Pemuda Umno hari ini mencadangkan agar individu yang diisytihar muflis,
bankrap dan disenaraihitam oleh insititusi kewangan diberi peluang kedua
keluar dari kemelut kebankrapan melalui pelepasan automatik selepas
tempoh tertentu.
Ketua pergerakan itu Khairy Jamaluddin berkata
amalan tersebut dilaksanakan di beberapa negara luar bagi membantu
golongan itu agar tidak terus dibebani kepayahan membuat pinjaman dan
disekat untuk ke luar negara umpamanya.
"Pelepasan automatik
perlu diberikan selepas tempoh tertentu. Di luar negara, ada yang
menetapkan diberi pelepasan ini selepas satu hingga tiga tahun
(diisytihar bankrap).
"Cadangan ini diharap dapat dimasukkan
dalam pindaan Akta Bankrap 1967 yang saya difahamkan sedang dalam
peringkat akhir untuk digubal sebelum dihantar ke Peguam Negara.
"Akta
yang ada ketika ini terlalu ketat kepada mereka yang teraniaya ibarat
pesalah yang menerima hukum mati ekonomi," katanya dalam sidang akhbar
selepas merasmikan Forum Muflis@Bankrap di Pusat Dagangan Dunia Putra
(PWTC) hari ini.
Pada Perhimpunan Agung Umno tahun lepas,
Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
memberi komitmen bahawa undang-undang kebangkrapan sedia ada akan dikaji
dan dirombak bagi melepaskan individu dari kemelut kebankrapan.
Khairy
berkata cadangan itu bagaimanapun perlu diteliti dan dikaji supaya
golongan muflis dan bankrap itu tidak menyalahgunakannya sehingga wujud
unsur penipuan.
Pemuda Umno juga mencadangkan agar satu insurans
perlindungan khas diwujudkan kepada penjamin dalam pindaan akta tersebut
agar tidak lagi teraniaya menanggung beban orang yang berhutang,
katanya.
Katanya ketika ini institusi kewangan akan membekukan
atau menyita aset dan harta penjamin demi melunaskan hutang pemiutang
dan perkara itu menjejaskan ekonomi dan kehidupan penjamin.
"Mereka juga terpaksa menanggung pelbagai kos termasuk kos guaman," katanya.
"Daripada
2005 hingga Mac tahun lepas, terdapat 243,823 orang muflis dan jumlah
itu menunjukkan peningkatan 45 peratus dalam tempoh 10 tahun
kebelakangan ini.
"Sehubungan itu Jabatan Insolvensi dan agensi
berkaitan perlu lebih agresif dalam membuat publisiti dan mendidik orang
ramai supaya menguruskan kewangan dengan baik," katanya.
Dalam
pada itu, resolusi mengandungi cadangan dan langkah pencegahan muflis
daripada peserta forum yang pernah muflis akan dihantar kepada
Kementerian Kewangan dan juga kepada Perdana Menteri.