VaultSafeUall

Saturday 20 October 2012

BANK JANGAN TERLALU KETAT LULUS PINJAMAN


Bank komersial dinasihatkan agar tidak terlalu ketat dalam meluluskan pinjaman perumahan, terutamanya kepada pembeli Skim Rumah Pertamaku di negara ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pemaju yang gagal menjual rumah kepada pembeli ekoran peraturan dan sekatan ketat daripada pihak bank.

"Tidak dinafikan Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan garis panduan kepada pihak bank komersial bagi mengelak ketidakupayaan bayaran balik pinjaman perumahan itu.

"Namun, bank komersial tidak perlu terlalu mengikut garis panduan itu, sebaliknya membuat penyelidikan sendiri sama ada peminjam tersebut mampu membayar balik pinjaman mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex) 2012 di sini hari ini.

Mapex 2012 adalah anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) itu disertai kira-kira 80 pemaju hartanah dengan 202 gerai pameran dan 14 institusi kewangan.

Ekspo itu berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 21 Oktober.

Tambah Chee Heung, 'kelonggaran' peraturan bank-bank komersial itu dilihat boleh memberi peluang kepada golongan muda dan berpendapatan sederhana untuk memiliki rumah.

Jelasnya, perkara itu juga akan merancakkan lagi industri pembinaan dan hartanah, sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

"Saya berharap sokongan daripada pihak bank bakal memberi manfaat kepada industri dan juga ekonomi Malaysia," ujarnya.

Dalam pada itu, Chee Heung memberitahu, Jabatan Perumahan Negara di bawah kementeriannya telah mengambil tindakan terhadap beberapa pemaju perumahan yang menyalahi undang-undang menyiarkan iklan di akhbar tempatan tanpa permit.

Katanya, kesemua mereka didapati bersalah kerana tidak mempamer dan memohon lesen pemaju serta nombor permit pengiklanan pada iklan yang disiarkan.

"Baru-baru ini pihak penguat kuasa Jabatan Perumahan Negara ada menjalankan operasi dan mengambil tindakan terhadap beberapa pemaju yang menyalahi undang-undang pengiklanan seperti gagal mempamerkan nombor lesen pemaju serta permit pengiklanan.

"Kita pandang serius perkara ini dan mana-mana pemaju yang ingin mengiklankan projek perumahan perlu memohon lesen dan permit daripada kementerian," katanya.


No comments:

Post a Comment