VaultSafeUall

Wednesday, 26 October 2011

KTCC BERI IMPAK JANGKA PANJANG

Projek Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC) oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Pantai Timur (ECERDC) akan memberi impak jangka panjang yang ketara ke atas pasaran hartanah Terengganu.

Wilayah itu akan dapat menarik lebih banyak pelaburan tempatan dan asing dalam sektor hartanah Terengganu menerusi pembangunan tanahnya yang mempunyai nilai pembangunan kasar RM5 bilion.

Foo Gee Jen, Pengarah Urusan CH Williams Talhar & Wong, perunding hartanah terkemuka, berkata kesan limpahan KTCC ke atas sektor hartanah tempatan sudahpun dapat dilihat di Kuala Terengganu apabila harga tanah dan rumah telah meningkat ketara.

"Trend ini dijangkakan berterusan mengikut fasa kemajuan KTCC, dan permintaan yang lebih tinggi untuk kawasan kediaman dan komersil di sekitar Kuala Terengganu.

"KTCC akan mengubah landskap Kuala Terengganu supaya setara dengan bandar raya lain di Malaysia, dan pusat bandar tebingan air akan berperanan sebagai destinasi pelancongan hebat," kata Foo kepada Bernama.

Foo berkata komponen strategik KTCC yang meliputi kediaman tebingan air, kelompok gaya hidup bersepadu, kampung kesihatan dan kesejahteraan serta resort tema, akan memacu permintaan yang kukuh untuk pembangunan perumahan dan komersil.

Beliau berkata kawasan komersil sedia ada di Kuala Terengganu seperti Paya Keladi, Kampung China dan Pasar Payang, sedang menjalani pembangunan semula dan ia akan mendapat manaat daripada lokasi yang strategik berhampiran KTCC.

"KTCC ialah pembangunan unik, tidak seperti di negeri lain, memandangkan ia adalah gerbang kepada aktiviti kehidupan resort dan marin, serta warisan kebudayaan unik Terengganu.

Pembangunan baharu yang menarik ini, yang terletak di kawasan strategik di tengah-tengah Kuala Terengganu, akan menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, dan akan mengurangkan kadar penghijrahan semasa ke pekan dan bandar besar lain.

"Kami menjangkakan lebih banyak pelaburan daripada pelabur tempatan dan asing yang akan merebut peluang daripada insentif yang ditawarkan oleh ECERDC, termasuk kelonggaran pemilikan tanah," katanya.

Pembangunan KTCC bertumpu sekitar Muara Utara, Muara Selatan, Pulau Warisan, Kampung Ladang/Tanjung dan Tebingan Corniche.

Keseluruhan pembangunan dianggarkan mewujudkan 82,000 pekerjaan menjelang 2020.

KTCC dijangkakan meliputi sebuah kompleks komersil, pusat konvensyen bertaraf antarabangsa, unit kediaman moden, tarikan membeli-belah, pusat perubatan, percutian dan pendidikan.

Jambatan angkat di situ akan menjadi ikon pertama seumpamanya di Malaysia, sekaligus mewujudkan mercu tanda menarik di Terengganu.

Projek dilancarkan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said di Kuala Terengganu minggu lepas.

Ia akan dilaksanakan menerusi dua fasa, dan akan siap menjelang 2020.

Tuesday, 25 October 2011

LEGA PM AMBIL TINDAKAN SEGERA

Persatuan Peniaga Sarang Burung Johor melahirkan kelegaan mereka selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tindakan segera menangani isu larangan yang dikenakan oleh China terhadap import sarang burung mentah dari Malaysia.

Presidennya, Gan Tiong Huat berkata larangan itu adalah disebabkan salah faham kerana sarang burung Malaysia telah memenuhi semua standard kesihatan dan tidak mempunyai kandungan nitrat yang tinggi seperti yang didakwa.

