VaultSafeUall

Friday 20 January 2012

KHAMIL TERSENYUM LEBAR

PENERAJU Kumpulan DRB-HICOM Bhd., Datuk Seri Mohd Khamil Jamil, mempunyai alasan yang kuat untuk tersenyum lebar pada minggu ini .

Beliau gembira bukan hanya kerana berjaya menguasai Proton Holdings Bhd. (Proton) tetapi juga dapat memuktamadkan perjanjian urus niaga itu pada Isnin dalam minggu jatuhnya tarikh hari lahir beliau.

''Menguasai Proton adalah hadiah hari lahir saya,'' kata Mohd Khamil sambil tidak menafikan bahawa kalau masa mampu diubah, beliau ingin sekali memeterainya hari ini (Jumaat) mengambil sempena hari jadinya.

Kejayaan besar dan bersejarah itu merealisasikan harapan beliau untuk menempatkan Proton di bawah sayap DRB-HICOM terkabul juga selepas sekian lama ditunggu-tunggu.

Penantian yang lama itu sinonim dengan jiwa beliau sebagai ahli korporat yang dikenali di kalangan media sebagai kaki pancing tegar dan peminat fotografi.

Sebenarnya, kehadiran semula syarikat pengeluar kereta nasional itu di bawah Kumpulan tersebut selepas diambil alih Petronas akibat krisis kewangan pada 1987, boleh diibaratkan seperti sirih pulang ke gagang.

Mohd Khamil yang kini memasuki tahun keenam menerajui Kumpulan itu, menyifatkan kejayaan itu adalah hasil usaha keras semua pihak dalam pengurusannya.

Beliau berkata, dirinya juga bertuah kerana memiliki barisan pengurusan yang cukup mantap untuk membawa syarikat itu ke peringkat yang lebih tinggi.

DRB-HICOM telah berkembang pesat selepas syarikat bermasalah itu diambil alih oleh tokoh korporat Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary pada 2004 selepas kematian pengasasnya Tan Sri Yahaya Ahmad.

Mohd Khamil tidak menyembunyikan kekecewaannya tentang sikap sesetengah pihak yang terus mempertikaikan keupayaan dan kebolehan DRB-HICOM, sedangkan syarikat seperti Mercedes berbangga dengan keupayaan anak Malaysia menghasilkan kereta mewah setanding dengan dipasang keluar negara.

Beliau berkata, DRB-HICOM berharap untuk melahirkan kereta ASEAN yang mewakili kerjasama yang menyaksikan Malaysia bertindak sebagai penerajunya.

Katanya: ''Setelah ketinggalan kepada Thailand dan Indonesia, kita tidak boleh membiarkan pula Vietnam mengatasi kita dalam industri automotif yang pernah mengukir nama Malaysia sebagai penerajunya.''

Beliau percaya DRB-HICOM melalui Proton mampu bersaing dengan syarikat terkemuka lain dalam mengadakan kenderaan elektrik dan juga hibrid di peringkat pasaran sejagat.

''Kami berharap untuk berbincang dengan para pengeluar kereta di rantau ini dan merintis pembangunan kereta elektrik ASEAN termasuk infrastruktur dan kemudahannya.'' jelas beliau.
Mohd Khamil percaya perkara mampu dicapai dengan wujudnya pemuafakatan dan pembabitan dengan semua pengeluar automotif di rantau ini.

Monday 16 January 2012

PETRONAS SASAR 1,000 STESEN MINYAK HUJUNG TAHUN INI

Bilangan stesen minyak Petronas bakal melepasi paras 1,000 buah seluruh negara sebelum akhir tahun ini berbanding 968 buah ketika ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Bhd. (PDB), Amir Hamzah Azizan berkata, PDB memperuntukkan antara RM350 juta hingga RM400 juta setahun untuk kos dan pengembangan operasinya.

"PDB akan menambah 67 buah stesen minyak baharu pelbagai saiz di seluruh negara sepanjang tahun ini dan jumlah keseluruhan bakal mencecah 1,035 buah akhir 2012," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan kempen Petronas Coffee Break kali ke-13, di sini hari ini.

Kempen yang dianjurkan sempena cuti Tahun Baru Cina tersebut merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial syarikat petroleum nasional berkenaan selain memberi kemudahan kepada pelanggan setianya.
Pada kempen kali ini, PDB turut memperkenalkan aplikasi Petronas Pitstop yang berperanan memberi maklumat kepada orang ramai berkenaan semua lokasi stesen minyak Petronas menerusi telefon pintar iPhone.

