VaultSafeUall

Saturday 20 October 2012

BANK JANGAN TERLALU KETAT LULUS PINJAMAN


Bank komersial dinasihatkan agar tidak terlalu ketat dalam meluluskan pinjaman perumahan, terutamanya kepada pembeli Skim Rumah Pertamaku di negara ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pemaju yang gagal menjual rumah kepada pembeli ekoran peraturan dan sekatan ketat daripada pihak bank.

"Tidak dinafikan Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan garis panduan kepada pihak bank komersial bagi mengelak ketidakupayaan bayaran balik pinjaman perumahan itu.

"Namun, bank komersial tidak perlu terlalu mengikut garis panduan itu, sebaliknya membuat penyelidikan sendiri sama ada peminjam tersebut mampu membayar balik pinjaman mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex) 2012 di sini hari ini.

Mapex 2012 adalah anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) itu disertai kira-kira 80 pemaju hartanah dengan 202 gerai pameran dan 14 institusi kewangan.

Ekspo itu berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 21 Oktober.

Tambah Chee Heung, 'kelonggaran' peraturan bank-bank komersial itu dilihat boleh memberi peluang kepada golongan muda dan berpendapatan sederhana untuk memiliki rumah.

Jelasnya, perkara itu juga akan merancakkan lagi industri pembinaan dan hartanah, sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

"Saya berharap sokongan daripada pihak bank bakal memberi manfaat kepada industri dan juga ekonomi Malaysia," ujarnya.

Dalam pada itu, Chee Heung memberitahu, Jabatan Perumahan Negara di bawah kementeriannya telah mengambil tindakan terhadap beberapa pemaju perumahan yang menyalahi undang-undang menyiarkan iklan di akhbar tempatan tanpa permit.

Katanya, kesemua mereka didapati bersalah kerana tidak mempamer dan memohon lesen pemaju serta nombor permit pengiklanan pada iklan yang disiarkan.

"Baru-baru ini pihak penguat kuasa Jabatan Perumahan Negara ada menjalankan operasi dan mengambil tindakan terhadap beberapa pemaju yang menyalahi undang-undang pengiklanan seperti gagal mempamerkan nombor lesen pemaju serta permit pengiklanan.

"Kita pandang serius perkara ini dan mana-mana pemaju yang ingin mengiklankan projek perumahan perlu memohon lesen dan permit daripada kementerian," katanya.


Tuesday 16 October 2012

PUNB TIDAK MOHON PINJAM DARI KERAJAAN


Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) tidak akan memohon pinjaman atau dana daripada kerajaan mulai tahun ini.

Pengerusinya, Khairy Jamaluddin berkata, PUNB kini mempunyai aset bernilai lebih RM1.5 bilion dan berupaya menggunakan sumber tersebut untuk terus berdaya saing dan mencatat keuntungan.

“Semenjak 1992, PUNB telah menerima pinjaman sejumlah RM800 juta dan kami akan membayar balik pinjaman-pinjaman itu kepada kerajaan secara berperingkat hingga tahun 2028.

“PUNB tidak patut bergantung sepenuhnya kepada kerajaan. Selepas saya mengambil alih jawatan pengerusi, saya fikir PUNB boleh menggunakan sumber yang ada," katanya pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Cabaran Pelan Perniagaan PUNB 2012 di sini hari ini.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, bagaimanapun, pihaknya masih terbuka untuk menerima geran daripada kerajaan bagi tujuan dan inisiatif khas dalam usaha meningkatkan tahap keusahawanan Bumiputera di negara ini.
...

Sunday 14 October 2012

BARANGAN DI KR1M BERKUALITI


Kerajaan memberi jaminan kesemua 283 barangan keperluan asas yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) adalah selamat dan kualitinya terjamin, sekali gus menafikan tohmahan segelintir pihak yang mempertikaikan barangan kedai tersebut.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebelum memasuki KR1M, kesemua barangan itu terlebih dahulu dihantar kepada Kementerian Kesihatan bagi memastikan kumpulan sasar mendapat barangan yang berkualiti.

"Kementerian kita tidak mempunyai kepakaran dan bidang kuasa mengenai kualiti tetapi Kementerian Kesihatan akan menentukannya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri dialog tahunan kementerian itu bersama pihak industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kota Kinabalu semalam.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk Sabah dan Labuan bagi tujuan program penyeragaman harga Sabah, Sarawak dan Labuan pada tahun depan, berbanding RM90 juta pada tahun sebelumnya.

Menurut Ismail Sabri, sebanyak 25 buah KR1M akan dibuka di Sabah dan dua di Labuan dengan nilai anggaran peruntukan kira-kira RM41 juta sebagai tambahan kepada hanya sebuah KR1M yang telah dibuka di negeri itu iaitu di Inanam di sini.