Sebaliknya beliau berkata ia adalah sarang burung yang diseludup ke China dari negara-negara lain tetapi dijenamakan seolah-olah ia datang dari Malaysia, yang telah memberikan nama buruk kepada negara.

"Suatu yang baik kerajaan menangani isu tersebut dan saya berharap ia akan diselesaikan segera," katanya semasa ditemui di gerai pameran Yi Zhen Bird's Nest Sdn Bhd di Ekspo China-Asean Ke-8 (CAEXPO 2011), yang sedang berlangsung di sini.

Malaysia merupakan pengeluar kedua terbesar sarang burung selepas Indonesia.

Menurut perangkaan rasmi, 80 peratus daripada sarang burung di pasaran China datang dari Malaysia.

Najib, yang mengunjungi Bandar Raya Hijau China ini untuk merasmikan bersama CAEXPO 2011 pada Jumaat lepas, telah membangkitkan isu kandungan nitrat itu kepada rakan sejawatannya, Wen Jiabao.

Beliau memberitahu pemberita sejurus sebelum berangkat pulang bahawa sekiranya larangan itu diteruskan, ia akan melumpuhkan satu daripada industri besar di Malaysia dan menjejaskan lebih 50,000 pengusaha, terutamanya di kawasan luar bandar, termasuk Bumiputera.

"Saya telah merayu agar satu penyelesaian di cari secepat mungkin," kata beliau sambil menambah Perdana Menteri China itu telah bersetuju untuk melihat perkara ini.

Najib juga memutuskan Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai melawat China dengan segera untuk mencari penyelesaian segera bagi isu ini.

Gan berkata Yi Zhen telah lama menghasilkan sarang burung di Batu Pahat, Johor, dan meneroka ke pasaran China kira-kira dua, tiga tahun lepas untuk memanfaatkan pasaran dengan jumlah penduduk 1.4 bilion itu.

Kira-kira 80 peratus pengeluaran sarang burung syarikat itu dieksport ke China dan ia dijual oleh rangkaian pengedarnya yang besar.

Pasaran eksport Yi Zhen yang lain termasuk Singapura, Taiwan dan Vietnam.

Bagi CAEXPO 2011, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) turut membawa beberapa pengeluar sarang burung diproses dan mentah lain termasuk Billion Success World Sdn Bhd, Sari Walit Sdn Bhd dan Ecolite Biotech Manufacturing Sdn Bhd.

Saturday, 22 October 2011

INDIA DESTINASI POPULAR RAKYAT MALAYSIA

Malaysia kini muncul sebagai pasaran pelancongan terbesar dari rantau Asean bagi trafik yang menuju ke India, kata Pengarah IndiaTourism yang berpangkalan di sini, Rajesh Talwar.

Katanya Malaysia menyediakan trafik terbesar ke India berbanding kesemua negara Asean yang lain di mana 150,000 rakyat Malaysia melawat negara itu pada tahun lepas.

"Trafik dari Malaysia dan Thailand telah mencatatkan pertumbuhan 16 peratus setiap satu," katanya kepada Bernama di pameran ITB Asia.

Menurutnya, Singapura, yang mencatatkan trafik ke India seramai 96,000 pelawat, menduduki tempat ke-dua, diikuti Thailand (74,000 pelawat) di tempat ke-tiga.

Talwar berkata pertumbuhan trafik pelancong ke India disumbang oleh peluasan penerbangan AirAsia Malaysia, yang terbang ke lapan atau sembilan destinasi di India.

"Penerbangan secara keseluruhannya, yang termasuk oleh syarikat penerbangan India, antara India dan Malaysia telah meningkat kepada 145 penerbangan seminggu," kata Talwar.

Selatan India dan "Segi Tiga Emas" yang terdiri daripada Delhi, Agra dan Jaipur, adalah destinasi popular di kalangan rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia juga melawat Himalaya hingga ke Kashmir dan Sikkim.

"Malah, setiap bahagian India menarik kepada pelancong dari rantau Asean, khususnya rakyat Malaysia yang selesa dengan budaya dan sejarah India," katanya, sambil menyatakan faktor Bollywood turut menarik pelancong Malaysia.