Aplikasi Petronas Pitstop boleh dimuat turun secara percuma mulai hari ini dan pengguna boleh mengawasi perbelanjaan minyak, memeriksa mata ganjaran Kad Mesra, pelbagai informasi terbaharu dan berhubung dengan Mesralink PDB secara dalam talian.

Aplikasi baharu tersebut akan mula ditawarkan kepada sistem operasi Android dalam masa dua bulan lagi.
Amir Hamzah berkata, pengenalan aplikasi baharu tersebut menandakan kesungguhan PDB untuk membawa penambahbaikan perkhidmatan pelanggan dan akan dikembangkan dengan menawarkan pelbagai fungsi pada masa depan.

Menurutnya, kempen Petronas Coffee Break mendapat kerjasama daripada Old Town White Coffee, Tropicana Twister, Julie's Love Letter, Oriental Food, Petrosains dan Perusaaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua).

"Orang ramai akan menikmati makanan dan minuman percuma serta pemeriksaan kenderaan secara percuma oleh Perodua sepanjang kempen tersebut," jelasnya.

Petronas Coffee Break akan dilakukan dalam dua fasa iaitu pada 20 hingga 22 Januari ini dan 26 hingga 29 Januari depan di 32 buah stesen minyak terpilih.

Wednesday 11 January 2012

45 SYARIKAT DAPAT LESEN FRANCAIS

Sebanyak 45 syarikat telah menerima lesen francais dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di bawah Akta Francais 1998 Selasa.

Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Saripuddin Kasin berkata 31 daripada syarikat itu adalah pemberi francais tempatan (francaisor) manakala 14 syarikat yang lain adalah francaisi kepada francaisor asing (master francaisi).

Antara syarikat yang mendapat kelulusan ialah Ayam Penyet API Sdn Bhd, Masterskill (M) Sdn Bhd, KK Home Deco Sdn Bhd dan Vitality Boost Sdn Bhd (Boost Juice Bars), katanya majlis penyampaian lesen francais di sini.

Lesen-lesen itu telah disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Saripuddin berkata kementerian itu juga menggalakkan lagi mana-mana syarikat untuk mengembangkan perniagaan mereka melalui sistem francais.

"Usaha ini juga diharap dapat membuka minda bakal-bakal usahawan untuk menceburi bidang perniagaan francais," katanya.

Wednesday 4 January 2012

SALLEH TIDAK AMBIL KESEMPATAN

Bekas Presiden Bursa Malaysia, Datuk Salleh Majid yang meninggal dunia semalam dikenang sebagai seorang yang sederhana dan tidak mengambil kesempatan menggunakan bidang korporat untuk meraih kepentingan peribadi.


Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang mengenali Allahyarham sejak belajar di Institut Teknologi Mara (ITM) pada 1960-an berkata, Salleh seorang yang jujur dan bertanggungjawab dalam menguruskan hal ehwal korporat.

"Satu perkara yang saya kagum mengenai Allahyarham adalah dia tidak mengambil kesempatan walaupun berada dalam bidang korporat, sebaliknya memilih hidup secara sederhana," katanya ketika ditemui pada majlis pengebumian Salleh di Hulu Kelang hari ini.

Salleh, 62, yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak empat hari lalu meninggal dunia akibat kanser usus dan buah pinggang.

Menurut Ibrahim, beliau mengagumi komitmen Salleh dalam memperjuangkan agenda ekonomi Melayu.

"Negara kehilangan seorang tokoh ekonomi yang gigih memperjuangkan agenda ekonomi Melayu dan saya pula kehilangan seorang sahabat baik yang banyak membantu Perkasa," katanya.

Sementara itu bekas Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Azman Ujang berkata, Allahyarham pada tahun lalu pernah menceritakan rancangannya untuk menubuhkan bursa saham yang melibatkan penyertaan lapan negara Islam.

"Beliau menyiapkan kertas kerja mengenainya dan berhasrat menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membentangkannya. Namun, masalah kesihatan mungkin menghalang," katanya.

Jelas beliau, sebagai pemberita Meja Ekonomi di Bernama, beliau sering bertemu Allahyarham dan mengagumi usahanya membawa kemajuan ekonomi negara.

Dalam pada itu seorang lagi sahabat Allahyarham, Ishak Mohamad, 62, mengenali Allahyarham sebagai seorang yang gemar bergurau sehingga sukar untuk mengetahui waktu beliau berjenaka atau serius.

