VaultSafeUall

Wednesday 9 November 2011

PROJEK PETRONAS RM4.6 BILION DI SIPITANG

Industri minyak dan Gas dijangka mewujudkan banyak pekerjaan di Sabah pada tahun-tahun mendatang, kata syarikat pengambilan pekerja dalam industri minyak dan gas.

Projek loji Sabah Ammonia-Urea (Samur) bernilai RM4.6 bilion di Sipitang, yang dimiliki Petronas Chemicals Group Bhd, secara sendirian sahaja dijangka mewujudkan sekurang-kurangnya 400 pekerjaan bagi rakyat tempatan sebaik beroperasi sepenuhnya, dan ini tidak termasuk projek seperti Terminal Minyak dan Gas Sabah, Projek Talian Paip Gas Sabah-Sarawak, loji kuasa elektrik Kimanis dan Lahad Datu, projek air dalam Gumusut-Kakap dan projek berkaitan yang sedang dilaksanakan.

Ketua Pegawai Eksekutif C N Dumo Consulting Worldwide Sdn Bhd Aminudin Sajadi yang berpangkalan di Kuala Lumpur berkata lepasan sekolah, golongan muda dan para pekerja mahir dijangka mengisi kebanyakan pekerjaan yang baru diwujudkan itu.

"Para pemohon tidak semestinya perlu memiliki ijazah universiti. Bagaimana pun, industri minyak dan gas adalah bidang yang khusus yang memerlukan tenaga kerja terlatih atau pekerja mahir, yang bermakna kita tidak boleh bergantung kepada pekerja am untuk bidang yang unik."

"Pada pandangan saya, wujud cabaran bagi rakyat Sabah kerana negeri ini masih kekurangan tenaga kerja terlatih bagi industri ini, tetapi pandangan jauh pengurusan Petronas telah menubuhkan Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC) bagi menampung keperluan industri itu di negeri ini," katanya kepada Bernama di sini.

Aminudin, yang berpengalaman lebih dua dekad dalam bidang ini, berkeyakinan rakyat Sabah akan diberi keutamaan oleh Petronas di segi peluang pekerjaan dan perniagaan.

KTC beroperasi dari tapak sementara di Membakut, di mana ia mengambil pelatih pertama 25 pelatih baru-baru ini. Petronas merancang membina kampus tetap KTC di Kimanis pada harga RM50 juta dan dijangka siap menjelang 2013.

KTC turut melengkapi usaha latihan Petronas sedia ada di Sabah, melalui kerjasama dengan Institut Kemahiran Mara, Institut Latihan Perindustrian dan Kolej Yayasan Sabah di Kota Kinabalu, Giatmara di Kimanis, dan Institut Latihan Teknikal dan Perdagangan di Papar.

Aminudin turut mencadangkan kerajaan negeri Sabah supaya melengkapi usaha Petronas itu dengan menaja kesemua pelatih rakyat Sabah di dalam bidang itu, sama ada di Sabah atau Semenanjung Malaysia serta di seberang laut.

No comments:

Post a Comment