VaultSafeUall

Tuesday 12 June 2012

PETRONAS JANGKA HARGA MINYAK NAIK


Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) menjangkakan harga minyak dunia tidak akan meningkat dengan mendadak untuk suku kedua ini.

Ketua Pegawai Operasi dan Naib Presiden Eksekutif (Perniagaan Hilirannya), Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, terdapat banyak faktor yang menyebabkan ketidaktentuan harga pasaran minyak dunia itu.

"Antaranya adalah ketidaktentuan ekonomi dunia serta ekonomi India dan China yang menunjukkan tanda-tanda pertumbuhan perlahan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran penyelesaian lima teknologi minyak dan gas yang baru di sini hari ini.

Majlis pelancaran itu dibuat bersempena dengan Persidangan Gas Dunia 2012.

Ketika ditanya sama ada sekatan minyak oleh Iran akan menjejaskan kapasiti pengeluarannya, Wan Zulkiflee berkata, selagi Petronas masih mendapat minyak berkualiti untuk loji penapisannya ia tidak menjejaskan bekalan Petronas.

Mengenai tinjauan hadapan bagi margin penapisannya, beliau menambah, ia akan berdepan dengan banyak cabaran.

"Bagaimanapun, selagi kami masih mampu mengekalkan prestasi berbanding pesaing, itu merupakan sasaran kami," jelasnya.

Terdahulu, Petronas melancarkan lima penyelesaian teknologi berkaitan teknologi dan teknikal untuk mengoptimumkan nilai pengeluaran hidrokarbon dan meningkatkan kecekapan operasi, produktiviti dan keselamatan dalam suasana operasi minyak dan gas.

Lima penyelesaian itu, merupakan batu lonjakan dalam pembangunan teknologi untuk Petronas.
Dengan jenama HycaPure Hg, Pipeassure, PnGmap, Smartcen dan Sep - iSys merupakan penyelesaian yang dibangunkan Petronas dengan rakan kerjasama teknologi strategik.

Sebahagian penyelesaian tersebut pada masa ini digunakan di kemudahan Petronas dan sebahagiannya dibangunkan oleh pelanggan pihak ketiga.