"Semasa di ITM dahulu kami memanggilnya Wak Salleh kerana dia ada darah Jawa dan dia memang suka bergurau.

"Saya sempat melawatnya di hospital dan kehilangannya memang amat menyedihkan kerana beliau seorang sahabat yang sangat baik," katanya.

Tuesday 3 January 2012

2011 TAHUN AKTIF BAGI PETRONAS

2011, atau Tahun Arnab pada kalender Cina yang melambangkan nasib yang bertuah, muncul sebagai tahun aktif bagi Petronas yang meningkatkan kehadirannya di Sabah.

Petronas telah mengumumkan pelaburan dan komitmen bagi melakukan perbelanjaan modal sebanyak RM45 bilion pada tahun ini bagi melaksanakan pelan terperinci minyak dan gas bagi Sabah, dengan melaksanakan beberapa projek huluan dan hiliran untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

Pada 4 Ogos lepas, Pengurus Besar Petronas Wilayah Sabah dan Labuan Joseph Podtung berkata sesetengah projek itu telah bermula manakala yang lain dijangka dimulakan tidak lama lagi.

Beliau yakin projek jangka panjang itu dan bermodal besar serta menambah nilai sumber petroleum negeri itu akan menghasilkan perolehan lebih besar bagi negeri itu, selain perolehan dari royalti dan projek berkenaan akan menjadi pemangkin bagi pertumbuhan ekonomi sambil menyediakan pelbagai limpahan bagi manfaat sosio-ekonomi negeri itu.

Projek utama di bawah pelan itu, kata Podtung ialah Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) yang bernilai RM3.8 bilion, loji kuasa menggunakan arang batu 300MW bernilai RM1.5 bilion di Kimanis, kilang baja bernilai RM4.6 bilion di Sipitang dan Terminal Pembotolan Semula Gas Asli Cecair (LNG) di Lahad Datu bagi dijadikan bahan api cadangan loji kuasa 300MW yang baharu di kawasan itu.

Terminal dan loji kuasa itu dijangka menelan belanja RM2.2 bilion.

Pengumuman itu mendapat reaksi positif semua pihak, walau pun ada yang berpendapat langkah Petronas di Sabah itu boleh ditambah baik lagi.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, yang juga Menteri Kewangan Negeri, sambil mengucapkan terima kasih kepada Petronas, telah memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan memberikan sokongan dan bantuan untuk membantu memudahkan aktiviti berkaitan Petronas di Sabah.

Sebagai contoh, katanya Projek Kilang Loji Ammionia-Urea Sabah (Samur) milik Petronas Chemicals Group Bhd di Sipitang dijangka memberikan kontrak bernilai RM600 juta kepada syarikat dari Sabah di dalam pelaksanaan projek itu.

"Ini juga melambangkan kesungguhan Petronas menyediakan rakyat Malaysia di Sabah peluang untuk menjadi pemain di dalam perniagaan minyak dan gas," katanya.

Pada November, bekas yang Dipertua Negeri Tun Ahmadshah Abdullah berkata pelaburan Petronas itu akan memberikan impak yang besar terhadap ekonomi negeri itu yang boleh dibanggakan oleh rakyat Sabah.

Projek mega itu dijangka siap pada 2013.

Penemuan beberapa telaga minyak di luar pesisir Sabah dijangka membantu menjana ekonomi negeri itu dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi rakyat Sabah, katanya, sambil menyatakan sektor minyak dan gas serta tenaga negara dijangka memerlukan sekitar 21,000 pekerja sangat mahir menjelang 2020.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bongawan Datuk Karim Bujang yang mengulas mengenai pengumuman itu pula berkata Petronas telah banyak berbudi kepada rakyat dan negeri Sabah.

Karim berkata beliau menyokong keputusan Speaker Dewan Negeri menolak usul pada persidangan Dewan Undangan Negeri awal tahun lepas oleh Adun Luyang dari Parti Maju Sabah (SAPP) Melanie Chia yang mengusulkan kerajaan negeri menyemak semula perjanjian royalti petroleum dari 5.0 peratus kepada 20 peratus.

"Saya percaya manfaat dari limpahan projek berkenaan lebih dari royalti yang diminta di dalam usul itu," kata Karim.

