perumahan dalam pelbagai segmen di Malaysia, sehingga pengurusan Sime Darby sanggup membayar 60 peratus lebih mahal daripada harga pasaran bagi memiliki hanya 30 peratus saham E&O.

“Kedua, apabila digabungkan tiga syarikat iaitu Golden Hope, Guthrie dan Sime Darby, tidak cukupkah tanah yang diperolehi sehingga masih hendak membeli hartanah yang begitu mahal dalam suasana yang menimbulkan banyak persoalan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kontroversi pembelian 30 peratus saham syarikat E&O oleh Sime Darby dengan kos RM776 juta secara tunai, iaitu 60 peratus lebih mahal daripada harga pasaran sehingga menimbul pelbagai keraguan orang ramai.

Dalam perkembangan berkaitan, Salleh berkata, Pengerusi Bukan Eksekutif E&O, Datuk Azizan Abd. Rahman sepatutnya tidak boleh terlibat dengan mana-mana syarikat yang tersenarai, memandangkan isterinya, Tan Sri Zarinah Anwar adalah Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti yang kini turut terpalit dengan kontroversi berkenaan.

“Masalah percanggahan kepentingan berlaku apabila Zarinah terpaksa mengumumkan bahawa beliau tidak campur tangan dalam siasatan berkait dengan pembelian saham tersebut. Perkara yang wajar dan beretika ialah Azizan sepatutnya tidak terlibat dengan mana-mana syarikat yang tersenarai,” katanya.

Friday 23 September 2011

NOR MOHAMED YAKCOP NAFI TERLIBAT DALAM PEMBELIAN SAHAM E&O

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menganggap pihak yang mengaitkannya dengan isu pembelian saham Eastern & Oriental (E&O) oleh Sime Darby Berhad (Sime Darby) sebagai berniat jahat.
Beliau menegaskan tidak tahu-menahu mengenai perkara itu, malah tidak pernah terlibat dalam isu berkenaan.
‘‘Saya tak ada kena-mengena, saya bukan Menteri Kewangan, saya ialah menteri yang bertanggungjawab dalam Unit Perancang Ekonomi (EPU), ini berlaku semasa saya bukan lagi dalam Kementerian Kewangan.
‘‘Tetapi orang kata Nor Mohamed perlu beri jawapan (isu pembelian). Apa itu? Tak masuk akal, bodoh punya kenyataan. Jadi lebih baik saya tidak cakap apa-apa tentang perkara ini, nanti lagi menjadi kontroversi,’’ katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Bakat Antarabangsa anjuran Pusat Pengurusan Persembahan dan Kepimpinan Transformasi (PMTLC) Institut Pengurusan Malaysia (MIM) di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi MIM, Datuk Mohamed Iqbal Rawther.
Semalam, Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin menggesa Nor Mohamed membuat penjelasan berhubung kewajaran pembelian saham oleh syarikat milik kerajaan (GLC) itu.
Nor Mohamed seterusnya memberitahu, EPU tidak mempunyai sebarang kaitan dalam isu pengambilalihan mahupun pembelian saham E&O itu.
Malah, tegasnya, beliau sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung sememangnya tidak terlibat dengan pihak Sime Darby.
‘‘Saya tidak tahu apa-apa berkaitan isu Sime Darby, ia tidak ada kaitan dengan saya. Saya sahkan memang saya zero (kosong) mengenai isu itu,’’ tegas beliau.
Terdahulu, Nor Mohamed menasihati rakyat negara ini khususnya mereka yang menjurus dalam bidang teknikal dan berkemahiran tinggi supaya tidak berhijrah ke luar negara untuk mencari pekerjaan.
Sebaliknya kata beliau, lebih baik mereka bekerja di dalam negara kerana kerajaan kini amat menitikberatkan bakat-bakat dalam bidang tersebut bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.
‘‘Kalau dulu kita lebih beri penekanan dalam bidang akademik tetapi kini hampir seluruh dunia memandang tinggi terhadap bidang teknikal dan kemahiran kerana ia menjanjikan kestabilan ekonomi yang berpanjangan,’’ katanya.

Wednesday 21 September 2011

AIRASIA LANCAR PROMOSI TEMPAT DUDUK PERCUMA

AirAsia sekali lagi melancarkan promosi tempat duduk percuma ke destinasi terpilih domestik dan antarabangsa.

