Tuesday 14 August 2012

AIR ASIA KENA PINDAH BILA KLIA2 SIAP


Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd. (AirAsia) mesti berpindah sebaik sahaja KLIA2 siap, kata Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Tan Sri Bashir Ahmad.

Beliau dengan tegas berkata, isu tidak mahu berpindah tidak timbul kerana pembinaan KLIA2 dibuat untuk memenuhi permintaan AirAsia, selain menampung lonjakan penumpang yang memberangsangkan.

"Apabila terminal itu (KLIA2) siap, mesti kena pindah. Terminal lapangan terbang tambang murah sedia ada akan ditutup selepas pembukaan KLIA2," tegas beliau ketika ditemui di sini.

Malah, beliau berkata, MAHB, selaku pengendali KLIA2 tidak akan melayan lagi sebarang permohonan mengenai perubahan di lapangan terbang itu untuk memastikan ikon baru di Sepang itu siap pada masa yang ditetapkan.

Bashir turut mengesahkan KLIA2 akan digunakan oleh tujuh syarikat penerbangan dan masih berunding dengan dua lagi.

Syarikat-syarikat penerbangan yang bakal beroperasi di KLIA2 ialah AirAsia Malaysia, Indonesia, Thailand, Cebu Pacific Air, Mandala Airlines, Tiger Airways dan Airphil Express.

Manakala dua syarikat penerbangan yang masih dalam perbincangan ialah Jetstar dan Lion Air.
Dalam perkembangan berkaitan, MAHB memberi jaminan bahawa projek pembinaan KLIA2 yang mencetuskan pelbagai polemik akan disiapkan dan beroperasi pada April 2013.

Menurut Bashir Ahmad, jaminan itu telah dibuat sendiri oleh para kontraktor yang dilantik dan terlibat dalam pembinaan KLIA2.

Beliau turut menegaskan kos KLIA2 tidak akan meningkat melebihi sasaran awal iaitu RM3.6 bilion hingga RM3.9 bilion.

"Lembaga Pengarah (MAHB) telah bermesyuarat mengenai KLIA2 dan kami masih mengekalkan KLIA2 akan disiap pada tarikh yang ditetapkan sebelum ini iaitu April 2013,'" katanya.

Ia merupakan kenyataan pertama oleh Bashir selepas MAHB dikritik oleh Tan Sri Tony Fernandes mengenai projek KLIA2 melalui laman sosialnya baru-baru ini.

Dalam kenyataan di blognya, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd. itu mendakwa KLIA2 akan menelan kos RM4 bilion dan beroperasi pada 2014.

Diminta mengulas mengenai dakwaan itu, Bashir yang terdiam sejenak dengan nada perlahan berkata, beliau tidak mahu membincangkan perkara-perkara berkaitan perbincangan perniagaan di luar.

"Saya percaya adalah tidak betul untuk membuat sebarang ulasan (mengenai perniagaan) yang membabitkan rakan perniagaan MAHB di luar bilik mesyuarat.

"Lagipun bagi saya dengan cara mendedahkan segala permasalahan di luar akan memberi kesan negatif kepada MAHB. Ia tidak baik," tambah beliau.

Friday 10 August 2012

YIT UNTUNG RM50 JUTA


Yayasan Islam Terengganu (YIT) dijangka meperolehi keuntungan bersih hampir RM50 juta apabila membangunkan beberapa bidang tanah miliknya di seluruh negeri ini.

Pengarahnya, Md Kamaru Al-Amin Ismail berkata YIT dijangka memperolehi keuntungan bersih hampir RM30 juta apabila sebidang tanah milik anak syarikat kerajaan negeri itu, yang terletak di tengah bandar ini, dibangunkan oleh pemaju hartanah swasta menjelang hujung tahun ini.

Katanya tanah yang akan dibangunkan itu, yang kini masih menjadi tapak meletak kenderaan, merupakan projek pembinaan sebuah menara setinggi 20 tingkat yang dianggarkan menelan belanja RM100 juta berhadapan rumah pangsa Kampung Kolam di sini.

"Kami baru selesai menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan satu syarikat tempatan untuk membangunkan kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

YIT sudah terima pendahuluan RM1.5 juta bagi pembangunan kawasan seluas kira-kira 2.2 hektar itu.
Mengulas lanjut mengenai projek itu, beliau berkata perlaksanaan projek itu dijadual bermula September ini apabila segala urusan dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) selesai.

Katanya projek yang menyediakan rumah kedai dan hotel serta menara itu dijangka siap sepenuhnya dua tahun lagi dan bakal menjadi mercu tanda YIT yang terbaharu di bandar ini. - BERNAMA

Tuesday 7 August 2012

BERHATI-HATI MELABUR


Para pelabur di negara ini perlu berhati-hati membuat pelaburan kewangan agar tidak terjebak melabur ke dalam syarikat-syarikat pelaburan yang tidak mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM), termasuk membabitkan skim-skim kewangan yang melibatkan pelaburan emas dan logam berharga lain.

Menurut BNM, sejumlah 77 syarikat atau individu telah disenaraikan sebagai entiti yang tidak mendapat kelulusan dan tidak sah menjalankan aktiviti pelaburan mengikut peraturan kewangan di negara ini.

Antara jenis-jenis aktiviti yang dijalankan oleh syarikat atau individu tersebut kebanyakannya berkisar kepada pelaburan emas, perniagaan mata wang asing atau menjalankan pelaburan tidak berlesen.

Bank pusat itu berkata, ia menerima pertanyaan daripada orang ramai berhubung dengan syarikat yang mendakwa sebagai institusi terjadual dengan BNM untuk membolehkan syarikat tersebut mendapatkan pelaburan daripada orang ramai.

BNM dalam satu kenyataan di sini hari ini menyatakan bank pusat itu tidak mengeluarkan sebarang lesen mahupun surat kebenaran perniagaan kepada syarikat yang menjalankan aktiviti pemajakan, pemfaktoran, pembangunan kewangan atau pembangunan kredit.

Tegasnya, di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989, syarikat-syarikat tersebut perlu mendapat perakuan bertulis daripada Bank Negara sebelum boleh menjalankan aktiviti itu di negara ini.

"Surat perakuan tersebut yang dikeluarkan oleh BNM bukan lesen perniagaan atau kelulusan daripada BNM berhubung dengan perniagaan terjadual seperti dinyatakan dalam surat perakuan berkenaan, ataupun perniagaan lain yang dijalankan oleh institusi terjadual berkenaan," kata bank itu.

"Senarai institusi terjadual yang telah mendapat perakuan daripada Bank Negara itu hanya untuk disimpan bagi tujuan perangkaan semata-mata.

"Sekiranya syarikat-syarikat tersebut telah berhenti daripada menjalankan perniagaan terjadualnya, BNM akan menarik balik surat perakuan tersebut," kata bank pusat itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Justeru ia menasihatkan orang ramai supaya berwaspada apabila berurusan dengan syarikat atau individu yang menggunakan surat perakuan yang dikatakan dikeluarkan oleh BNM untuk menarik pelaburan dalam pelbagai skim kewangan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh merujuk kepada bahagian 'Peringatan kepada Semua Penggguna Kewangan' yang terdapat di laman sesawang Bank Negarahttp://www.bnm.gov.my atau hubungi talian: 1-300-88-5465 atau dan e-mel:bnmtelelink@bnm.gov.my