Sehingga Ogos tahun lepas, Petronas telah melabur RM61 billion di dalam aktiviti huluan dan hiliran di dalam sektor petroleum Sabah, yang sekaligus memberi sumbangan yang besar pada pembangunan negeri itu.

Tahun lepas, Petronas menemui minyak di luar pesisir Sabah, yang mengikut anggaran awal mempunyai rezab 227 juta tong minyak bersamaan (boe) dan ujian di tiga takungan yang berbeza menunjukkan kadar pengeluaran maksimum 8,200 tong sehari (bpd).

Persatuan Kontraktor Minyak dan Gas Sabah (SOGCA), yang turut mengulas, berkata industri minyak dan gas Sabah telah mendapat suntikan jangka panjang berikutan pelan Petronas membuat pelaburan berkenaan di Sabah.

Pada Forum Minyak dan Gas Sabah pada 4 Nov, Presidennya, Datuk Iskandar Malik telah melahirkan penghargaannya kepada Petronas kerana melaksanakan projek itu di Sabah, yang memberikan manfaat kepada rakyat sabah khususnya dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Presiden Pekilang-Pekilang Sabah Datuk Wong Ken Thau berkata industri itu dijangka meningkatkan sumbangan sektor pengeluaran terhadap keluaran dalam negeri kasar (KDNK) Sabah bagi tempoh lima tahun akan datang.

Wong menjangka Petronas akan memainkan peranan penting mencapai hasrat yang diingini di Sabah.

Petronas juga dilaporkan memberi keutamaan kepada rakyat tempatan di segi peluang perniagaan, terutama sekali dalam pengendalian stesen minyak Petronas.

Bekas peniaga stesen minyak Petronas yang beralih menjadi ahli politik, Jahid Jahim berkata kesemua stesen minyak Petronas di Sabah adalah 100 peratus milik orang tempatan.

Jahid, yang kini Menteri Muda Belia dan Sukan, berkata ini menunjukkan komitmen dan keseriusan Petronas untuk membantu dan memupuk rakyat Sabah untuk berjaya dalam perniagaan stesen minyak dan projek tanggung jawab sosial korporat (CSR) dan peranan Petronas dalam pusat latihan di Kimanis di dalam pengeluaran pekerja mahir, terutama bagi sektor minyak dan gas.

Bagi memenuhi keperluan melahirkan tenaga kerja pakar di dalam industri minyak dan gas, Petronas turut menjalin perjanjian dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada awal tahun lepas bagi melaksanakan kursus ijazah Sarjana yang berkaitan.

SALLEH MAJID DALAM KENANGAN

Datuk Mohd Salleh Abdul Majid, bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia) adalah seorang yang tidak lokek untuk memberikan pandangan terhadap isu-isu ekonomi terkini.

Dunia kewartawanan pastinya kehilangan seorang tokoh ekonomi yang sentiasa memastikan dirinya tidak ketinggalan dalam perkembangan ekonomi semasa walaupun telah meninggalkan dunia pasaran saham hampir sembilan tahun yang lalu.

Mohd Salleh, 62, yang menghembuskan nafas terakhir hari ini, kerap ditemu bual media massa apabila melibatkan isu-isu ekonomi dan kewangan seperti Belanjawan tahunan, pasaran saham dan sebagainya.

Allahyarham meninggal dunia akibat barah rektum dan kegagalan buah pinggang kira-kira 10.20 pagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini.

Ahli Kehormat Persatuan Bahasa, Mohd Salleh juga turut mempunyai kolumnya sendiri di beberapa akhbar tempatan bagi melontarkan pandangan beliau berkaitan isu-isu ekonomi terkini.

Selain Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham adalah antara tokoh ekonomi yang sangat menggalakkan pembelian emas sebagai pelaburan alternatif.

"Tidak ada negara yang mata wangnya tidak tertakluk kepada turun naik nilai emas, termasuklah negara kita semasa krisis 97/98 yang mana mata wang kita dikatakan menjadi bahan spekulator dan pernah jatuh ke paras serendah RM4.50 untuk satu dolar Amerika. Mata wang dunia tidak lagi disokong oleh emas dan negara seperti Amerika Syarikat didapati boleh mengeluarkan seberapa banyak wang sesuka hati mereka," katanya dalam salah satu ruangannya.

Agak digeruni wartawan, beliau yang lebih dikenali sebagai "Salleh Majid" sentiasa mahukan perkongsian pandangan secara dua hala di mana wartawan harus bersedia untuk disoal semula oleh beliau.

