VaultSafeUall

Thursday 10 November 2011

PROJEK PETRONAS RM45 BILION BERI IMPAK

Inisiatif Petronas untuk mengembangkan projek huluan dan hiliran gas serta minyak yang melibatkan perbelanjaan modal disatukan RM45 bilion dijangka memberi impak yang besar kepada ekonomi negeri Sabah, kata bekas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Ahmadshah Abdullah.

Sambil memberi contoh projek Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis, beliau yang kini penaung kepada Tun Ahmadshah Oil dan Gas Academy (TAS) berkata semua lapisan rakyat negeri ini, khususnya masyarakat setempat, seharusnya bangga dengan projek mega yang dijangka siap pada 2013 itu.

"Saya percaya dengan pembangunan pesat industri minyak, gas dan tenaga di Sabah, peranan TAS Academy bersama-sama Pusat Pembangunan Profesional UMS Link (UCPD) sebagai penyelia latihan dalam sektor ini akan menjadi lebih penting.

"Ini selaras dengan agenda kerajaan melahirkan modal insan yang berpengetahun serta berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal dan pengurusan seterusnya mampu mengisi peluang kerjaya dalam bidang ini," katanya.

Ahmadshah berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampian sijil kepada 45 graduan TAS Academy dan UCPD di 1Borneo, Likas dekat sini Khamis.

TAS Academy ditubuhkan pada 2008 sebagai pusat latihan profesional dalam bidang operasi teknikal minyak dan gas yang pertama di Sabah.

Katanya penubuhannya amat bertepatan dalam melengkapkan keperluan potensi perkembangan industri minyak dan gas khususnya di Sabah.

Ahmadshah berkata beliau bangga kerana kesemua graduan TAS Academy sudah pun diambil bekerja oleh syarikat industri minyak dan gas sebelum mereka menerima sijil masing-masing.

Katanya terdapat potensi yang besar dalam industri minyak dan gas dalam pembangunan negeri Sabah dan negara.

Beliau berkata ini terbukti ekoran penemuan beberapa telaga minyak baru di perairan Sabah yang dijangka memberi perubahan dan impak yang besar dari segi nilai ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Ia juga dapat membantu memacu dan meningkatkan perkembangan ekonomi negeri Sabah, katanya.

Ahmadshah berkata sektor minyak, gas dan tenaga negara dijangka memerlukan sekitar 21,000 pekerja berkemahiran tinggi bagi memacu pembangunan sektor itu menjelang 2020.

No comments:

Post a Comment