Tempoh tempahan "tempat duduk percuma" akan bermula pada 12 tengah malam pada 21 hingga 25 Sept, untuk tempoh perjalanan dari 3 Mei hingga 27 Oktober tahun depan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Komersil Serantau AirAsia, Kathleen Tan berkata: "Kempen tempat duduk percuma kami sememangnya amat dinanti-nantikan oleh para pengembara dan ini adalah satu cara untuk memberi ganjaran atas sokongan mereka."

Monday 19 September 2011

TIDUR DI HOTEL TUNE CUMA RM1 SATU MALAM

Tune Hotels, cabang hospitaliti Tune Group, kini menawarkan kadar bilik serendah RM1 semalam bagi rangkaian hotelnya di Malaysia.

Ia turut menawarkan bilik pada kadar 10,000 rupiah Indonesia semalam di Bali, Indonesia, bersempena perayaan Hari Merdeka dan Hari Malaysia.

Tune Hotel dalam kenyataannya di sini berkata, tempahan dibuka dari esok hingga 30 September, berdasarkan siapa cepat dia dapat, bagi tempoh menginap dari 1 Jun hingga 31 Ogos tahun depan.

"Promosi hanya sah bagi tempahan online di www.tunehotels.com dan tidak termasuk Tune Hotels di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)-Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang dan Westminster, London," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Hotels, Mark Lankester.

Lankester berkata, syarikat itu sedang menambah satu hartanah di Kulim, Kedah pada minggu depan yang menjadikannya Tune Hotel ke-10 di Malaysia dan ke-13 di seluruh dunia, termasuk dua di Bali dan satu di London.

Sunday 18 September 2011

BUKA KEDAI SERBANEKA DENGAN MODAL RM100

Anda tentu terkejut dengan modal RM100 anda boleh membuka sebuah kedai serbaneka ala 7 eleven. Ini bukan angan-angan. Ini adalah kenyataan. Saya telah mengikuti taklimat mengenai pembukaan kedai ini di Hotel Primula, Kuala Terengganu tengahari tadi.

Peluang ini dibuka kepada bumiputera yang minat berniaga. Segala-galanya disediakan oleh taukeh kecuali gaji pekerja, bil air dan bil telefon. Setiap bulan kita yang menguruskan kedai itu akan mendapat 10 peratus daripada jualan bulanan. Nilai barangan yang ada dalam kedai itu lebih kurang RM700,000.

Anda hanya perlu mencari tapak kedai yang strategik. Untuk sewa kedai dan bayar deposit pun ditanggung oleh taukeh. Untuk keterangan lanjut sila hubungi hp saya 0104314369. Rebutlah peluang keemasan ini.

Kawan saya, Mila sudah buka lapan kedai di Kelantan. Mila yang sudah ada pendapatan RM12,000 sebulan memberi peluang ini kepada saya supaya mengembangkan kedai ini di Terengganu pula. Anda boleh buka di mana sahaja kedai ini asalkan ianya strategik. Oleh itu rebutlah peluang ini.

Saturday 17 September 2011

MALAYSIA MAMPU JADI HAB HALAL GLOBAL

Kerajaan yakin Malaysia mampu menjadi sebuah Hab Halal Global dan menerajui pembangunan industri halal dunia kerana mempunyai kepakaran dalam piawaian dan pensijilan halal, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata negara-negara di seluruh dunia juga melihat Malaysia sebagai pusat rujukan dan penggalak pembangunan industri halal di mana ia mempunyai imej dan reputasi terbaik.

"Malah, negara kita tersohor dalam memperkenalkan seluruh dunia mengenai garis panduan penggunaan definasi halal di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1997 lagi," kata beliau ketika berucap merasmikan majlis penutup Karnival Rakyat dan Tranformasi Halal Kelantan 2011, di sini Sabtu.

Karnival tiga hari itu yang bermula pada Khamis, menarik 140 usahawan dan lebih 21,000 pengunjung dengan 162 gerai pameran.

Mustapa yang juga anggota Parlimen Jeli berkata, negara kini telah mencapai kejayaan sekali lagi di mata dunia dalam mewujudkan piawaian halal bagi produk bukan makanan iaitu industri kosmetik, farmaseutikal dan logistik.