Untuk meningkatkan lagi trafik dari India ke Malaysia, sesetengah pengedali pelancongan India berharap Malaysia akan melonggarkan atau menarik balik "regim visa yang ketat" bagi para pemegang pasport India.

Thursday, 20 October 2011

HALIM NAFI TIDAK SEBULU DENGAN NAZAR

Pengerusi KUB Malaysia Bhd. (KUB), Datuk Abd. Halim Abd. Samad menafikan dakwaan kononnya beliau tidak sependapat dengan Mohd. Nazar Samad sehingga mendorong Pengarah Urusan itu melepaskan jawatannya.


''Hubungan saya dengan dengan Mohd. Nazar akrab dan tidak bermasalah,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengesahkan bahawa syarikat itu melanjutkan kontrak perkhidmatan Mohd. Nazar sehingga 2013 kerana berpuas hati dengan prestasi dan kejayaan memulihkan KUB.

Malah, katanya, Lembaga Pengarah telah menolak peletakan jawatan Mohd. Nazar yang dikemukakan pada awal tahun lalu.

''Bagaimanapun, kami terpaksa bersetuju dengan peletakan jawatan beliau untuk kali kedua pada 17 Oktober atas desakan sendiri dengan alasan untuk berehat.

''Tiada siapa mendesak atau menyuruh beliau untuk meletak jawatan,'' tambah beliau.

Abd. Halim menegaskan, peletakan jawatan Mohd. Nazar tidak akan menjejaskan transformasi KUB kerana beliau telah berjaya menjana strategi perniagaan berdaya tahan dan menyediakan pengurusan pelapis yang baik, selain bersedia memastikan proses peralihan dilakukan dengan lancar.

Sebaliknya, KUB yakin pengurusan baharu mampu meneruskan transformasi perniagaan KUB yang telah dibina oleh Mohd. Nazar dan mampu menjadikan KUB berprestasi lebih baik dan berdaya maju.

Tambahnya, Lembaga Pengarah KUB memilih Datuk Wan Mohd. Nor Wan Ahmad memangku jawatan Pengarah Urusan berdasarkan pengalaman 30 tahun dalam pengurusan strategik dan operasi.

Selain itu, Wan Mohd. Nor memiliki pengalaman dalam bidang gas petroleum cecair yang bakal menjadi salah satu operasi teras KUB.

''Beliau (Wan Mohd. Nor) telah bersama KUB sejak tahun 2001, kami yakin beliau mampu meneruskan legasi yang diusahakan selama ini,'' ujar Abd. Halim.

Tuesday, 18 October 2011

11 TAHUN RUGI, BILA UNTUNG, LETAK JAWATAN PULA

Pengarah Urusan KUB Malaysia Bhd. (KUB), Datuk Mohd. Nazar Samad telah meletakkan jawatannya, sekali gus menimbulkan tanda tanya tentang hala tuju dan masa depan syarikat itu.
 
Mohd. Nazar, 55, yang masih mempunyai kontrak lanjutan dengan KUB sehingga 2013 telah meletakkan jawatan secara rasmi semalam.

Lembaga Pengarah Kumpulan yang bermesyuarat semalam menerima peletakan jawatannya.
Serentak itu, jawatan nombor satu itu akan dipangku oleh Ketua Pegawai Eksekutif Summit Petroleum (M) Sdn. Bhd., Datuk Wan Mohd Nor Wan Ahmad, 58 berkuat kuasa semalam.

Pengurus Besar Perkhidmatan Operasi Kumpulan, Dr. Wan Ahmad Rudirman Wan Razak pula dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi.

KUB dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, pelantikan itu dibuat semalam.
Utusan Malaysia difahamkan bahawa Mohd. Nazar mengambil keputusan melepaskan jawatan yang disandang sejak 24 Disember 2008 kerana dikatakan 'tidak sependapat' dengan Pengerusi KUB, Datuk Abd. Halim Abd. Samad.

