VaultSafeUall

Thursday, 29 March 2012

QSR BUKA 20 LAGI PIZZA HUT

 QSR Brands Bhd akan membelanjakan sehingga RM10 juta bagi membuka 20 lagi cawangan Pizza Hut Delivery (PHD) di seluruh negara menjelang akhir tahun sebagai sebahagian rancangan pengembangan syarikat, kata Pengarah Urusannya Jamaludin Md Ali.

"Sehingga 21 Februari tahun lepas, kami mempunyai 42 cawangan PHD yang menyumbang kira-kira lima peratus kepada perolehan kami bagi 2011 sebanyak RM20 juta," kata beliau pada majlis pelancaran konsep PHD di sini hari ini.

QSR merupakan mengendali rangkaian PHD di Malaysia.

Jamaludin berkata, cabang penghantaran Pizza Hut mempunyai potensi yang besar dan QSR menjangka pertumbuhan dua angka dalam perolehan tahun ini.

Mengenai jualan, beliau berkata, 70 peratus adalah dari perniagaan penghantaran, manakala 30 peratus daripada jualan bawa pulang.

Thursday, 1 March 2012

TAHNIAH KJ

Tahniah kepada Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin atau KJ yang dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB). Semoga beliau dapat membantu usahawan dalam menyelesaikan masalah pinjaman perniagaan.

Kalau boleh biar beliau beri tumpuan kepada semua usahawan tak kira orang Umno atau pembangkang yang benar-benar mahu berniaga.Pilihanraya dah hampir. Jika BN menang dalam pilihanraya umum lagi, mungkin KJ kekal di PUNB atau dilantik Timbalan Menteri. Oleh itu dalam masa yang singkat ini KJ tidak dapat menunjukkan kehebatan beliau sebagai Pengerusi PUNB.

Tuesday, 21 February 2012

SAMUR PENGELUAR BAJA KEDUA TERBESAR DI ASIA TENGGARA

Petronas Chemicals Group (PCG) yakin bakal menjadi pengeluar baja kedua terbesar di Asia Tenggara melalui Projek Ammonia Urea Sabah (Samur) yang bernilai RM4.5 bilion.

Pengerusi PCG Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata Projek Samur itu dijangka menggandakan kapasiti pengeluaran baja urea syarikat hiliran ini.

"Projek ini juga akan turut menyumbang ke arah usaha kami untuk mengukuhkan kekuatan operasi, pemerkasaan pemasaran dan logistik pasaran PCG sebagai pengeluar utama di dalam pembekalan baja rantau Asia Pasifik," katanya semasa berucapan pada majlis pecah tanah Projek Samur di sini pada Khamis.

Wan Zulkiflee berkata sebahagian besar daripada pengeluaran urea dunia adalah untuk sektor pertanian dan tertumpu di rantau Asia Pasifik.

Friday, 17 February 2012

MELAYU TEMPAT KELIMA PALING KAYA DI MALAYSIA

Robert Kuok mengekalkan kedudukannya sebagai orang Malaysia paling kaya, dengan aset bernilai RM45.7 bilion, walaupun kekayaannya susut 8.0 peratus, diikuti T Ananda Krishnan dan Tan Sri Teh Hong Piow dari Public Bank.

Tan Sri Lee Shin Cheng dari IOI Corporation Bhd mengekalkan kedudukan di tempat keempat manakala usahawan Bumiputera terkaya di Malaysia ialah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary (gambar kiri) , di tempat kelima, demikian menurut laporan Malaysian Business mengenai 40 rakyat Malaysia paling kaya.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berada pada kedudukan ke-15, dengan aset bernilai RM1.77 bilion.  

Malaysian Business berkata aset 40 orang paling kaya di Malaysia itu adalah berasaskan nilai pegangan mereka dalam syarikat-syarikat senaraian sehingga 20 Jan, 2012.

Ananda merapatkan jurang dengan Kuok dengan memiliki kekayaan bernilai RM42.99 bilion, namun ia turun kira-kira 6.0 peratus tahun ini berbanding 2011.

Teh secara relatifnya mengekalkan kekayaannya berjumlah RM12.64 bilion, susut satu peratus berbanding sebelumnya.

Walaupun kekayaannya merosot 10.8 peratus kepada RM11.36 bilion, Lee (IOI Corp) mengekalkan kedudukan di tempat keempat manakala Syed Mokhtar dari Yayasan Albukhary -- dengan syarikat utamanya DRB-Hicom Group -- menambah kekayaannya sebanyak 8.0 peratus kepada RM9.53 bilion.