"Secara tidak langsung, ini jelas memaparkan pelaksanaan kewajipan fardu kifayah oleh kerajaan dan sumbangan Malaysia kepada dunia sebagai sebuah negara Islam lebih-lebih lagi apabila pasaran halal global yang dianggarkan bernilai RM6.9 trilion setahun amat luas serta berpotensi besar kepada negara," katanya.

Malah, katanya, jumlah permintaan bagi barangan halal juga semakin bertambah dengan peningkatan bilangan penduduk beragama Islam dunia yang kini melebihi 1.8 bilion.

Beliau berkata pasaran yang berpotensi besar ini semakin menarik perhatian negara-negara bukan Islam seperti Cina, Jepun, Perancis dan Rusia untuk melibatkan diri dalam industri halal.

-- BERNAMA

Wednesday 14 September 2011

KERAJAAN TIDAK AKAN TUNDUK

 Kerajaan tidak akan tunduk dengan permintaan Lion Group Bhd. (Lion Group) supaya duti import dinaikkan kepada 35 peratus bagi melindungi para pengeluar besi tempatan

Pada masa ini, duti import bagi gegelung besi panas (HRC) berada pada paras 25 peratus.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, MITI tidak berada dalam kedudukan yang membolehkannya meluluskan permintaan Lion Group itu.

"Kerajaan bukan hanya perlu memikirkan permintaan beberapa syarikat sahaja tetapi perlu melihat kepada industri secara menyeluruh termasuk segmen hiliran dan huluan.

"Setakat ini, MITI ada duduk berbincang dengan Lion Group dan sedang berusaha menyediakan pelan terbaik untuk industri secara keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Forbes di sini hari ini.

Beliau mengulas langkah Lion Group melalui anak syarikatnya Megasteel Sdn. Bhd. yang mungkin menimbang mengalihkan operasi pembuatan besi ke Indonesia kerana persaingan tidak adil daripada produk import.

Mustapa berkata, Lion Group turut meminta kerajaan untuk melarang eksport besi lusuh dan rebat untuk bayaran utiliti tetapi ia masih di peringkat perbincangan.

"MITI akan cuba membantu Megasteel dengan cara lain," katanya.

Pengerusi Lion Group, Tan Sri William Cheng semalam berkata, kerajaan telah membenarkan duti import sifar bagi HRC dari Indonesia dan Thailand, manakala negara-negara berkenaan mengenakan duti, masing-masing sebanyak 48 peratus dan 43 peratus bagi produk yang sama dari Malaysia.

Beliau bersetuju sekiranya kerajaan menetapkan harga siling bagi HRC sekiranya mereka merasakan syarikat membuat keuntungan lebih atau berlaku monopoli.

Tuesday 6 September 2011

MARA DAN CIMB ISLAMIC BANK MAHU BEKERJASAMA


Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam proses rundingan dengan CIMB Islamic Bank Bhd. (CIMB Islamic) untuk bekerjasama menawarkan kemudahan pembiayaan kewangan kepada para usahawan di bawah bimbingannya.

Setakat ini, Mara telah bekerjasama dengan Bank Muamalat Malaysia Bhd. (Bank Muamalat) di bawah program Skim Jaminan Usahawan Mara (SJUM), sejak tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Mara, Mohd. Rosdi Ismail berkata, pihaknya telah menerima tawaran untuk bekerjasama dengan CIMB Islamic baru-baru ini.

Katanya, ia merupakan satu pakatan kerjasama yang amat positif bagi membantu golongan usahawan tempatan yang memerlukan pembiayaan kewangan.

''Kami melihatnya sebagai perkembangan yang baik dan mengalu-alukan lebih banyak institusi kewangan tempatan melakukan langkah yang sama bagi meningkatkan daya saing usahawan tempatan,'' katanya
.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian persetujuan di antara Shapers Malaysia Sdn. Bhd., Mara dan CIMB Islamic di sini hari ini.

Sehingga kini, Mara telah menawarkan tiga produk pembiayaan iaitu SJUM, Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres Mara (SPIKE), dan Skim Pembiayaan Am Mara (SPPA).

Di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh, Mara telah membimbing 62,586 usahawan dengan pembiayaan terkini berjumlah RM1.99 bilion.