Abd. Halim menganggotai Lembaga Pengarah KUB pada 19 November 10 Disember 2009.
Ekoran notis peletakan jawatan itu, Mohd. Nazar dipercayai akan bertugas sehingga 30 November ini sebelum diambil alih oleh Wan Mohd. Nor pada 1 Disember ini.

Mohd. Nazar bagaimanapun dipercayai meletakkan jawatan di atas alasan peribadi di sebalik dakwaan yang mengatakan wujudnya ketidak sefahaman dalam barisan pengurusan syarikat sejak pada awal tahun lalu.

KUB mungkin mengadakan sidang akhbar dalam masa terdekat untuk menjelaskan perkembangan yang sebenar dalam syarikat itu.

Peletakan jawatan Mohd. Nazar mengejutkan industri dan pasaran kerana beliau berjaya memulihkan semula KUB dengan pencapaian cukup luar biasa.

Di bawah pimpinan Mohd. Nazar, KUB telah mencipta kejutan apabila meraih keuntungan kali pertama selepas mencatatkan kerugian 11 tahun berturut-turut.
Buat kali pertama selepas tempoh berkenaan, KUB mencatat keuntungan bersih RM39.4juta bagi 2008 berbanding kerugian RM88.8 juta pada 2007.

Keuntungan itu turut menggembirakan kira-kira 70,000 pemegang saham KUB apabila buat pertama kali juga syarikat itu memberi dividen 2.4 sen kepada pemegang sahamnya.

Momentum pemulihan KUB terus meningkat dengan kemampuan meraih keuntungan untuk kali kedua bagi tahun kewangan 2009. Pada tempoh berkenaan, KUB mencatat keuntungan bersih RM80.2 juta.

Malah, pada awal tahun ini, Mohd. Nazar telah membentangkan perancangan pertumbuhan KUB untuk memastikan syarikat itu terus kukuh dalam industri yang disertai sehingga boleh membuat lonjakan pendapatan kepada RM2 bilion menjelang 2013.

Ia termasuk keyakinan Mohd. Nazar untuk memenangi bidaan bagi menguasai operasi LPG Shell Malaysia, selain aktif dalam segmen hartanah dan kejuruteraan.
Dalam segmen pembinaan pula, KUB terlibat membina hospital pakar kanak-kanak di Cheras.

KUB juga telah berjaya dalam bidaan untuk membina landasan ketiga dan laluan pesawat atau taxiway bagi KLIA2 di Sepang. Ini tidak termasuk lagi projek dengan Malaysia Steel Works (KL) Bhd. untuk membina sistem rel di Iskandar Johor.

Pada masa sama KUB juga dikatakan mencari syarikat ekuiti persendirian untuk membangunkan lebih banyak cawangan makanannya di bawah jenama A&W serta menambah kawasan ladang sawitnya.

Perancangan teliti yang bakal diharungi oleh KUB itu bertujuan untuk memastikan saham KUB mampu melonjak ke paras RM1 sesaham. Harga saham KUB hari ini ditutup jatuh satu sen kepada 71 sen sesaham.

NADAYU HARAP RAYUANNYA DITERIMA

Nadayu Properties Bhd. (Nadayu) berharap rayuannya kepada Kementerian Kewangan berkaitan kelulusan pembelian tanah milik UDA Holdings Bhd. (UDA Holdings) di Jalan Sultan Ismail, di sini mendapat maklum balas positif.


Pengerusi Eksekutifnya, Hamidon Abdullah berkata, syarikat masih berminat untuk membangunkan kawasan tanah tersebut kerana lokasinya yang baik.

''Kami sudah berbincang dengan pihak kementerian dan merasakan sesuatu yang positif boleh dicapai.

''Rayuan syarikat adalah berdasarkan kertas cadangan pertama diberikan sebelum ini,'' katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Nadayu di sini hari ini

Hadir sama Pengarah Eksekutifnya, Cheang Chee Leong.