Penerbitan itu melaporkan gabungan aset 40 orang paling kaya di Malaysia itu  merosot tahun ini akibat krisis kredit dunia serta pasaran ekuiti yang lemah.

Nilai aset 40 orang paling kaya di Malaysia itu secara kolektifnya berjumlah RM193.2 bilion sehingga 20 Jan, susut 7.0 peratus berbanding RM206.37 bilion setahun lepas, lapor Malaysian Business dalam terbitan 16 Feb.

Bagaimanapun tahun ini terdapat penambahan tiga jutawan berbanding 27 pada 2011.

Tan Sri Quek Leng Chan dari Hong Leong Malaysia tidak berubah di tempat keenam, dengan aset merosot 25 peratus kepada RM8 bilion.

Tan Sri Lim Kok Thay (Genting Group) turun dua anak tangga kepada tempat ketujuh dengan kekayaan bernilai RM7.58 bilion, susut kira-kira 30 peratus.

Ibunya Puan Sri Lee Kim Hua, kembali ke tangga kelapan dengan harta dianggarkan bernilai RM6.58 bilion, merosot 11 peratus.

Tan Sri Tiong Hiew King dari Rimbunan Hijau Group dan jutawan yang menetap di Singapura, Ong Beng Seng, masing-masing mengekalkan kedudukan di tempat kesembilan dan 10.

Aset Tiong dianggarkan bernilai RM6.41 bilion manakala Ong menokok 23 peratus kepada RM4.92 bilion.

Tiga jutawan baharu yang menyertai senarai 40 orang paling kaya itu ialah  Datuk AK Nathan dari Eversendai Corporation Bhd dan Ngau Boon Keat (Dialog Group Bhd), yang pertama kali tersenarai, manakala Datuk Abdul Hamed Sepawi (Ta Ann Holdings Bhd) kembali selepas empat tahun.

Senarai penuh 40 jutawan dan maklumat mengenai kekayaan mereka dimuatkan dalam majalah itu. Ia juga menyiarkan senarai 10 jutawan paling kaya di Pasaran Ace.

Friday, 20 January 2012

KHAMIL TERSENYUM LEBAR

PENERAJU Kumpulan DRB-HICOM Bhd., Datuk Seri Mohd Khamil Jamil, mempunyai alasan yang kuat untuk tersenyum lebar pada minggu ini .

Beliau gembira bukan hanya kerana berjaya menguasai Proton Holdings Bhd. (Proton) tetapi juga dapat memuktamadkan perjanjian urus niaga itu pada Isnin dalam minggu jatuhnya tarikh hari lahir beliau.

''Menguasai Proton adalah hadiah hari lahir saya,'' kata Mohd Khamil sambil tidak menafikan bahawa kalau masa mampu diubah, beliau ingin sekali memeterainya hari ini (Jumaat) mengambil sempena hari jadinya.

Kejayaan besar dan bersejarah itu merealisasikan harapan beliau untuk menempatkan Proton di bawah sayap DRB-HICOM terkabul juga selepas sekian lama ditunggu-tunggu.

Penantian yang lama itu sinonim dengan jiwa beliau sebagai ahli korporat yang dikenali di kalangan media sebagai kaki pancing tegar dan peminat fotografi.

Sebenarnya, kehadiran semula syarikat pengeluar kereta nasional itu di bawah Kumpulan tersebut selepas diambil alih Petronas akibat krisis kewangan pada 1987, boleh diibaratkan seperti sirih pulang ke gagang.

Mohd Khamil yang kini memasuki tahun keenam menerajui Kumpulan itu, menyifatkan kejayaan itu adalah hasil usaha keras semua pihak dalam pengurusannya.

Beliau berkata, dirinya juga bertuah kerana memiliki barisan pengurusan yang cukup mantap untuk membawa syarikat itu ke peringkat yang lebih tinggi.

DRB-HICOM telah berkembang pesat selepas syarikat bermasalah itu diambil alih oleh tokoh korporat Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary pada 2004 selepas kematian pengasasnya Tan Sri Yahaya Ahmad.

Mohd Khamil tidak menyembunyikan kekecewaannya tentang sikap sesetengah pihak yang terus mempertikaikan keupayaan dan kebolehan DRB-HICOM, sedangkan syarikat seperti Mercedes berbangga dengan keupayaan anak Malaysia menghasilkan kereta mewah setanding dengan dipasang keluar negara.