Tambah Rosdi, SPIKE merupakan skim yang paling menerima sambutan memberangsangkan sejak ia dilancarkan awal tahun ini.

Katanya, skim tersebut bagi memberi bantuan pinjaman secara cepat kepada para kontraktor terutamanya di kalangan kelas F.

''Pembiayaan itu akan diluluskan dalam tempoh tiga hari permohonan sahaja yang memberi kemudahan kewangan kepada para kontraktor yang memerlukan bantuan,'' ujarnya.

Sementara itu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata. masih terdapat ruang untuk pengusaha tempatan menguasai pasaran halal di peringkat serantau dan juga dunia kerana industri berkenaan masih baharu.

Beliau berkata, jika digabungkan dengan pasaran halal untuk perubatan, kosmetik dan barang-barang keperluan yang lain, adalah jelas bahawa potensi industri halal amat tinggi.

''Sekarang sudah terdapat negara-negara yang merupakan pengeksport utama di dalam bidang halal termasuk Thailand, Turki dan India.

''Malah, Amerika Syarikat dan Eropah juga telah mula melibatkan diri secara serius dalam industri tersebut,'' katanya.

Sunday 4 September 2011

170 RIBU ORANG TONTON PIALA MONSUN


Piala Monsun, acara kejohanan perahu layar antarabangsa di Pulau Duyong, Terengganu yang dimulakan sejak 2005, ternyata memainkan peranan penting dalam menjana pembangunan ekonomi di negeri itu terutamanya penduduk setempat.

Pengerusi Tbest Events Sdn. Bhd. (Tbest), Tan Sri Sabaruddin Chik (gambar) berkata, selain mengurangkan pergantungan kepada sumber ekonomi tradisional, ia juga mengubah lanskap khususnya di Pulau Duyong yang terletaknya di muara Sungai Terengganu.

"Penganjuran ini bukanlah satu pembaziran kerana ia mampu menarik kedatangan pelancong ke Terengganu yang mana keindahan dan kebudayaannya turut ditatapi oleh jutaan penduduk dunia,''kata beliau.

Piala Monsun pada tahun ini diadakan dari 22 hingga 27 November dengan pelbagai aktiviti sampingan berkaitan kapal layar selain perlumbaan utama yang disertai oleh pasukan kapal layar terbaik dunia.

Jelas Sabaruddin, Piala Monsun sebenarnya merupakan ilham bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang berpendapat keadaan monsun yang biasa berlaku di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia pada penghujung tahun, tidak seharusnya menjadi penghalang kepada sebarang bentuk aktiviti ekonomi.

"Beliau mencadangkan pertandingan ini diadakan untuk merancakkan pembangunan di kawasan perkampungan nelayan seperti mana kita dapat perhatikan pada masa ini," kata beliau.

Katanya, berdasarkan perangkaan penganjuran pada tahun lalu, kedatangan pelancong ke Terengganu ketika berlangsungnya Piala Monsun 2010 berjaya menggalakkan perbelanjaan setempat berjumlah RM13.1 juta.

Pada sepanjang enam hari berlangsungnya pertandingan itu, jumlah kedatangan penonton yang direkodkan seramai 170,772 orang dan pertandingan itu disiarkan menerusi televisyen ke seluruh dunia melibatkan penonton seramai 1.7 bilion orang.

Selain itu, sebanyak 1,729 pekerjaan berjaya diwujudkan ketika berlangsungnya Piala Monsun 2010 daripada perkhidmatan sokongan kepada setiap pasukan hinggalah penyediaan makanan, kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.

Sabaruddin berkata demikian bagi menolak dakwaan bahawa penganjuran Piala Monsun merupakan satu pembaziran.
Piala Monsun yang diadakan sejak 2005 dikendalikan oleh Tbest yang diterajui oleh Sabaruddin sebagai Pengerusi sejak 2008.

Menurut bekas Menteri Pelancongan itu, pihaknya akan terus menganjur acara tersebut sehingga tahun depan.

Piala Monsun 2011 merupakan salah satu daripada lapan lokasi bagi Jelajah Perlumbaan Perahu Layar Dunia (WMRT) 2011 dan merupakan lokasinya yang terakhir bagi tahun ini.

Sebelum itu, perlumbaan telah diadakan di Perancis, Jerman, Korea Selatan, Portugal, Sweden, Switzerland dan Bermuda sebelum ke Malaysia.