Nadayu sebelum ini dikenali sebagai Mutiara Goodyear Development Bhd. (Mutiara Goodyear).

Sebelum ini, UDA Holdings telah memutuskan untuk menjual tanah seluas 1.15 hektar di Jalan Sultan Ismail kepada Mutiara Goodyear pada harga RM215.5 juta.

Pengerusi UDA Holdings, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, mereka menjual tanah itu kepada Mutiara Goodyear kerana menawarkan harga terbaik iaitu lebih RM1,400 kaki persegi berbanding harga pasaran iaitu sekitar RM800 per segi.

Kementerian Kewangan, pada bulan Julai lalu menolak transaksi jual beli tersebut kerana mendakwa Nadayu tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan meskipun telah memberikan surat kelulusan.

Selain itu, Nadayu juga berminat menyertai pembangunan tanah di Sungai Buloh yang diberikan kepercayaan oleh kerajaan untuk dimajukan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Terdahulu, Nadayu mendapat kelulusan dari pemegang sahamnya untuk menjual tiga lot pejabat di Dataran Prima, satu lot pejabat Menara Prima dan ruangan letak kereta kepada Park Access Sdn. Bhd. pada harga RM42.6 juta.

Hamidon berkata, pelupusan aset tersebut selari dengan strategi syarikat untuk memberi tumpuan kepada perniagaan utama iaitu pembangunan hartanah.

''Tunai yang diterima nanti akan digunakan untuk membeli lebih banyak bank tanah pada masa hadapan bagi mengukuhkan jenama kami,'' jelasnya.

Bergerak ke hadapan, beliau berkata, Nadayu menyasarkan jualan syarikat adalah sekitar RM300 juta pada tahun hadapan berbanding sasaran sebanyak RM250 juta pada tahun ini.

Sunday, 16 October 2011

PENGERUSI BOLEH CABAR CEO

Kalau anda berpendapat jawatan pengerusi syarikat sekadar menghadiri mesyuarat dan memantau ketua pegawai eksekutif (CEO), tanggapan itu adalah silap sama sekali," demikian menurut Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd. Nor.


Pengerusi Malayan Banking Bhd. (Maybank). itu berkata, walaupun pengerusi dan CEO mempunyai jawatan yang berbeza tetapi ia sepatutnya saling melengkapi antara satu sama lain dan bukannya bersaing sesama sendiri.

Beliau berkata, sekiranya CEO perlu memainkan peranan penting dalam seluruh pengurusan organisasi, pengerusi pula juga mempunyai peranan yang tidak kurang hebatnya iaitu meningkatkan nilai para pemegang saham.

''Sangat mustahak bagi pengerusi untuk meningkatkan nilai pemegang saham syarikat. Prestasi pengerusi diukur pada jumlah pulangan pemegang saham setiap tahun.
''Kalau seseorang pengerusi gagal untuk berbuat demikian, mereka perlu berani meletakkan jawatan kerana memang peranannya utama untuk menambah nilai pemegang saham," katanya di sini.

Berikutan itu, kata beliau, pengerusi perlu mempunyai pengalaman luas supaya mampu melihat dan meningkatkan prestasi, reputasi dan pertumbuhan syarikat dengan cukup baik.

Megat Zaharuddin menambah, malah menjadi tanggungjawab seorang pengerusi untuk 'mencabar' CEO syarikat sekiranya mereka mendapati CEO tidak memainkan peranan seperti yang diharapkan.

Begitu juga CEO boleh 'mencabar' pengerusi sekiranya mendapati pengerusi tidak memainkan peranan sebenar, ia tidak salah demi kebaikan organisasi yang dipimpin.
''Seperti juga permainan bola sepak, pemilik pasukan tidak boleh membiarkan pengurus membuat sesuka hati, pemantauan perlu dilakukan untuk memastikan prestasi dapat dikekalkan," jelas beliau lagi.