VaultSafeUall

Sunday 27 May 2012

AVILLION LANCAR VILA DI JANDA BAIK


Avillion Hotel Group melalui Avillion Private Collectionnya (APC) akan melancarkan dua lagi koleksi rumah persendirian dan vila di Janda Baik, Pahang dan Bali, Indonesia pada Jun dan Julai ini.

Pengarah Perniagaan Pemasaran dan Jualan Kumpulan, Helen Tan berkata, mereka merupakan rangkaian hotel yang pertama di Asia yang mempunyai model perniagaan mengurus dan memasarkan rumah persendirian dan vila untuk percutian.

“Konsep yang diperkenalkan adalah bagi memberi peluang kepada pemilik rumah persendirian dan vila percutian kepada pelancong asing dengan pengalaman berbeza bagi setiap rumah atau vila diuruskan kami.

“Dengan pelancaran dua lagi rumah dan vila percutian ini dapat memenuhi permintaan pelanggan terhadap konsep diperkenalkan kami ini.
...

Sunday 6 May 2012

MALAKOFF AKAN DISENARAI SEMULA

KONGLOMERAT kejuruteraan, MMC Corporation Bhd merancang menyenaraikan semula anak syarikat utamanya, Malakoff Bhd di Bursa Malaysia tahun depan sebagai antara strategi untuk membuka nilai aset serta mengukuhkan lagi keupayaan perniagaannya. 

Malakoff, penjana tenaga bebas (IPP) terbesar Malaysia dengan kapasiti menjana tenaga elektrik sehingga 5,020 megawatt (MW) dijadikan syarikat persendirian enam tahun lalu. Nilai semasa syarikat itu adalah sekitar RM8.8 bilion. Pengarah Urusan Kumpulan MMC, Datuk Hasni Harun, berkata proses untuk membuat tawaran awam permulaan (IPO) bagi penyenaraian semula Malakoff itu akan dimulakan tidak lama lagi dengan sasaran menyelesaikannya dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.

“Proses itu adalah untuk mendapatkan maklumat sama ada IPO itu boleh dilaksanakan atau sebaliknya. Sasaran lebih realistik untuk Malakoff disenaraikan adalah tahun depan,” katanya dalam temubual  di Kuala Lumpur, baru-baru ini. 

Rancangan penyenaraian semula Malakoff itu adalah sebahagian rancangan MMC untuk mengapungkan aset matangnya berikutan persekitaran perniagaan yang memberangsangkan serta prospek jangka panjang yang kukuh. 

MMC dijadualkan menyenaraikan anak syarikatnya, Gas Malaysia Bhd di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada suku ini serta berkemungkinan besar turut menyenaraikan pengendali pelabuhan yang dimilikinya, Johor Port. 
Hasni berkata, tempoh penyenaraian Malakoff itu bergantung kepada beberapa faktor seperti sentimen keseluruhan pasaran bagi membolehkannya merealisasikan penilaian yang optimum kepada syarikat itu. 

“Kumpulan secara berterusan mengkaji semula semua pelaburan dan akan melaksanakan langkah perlu untuk membentuk nilai kepada pemegang saham, tetapi masih terlalu awal untuk menganggarkan nilai pasarannya selepas disenaraikan, namun kami mahu memastikan yang terbaik untuk syarikat itu,” katanya. 

Selain portfolio IPP di dalam negara dengan loji janakuasa di lokasi sekitar Semenanjung, Malakoff juga beroperasi sebagai penjana kuasa dan air bebas (IWPP) di luar negara dengan kehadiran di Algeria dan Arab Saudi. 

Bagi mengukuhkan lagi portfolio perniagaan syarikat itu, Hasni berkata, Malakoff sedang giat melaksanakan beberapa kajian daya maju awal di beberapa negara dalam teknologi hijau, dengan tumpuan khusus kepada rantau Asia Barat dan Afrika Utara (MENA). 

“Malakoff menyasarkan beroperasi di negara yang umumnya mempunyai sumber asli untuk diteroka,” katanya. 

Beliau berkata, antara kajian daya maju awal yang sedang dilakukannya adalah cadangan membangunkan projek jana kuasa angin di Pakistan. 

Namun, tegasnya keputusan untuk meneruskan projek berkenaan bergantung sepenuhnya kepada kajian itu sama ada ia berdaya maju atau sebaliknya. 

Hasni berkata, kajian daya maju itu adalah sebahagian rancangan pengukuhan berterusan portfolio tenaga Malakoff di luar negara selepas ia melengkapkan pembelian 40 peratus kepentingan Hidd IWPP di Bahrain minggu lalu.