Sabaruddin menjelaskan, pembangunan yang dilakukan menyebabkan mereka yang terlibat dipindahkan ke lokasi kediaman baharu berupa apartmen mewah lengkap dengan keperluan asas.

Katanya, kesan penganjuran itu turut merangsang pertumbuhan ekonomi perusahaan industri kecil dan sederhana.
"Sejak 2008, kerajaan melalui Kementeria Belia dan Sukan memperuntukkan sejumlah RM20 juta kepada syarikat bagi mengendalikan pertandingan ini dan pelbagai aktiviti lagi berkaitan belia," katanya.

Katanya, setiap kali penganjuran, Tbest tidak pernah melupakan penglibatan masyarakat tempatan termasuk kepada golongan muda.

Friday 2 September 2011

AIM PERUNTUKKAN RM1.5 BILION PINJAMAN


Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memperuntukkan RM1.5 bilion bagi pinjaman kepada golongan miskin menjalankan perniagaan pada tahun ini, kata Pengerusinya, Datuk Amihamzah Ahmad.

Beliau berkata, jumlah itu meningkat berbanding peruntukan RM800 juta yang memberi manfaat kepada lebih 100,000 peminjam pada tahun lepas.

Katanya, pinjaman serendah RM2,000 sehingga maksimum RM50,000 itu diberikan, terutama kepada mereka yang berpendapatan RM720 ke bawah sebulan tanpa mengira kaum.

"Pinjaman mudah tanpa cagaran ini bertujuan mengurangkan kadar kemiskinan tegar dan miskin di kalangan rakyat terutamanya penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya di sini, hari ini.

Amihamzah berkata, sejak ditubuhkan pada 1987 hingga kini, AIM telah mengeluarkan pinjaman berjumlah lebih RM5 bilion kepada 257,000 peminjam di seluruh negara.

Katanya, 99.8 peratus daripada peminjam terbabit berjaya melunaskan bayaran masing-masing mengikut jadual. – Bernama

Thursday 1 September 2011

SSPN URUSNIAGA DALAM TALIAN TAHUN DEPAN

Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) akan mengendalikan proses pendaftaran dan urusniaga secara dalam talian melalui ejen yang dilantiknya mulai tahun depan.

Pengurus Kanan Pelaburan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Tuan Din Tuan Mat, berkata langkah itu memudahkan kepada mereka yang mahu menjadi anggotanya melalui beberapa bank yang dilantik sebagai ejen di seluruh negara.

Antara institusi kewangan terbabit ialah Maybank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Rakyat, Agro Bank, CIMB Bank dan Bank Islam Malaysia Berhad.
"Usaha ke arah penambahbaikan skim itu akan dapat menarik lebih ramai pelabur menyertainya sejak ia dilancarkan (pada 2004), katanya kepada Bernama selepas diwawancara Radio Malaysia Kelantan sempena program Merdeka Raya di sini, hari ini.

Tuan Din berkata, buat masa ini, hanya Maybank menjadi ejen pertama memperkenalkan sistem perkhidmatan sistem dalam talian.

Beliau berkata, skim itu menjanjikan dividen lumayan selain pelepasan cukai pendapatan dan kemudahan kepada anak yang bakal melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

Tuan Din berkata, sejak pelancarannya tujuh tahun lalu, SSPN mengumpul RM500 juta melalui penyimpan yang hampir mencecah sejuta orang. 
Beliau berkata, melalui penubuhan SSPN, ibu bapa tidak lagi menghadapi masalah pinjaman dengan perbadanan itu yang menjadi salah satu tabung yang mempunyai daya saing kepada badan lain yang kompetitif.

Katanya, sejak PTPTN diperkenalkan pada 1997, ia menyediakan kira-kira RM4 bilion peruntukan pinjaman kepada pelajar setahun, dengan jumlah pembiayaan yang diluluskan sehingga kini berjumlah lebih RM39 bilion.

“Kira-kira 75 peratus daripada peminjam menjelaskan pijaman mereka,” katanya, sambil meminta peminjam yang gagal menjelaskan tunggakan pinjaman supaya datang ke pejabat PTPTN untuk berunding mengenai bayaran balik pinjaman bagi mengelak tindakan undang-undang.