Lebih gemar berinteraksi secara tidak formal ketika ditemu bual, kadangkala beliau akan bertanya semula kepada wartawan dengan soalan: "Kau faham tak apa yang aku cakap ni."

Memperoleh Master of Business Administration dari Northern Illinois University, Amerika Syarikat sekitar 1971, Mohd Salleh memulakan kerjayanya sebagai pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Pengurusan, Institut Teknologi Mara.

Setelah berkhidmat dalam sektor awam selama kira-kira enam tahun, Allahyarham kemudiannya memasuki sektor swasta dengan memulakan kariernya sebagai Pengurus, Udasaha Management Sdn Bhd, sebuah anak syarikat UDA.

Allahyarham bersama rakan-rakan di sebuah syarikat konsultasi kewangan dikatakan ketika ini sedang mengusahakan satu cadangan untuk diusulkan kepada kerajaan bagi mewujudkan sebuah Bursa Saham Islam di negara ini.

Sunday 1 January 2012

SABAH SELAMAT DI BAWAH MUSA

Sabah, di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, bukan sahaja sudah bersedia untuk menikmati keberuntungan dalam tahun-tahun akan datang malah ia juga berada pada kedudukan kewangan yang kukuh, dengan pilihan raya umum awal dijangka diadakan dalam Tahun Naga.

Dengan pengurusan kewangan dan sumbernya yang cekap dan berhemah, Sabah berada di bawah kepimpinan selamat Ketua Menteri Datuk Musa Aman.

Timbalan Ketua Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, pernah berkata pujian harus diberikan kepada Musa kerana meneraju negeri ini ke tahap yang lebih tinggi.

Salleh, yang juga yang dipertua dewan undangan negeri, pernah berkata malah Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, memuji kedudukan kewangan Sabah dan memberikannya perakuan baik bagi 11 tahun berturut-turut.

"Dengan rizabnya melebihi RM3 bilion, ini bukan calang-calang pencapaian bagi pentadbiran negeri yang juga mendapat penarafan tertinggi "AAA" daripada RAM Rating Services sejak tiga tahun lalu," kata seorang penganalisis.

Sabah juga memperoleh pensijilan ISO daripada Moody's International kerana pengurusan belanjawan negeri yang cekap dan wajar bagi tiga tahun berturut-turut.

Perlu juga ditegaskan bahawa laporan Ketua Audit Negara bagi tahun ini menunjukkan angka-angka sebenar yang mencerminkan pencapaian kewangan cemerlang negeri ini.

Salleh pernah berkata bahawa cetusan ilham Ketua Menteri, iaitu rangka tindakan "Halatuju", telah berjaya membawa pembangunan positif ke negeri ini dan banyak faedah kepada rakyat.

Ini, serta kestabilan politik negeri ini, telah menjadikan Sabah destinasi yang amat kondusif bagi pelabur asing.

Musa, yang terkenal kerana mengubah nasib negeri ini sejak beliau mengambil alih tampuk kuasa pada 2003, meningkatkan prasarana dan meniupkan nafas baharu dalam jentera negeri yang lemah.

Beliau mengejutkan pembangkang apabila beliau mengumumkan belanjawan negeri yang sangat besar iaitu RM4.04 bilion bagi 2012, yang terbesar dalam sejarah Sabah selama 48 tahun.

Musa, yang juga Menteri Kewangan Negeri, berkata perbelanjaan yang dianggarkan pada 2012 meliputi tiga komponen utama, iaitu emolumen (RM623.66 juta), perbelanjaan berulang (RM1.120 billion) dan perbelanjaan khas (RM2.303 bilion).

Beliau juga mengunjurkan perkembangan ekonomi negeri di antara 4.5 peratus dengan 5 peratus pada 2012.

Ahli Dewan Undangan Negeri bagi Kiulu, Datuk Louis Rampas, berkata ekonomi Sabah yang kukuh dengan rizab yang membanggakan bakal menjadi "kelebihan" bagi BN meskipun parti pemerintah itu mungkin menghadapi tugas berat dalam menghadapi barisan pembangkang kali ini.

Beliau berkata rakyat Sabah harus terus menyokong BN yang mempunyai rekod pencapaian yang terbukti dalam membela nasib rakyat, termasuk rakyat di pedalaman, dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam hubungan ini, beliau meminta parti-parti komponen BN di negeri ini berusaha keras dan berganding bahu untuk memastikan parti itu terus menjadi pilihan nombor satu rakyat.