Beliau berkata, DRB-HICOM berharap untuk melahirkan kereta ASEAN yang mewakili kerjasama yang menyaksikan Malaysia bertindak sebagai penerajunya.

Katanya: ''Setelah ketinggalan kepada Thailand dan Indonesia, kita tidak boleh membiarkan pula Vietnam mengatasi kita dalam industri automotif yang pernah mengukir nama Malaysia sebagai penerajunya.''

Beliau percaya DRB-HICOM melalui Proton mampu bersaing dengan syarikat terkemuka lain dalam mengadakan kenderaan elektrik dan juga hibrid di peringkat pasaran sejagat.

''Kami berharap untuk berbincang dengan para pengeluar kereta di rantau ini dan merintis pembangunan kereta elektrik ASEAN termasuk infrastruktur dan kemudahannya.'' jelas beliau.
Mohd Khamil percaya perkara mampu dicapai dengan wujudnya pemuafakatan dan pembabitan dengan semua pengeluar automotif di rantau ini.

Monday, 16 January 2012

PETRONAS SASAR 1,000 STESEN MINYAK HUJUNG TAHUN INI

Bilangan stesen minyak Petronas bakal melepasi paras 1,000 buah seluruh negara sebelum akhir tahun ini berbanding 968 buah ketika ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Bhd. (PDB), Amir Hamzah Azizan berkata, PDB memperuntukkan antara RM350 juta hingga RM400 juta setahun untuk kos dan pengembangan operasinya.

"PDB akan menambah 67 buah stesen minyak baharu pelbagai saiz di seluruh negara sepanjang tahun ini dan jumlah keseluruhan bakal mencecah 1,035 buah akhir 2012," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan kempen Petronas Coffee Break kali ke-13, di sini hari ini.

Kempen yang dianjurkan sempena cuti Tahun Baru Cina tersebut merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial syarikat petroleum nasional berkenaan selain memberi kemudahan kepada pelanggan setianya.
Pada kempen kali ini, PDB turut memperkenalkan aplikasi Petronas Pitstop yang berperanan memberi maklumat kepada orang ramai berkenaan semua lokasi stesen minyak Petronas menerusi telefon pintar iPhone.

Aplikasi Petronas Pitstop boleh dimuat turun secara percuma mulai hari ini dan pengguna boleh mengawasi perbelanjaan minyak, memeriksa mata ganjaran Kad Mesra, pelbagai informasi terbaharu dan berhubung dengan Mesralink PDB secara dalam talian.

Aplikasi baharu tersebut akan mula ditawarkan kepada sistem operasi Android dalam masa dua bulan lagi.
Amir Hamzah berkata, pengenalan aplikasi baharu tersebut menandakan kesungguhan PDB untuk membawa penambahbaikan perkhidmatan pelanggan dan akan dikembangkan dengan menawarkan pelbagai fungsi pada masa depan.

Menurutnya, kempen Petronas Coffee Break mendapat kerjasama daripada Old Town White Coffee, Tropicana Twister, Julie's Love Letter, Oriental Food, Petrosains dan Perusaaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua).

"Orang ramai akan menikmati makanan dan minuman percuma serta pemeriksaan kenderaan secara percuma oleh Perodua sepanjang kempen tersebut," jelasnya.

Petronas Coffee Break akan dilakukan dalam dua fasa iaitu pada 20 hingga 22 Januari ini dan 26 hingga 29 Januari depan di 32 buah stesen minyak terpilih.

Wednesday, 11 January 2012

45 SYARIKAT DAPAT LESEN FRANCAIS

Sebanyak 45 syarikat telah menerima lesen francais dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di bawah Akta Francais 1998 Selasa.

Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Saripuddin Kasin berkata 31 daripada syarikat itu adalah pemberi francais tempatan (francaisor) manakala 14 syarikat yang lain adalah francaisi kepada francaisor asing (master francaisi).

Antara syarikat yang mendapat kelulusan ialah Ayam Penyet API Sdn Bhd, Masterskill (M) Sdn Bhd, KK Home Deco Sdn Bhd dan Vitality Boost Sdn Bhd (Boost Juice Bars), katanya majlis penyampaian lesen francais di sini.

Lesen-lesen itu telah disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Saripuddin berkata kementerian itu juga menggalakkan lagi mana-mana syarikat untuk mengembangkan perniagaan mereka melalui sistem francais.

"Usaha ini juga diharap dapat membuka minda bakal-bakal usahawan untuk menceburi bidang perniagaan francais," katanya.