VaultSafeUall

Thursday 10 November 2011

PROJEK PETRONAS RM45 BILION BERI IMPAK

Inisiatif Petronas untuk mengembangkan projek huluan dan hiliran gas serta minyak yang melibatkan perbelanjaan modal disatukan RM45 bilion dijangka memberi impak yang besar kepada ekonomi negeri Sabah, kata bekas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Ahmadshah Abdullah.

Sambil memberi contoh projek Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis, beliau yang kini penaung kepada Tun Ahmadshah Oil dan Gas Academy (TAS) berkata semua lapisan rakyat negeri ini, khususnya masyarakat setempat, seharusnya bangga dengan projek mega yang dijangka siap pada 2013 itu.

"Saya percaya dengan pembangunan pesat industri minyak, gas dan tenaga di Sabah, peranan TAS Academy bersama-sama Pusat Pembangunan Profesional UMS Link (UCPD) sebagai penyelia latihan dalam sektor ini akan menjadi lebih penting.

"Ini selaras dengan agenda kerajaan melahirkan modal insan yang berpengetahun serta berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal dan pengurusan seterusnya mampu mengisi peluang kerjaya dalam bidang ini," katanya.

Ahmadshah berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampian sijil kepada 45 graduan TAS Academy dan UCPD di 1Borneo, Likas dekat sini Khamis.

TAS Academy ditubuhkan pada 2008 sebagai pusat latihan profesional dalam bidang operasi teknikal minyak dan gas yang pertama di Sabah.

Katanya penubuhannya amat bertepatan dalam melengkapkan keperluan potensi perkembangan industri minyak dan gas khususnya di Sabah.

Ahmadshah berkata beliau bangga kerana kesemua graduan TAS Academy sudah pun diambil bekerja oleh syarikat industri minyak dan gas sebelum mereka menerima sijil masing-masing.

Katanya terdapat potensi yang besar dalam industri minyak dan gas dalam pembangunan negeri Sabah dan negara.

Beliau berkata ini terbukti ekoran penemuan beberapa telaga minyak baru di perairan Sabah yang dijangka memberi perubahan dan impak yang besar dari segi nilai ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Ia juga dapat membantu memacu dan meningkatkan perkembangan ekonomi negeri Sabah, katanya.

Ahmadshah berkata sektor minyak, gas dan tenaga negara dijangka memerlukan sekitar 21,000 pekerja berkemahiran tinggi bagi memacu pembangunan sektor itu menjelang 2020.

Wednesday 9 November 2011

PROJEK PETRONAS RM4.6 BILION DI SIPITANG

Industri minyak dan Gas dijangka mewujudkan banyak pekerjaan di Sabah pada tahun-tahun mendatang, kata syarikat pengambilan pekerja dalam industri minyak dan gas.

Projek loji Sabah Ammonia-Urea (Samur) bernilai RM4.6 bilion di Sipitang, yang dimiliki Petronas Chemicals Group Bhd, secara sendirian sahaja dijangka mewujudkan sekurang-kurangnya 400 pekerjaan bagi rakyat tempatan sebaik beroperasi sepenuhnya, dan ini tidak termasuk projek seperti Terminal Minyak dan Gas Sabah, Projek Talian Paip Gas Sabah-Sarawak, loji kuasa elektrik Kimanis dan Lahad Datu, projek air dalam Gumusut-Kakap dan projek berkaitan yang sedang dilaksanakan.

Ketua Pegawai Eksekutif C N Dumo Consulting Worldwide Sdn Bhd Aminudin Sajadi yang berpangkalan di Kuala Lumpur berkata lepasan sekolah, golongan muda dan para pekerja mahir dijangka mengisi kebanyakan pekerjaan yang baru diwujudkan itu.

"Para pemohon tidak semestinya perlu memiliki ijazah universiti. Bagaimana pun, industri minyak dan gas adalah bidang yang khusus yang memerlukan tenaga kerja terlatih atau pekerja mahir, yang bermakna kita tidak boleh bergantung kepada pekerja am untuk bidang yang unik."

"Pada pandangan saya, wujud cabaran bagi rakyat Sabah kerana negeri ini masih kekurangan tenaga kerja terlatih bagi industri ini, tetapi pandangan jauh pengurusan Petronas telah menubuhkan Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC) bagi menampung keperluan industri itu di negeri ini," katanya kepada Bernama di sini.

Aminudin, yang berpengalaman lebih dua dekad dalam bidang ini, berkeyakinan rakyat Sabah akan diberi keutamaan oleh Petronas di segi peluang pekerjaan dan perniagaan.

KTC beroperasi dari tapak sementara di Membakut, di mana ia mengambil pelatih pertama 25 pelatih baru-baru ini. Petronas merancang membina kampus tetap KTC di Kimanis pada harga RM50 juta dan dijangka siap menjelang 2013.

KTC turut melengkapi usaha latihan Petronas sedia ada di Sabah, melalui kerjasama dengan Institut Kemahiran Mara, Institut Latihan Perindustrian dan Kolej Yayasan Sabah di Kota Kinabalu, Giatmara di Kimanis, dan Institut Latihan Teknikal dan Perdagangan di Papar.

Aminudin turut mencadangkan kerajaan negeri Sabah supaya melengkapi usaha Petronas itu dengan menaja kesemua pelatih rakyat Sabah di dalam bidang itu, sama ada di Sabah atau Semenanjung Malaysia serta di seberang laut.

Wednesday 2 November 2011

TIADA MRT LAGI JEM KL

Malaysia akan berhadapan dengan kesesakan trafik yang teruk jika aliran transit massa (MRT) tidak tersedia menjelang 2020, kata Datuk Seri Idris Jala, ketua pegawai eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu).

"Jika kita tiada MRT, saya jamin menjelang tahun 2020, bandar ini (Lembah Klang) akan sesak teruk," kata beliau dalam taklimat media bersempena dengan siapnya 12 bulan pertama Program Transformasi Ekonomi.

Beliau berkata tiada bilangan bas akan menyelesaikan masalah trafik bandar, dan Malaysia memerlukan modus operandi yang berbeza sebagai penyelesaian.

Idris berkata beliau menghabiskan masa selama 15 minit setiap hari di Twitter untuk memberi respon kepada komen orang ramai mengenai ETP, sambil menambah kebanyakan rungutan ialah mengenai pengangkutan awam terutamanya perkhidmatan bas dan keretapi Komuter KTM.

Beliau berkata orang ramai masih lagi belum sedar mengenai usaha-usaha kerajaan untuk memperbaiki sistem pengangkutan jalan raya, sambil memberi contoh tempahan untuk keretapi dan bas baharu serta menghias semula perhentian bas di Lembah Klang.

"Segala-galanya telah dilakukan dan orang ramai masih lagi merungut kerana jawapannya bergantung dengan MRT," tambah beliau.

Bagi mengurangkan kos, Idris berkata Malaysia telah belajar dengan menderaf pembangunan MRT termasuk dari Korea Selatan, Jepun dan Singapura.