VaultSafeUall

Wednesday 22 June 2011

TDM BAYAR DIVIDEN RM81.8 JUTA

TDM Berhad, syarikat milik kerajaan Terengganu yang terlibat dengan sektor perladangan dan penjagaan kesihatan telah membayar dividen dan keuntungan lebih RM28.81 juta kepada kerajaan negeri dan agensi di bawahnya.

Pengerusinya, Datuk Roslan Awang Chik berkata, dari jumlah itu, bayaran dibuat kepada Terengganu Inc Sdn Bhd dan agensi-agensi lain RM20.4 juta dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) (RM5.4 juta).

Agensi lain yang menerima bayaran dividen dan keuntungan itu ialah Lembaga Tabung Amanah Warisan negeri Terengganu (RM2.9 juta) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam)(RM136,553).

"Dengan bayaran itu, TDM Berhad, setakat ini, telah membayar RM81.8 juta dalam bentuk dividen dan keuntungan usahasama kepada kerajaan negeri dan agensinya sejak bayaran pertama pada 2007," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian cek berkenaan kepada Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan agensi kerajaan yang terlibat yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif TDM Berhad Badrul Hisham Mahari.

Roslan berkata pembayaran dividen itu adalah selari dengan prestasi memuaskan yang dicapai oleh TDM Berhad bagi tahun lepas.

"Adalah menjadi fokus kami untuk terus memberi ganjaran kepada para pemegang saham kami."

"Bagi memastikan kami mampu berbuat demikian, usaha berterusan perlu dilakukan bagi memajukan dua perniagaan teras kami dan memperbaiki kecekapan operasi dan hasilnya boleh dilihat melalui peningkatan pembayaran dividen kepada para pemegang saham," katanya.

Menurutnya, TDM Berhad akan terus mengagihkan dividen yang memberangsangkan kepada para pemegang saham, selaras dengan peningkatan pendapatan syarikat.

Beliau berkata TDM Berhad mencatatkan peningkatan hasil kumpulan sebanyak 25 peratus daripada RM335.6 juta pada 2009 kepada RM420.4 juta pada tahun lepas manakala keuntungan sebelum cukai turut meningkat 67 peratus daripada RM77.5 juta pada 2009 kepada RM129.2 juta pada 2010.

"Peningkatan itu adalah sumbangan dari hasil sektor perladangan yang semakin meningkat dan prestasi lebih baik yang dicapai oleh sektor penjagaan kesihatan," katanya.

Roslan berkata perladangan kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM119.5 juta pada tahun lalu, iaitu peningkatan 73 peratus dari tahun sebelumnya.

Sementara itu, bahagian penjagaan kesihatan pula mencatat peningkatan keuntungan sebelum cukai 47 peratus, iaitu sebanyak RM11.2 juta.

No comments:

Post a Comment