VaultSafeUall

Saturday 17 September 2011

MALAYSIA MAMPU JADI HAB HALAL GLOBAL

Kerajaan yakin Malaysia mampu menjadi sebuah Hab Halal Global dan menerajui pembangunan industri halal dunia kerana mempunyai kepakaran dalam piawaian dan pensijilan halal, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata negara-negara di seluruh dunia juga melihat Malaysia sebagai pusat rujukan dan penggalak pembangunan industri halal di mana ia mempunyai imej dan reputasi terbaik.

"Malah, negara kita tersohor dalam memperkenalkan seluruh dunia mengenai garis panduan penggunaan definasi halal di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1997 lagi," kata beliau ketika berucap merasmikan majlis penutup Karnival Rakyat dan Tranformasi Halal Kelantan 2011, di sini Sabtu.

Karnival tiga hari itu yang bermula pada Khamis, menarik 140 usahawan dan lebih 21,000 pengunjung dengan 162 gerai pameran.

Mustapa yang juga anggota Parlimen Jeli berkata, negara kini telah mencapai kejayaan sekali lagi di mata dunia dalam mewujudkan piawaian halal bagi produk bukan makanan iaitu industri kosmetik, farmaseutikal dan logistik.

"Secara tidak langsung, ini jelas memaparkan pelaksanaan kewajipan fardu kifayah oleh kerajaan dan sumbangan Malaysia kepada dunia sebagai sebuah negara Islam lebih-lebih lagi apabila pasaran halal global yang dianggarkan bernilai RM6.9 trilion setahun amat luas serta berpotensi besar kepada negara," katanya.

Malah, katanya, jumlah permintaan bagi barangan halal juga semakin bertambah dengan peningkatan bilangan penduduk beragama Islam dunia yang kini melebihi 1.8 bilion.

Beliau berkata pasaran yang berpotensi besar ini semakin menarik perhatian negara-negara bukan Islam seperti Cina, Jepun, Perancis dan Rusia untuk melibatkan diri dalam industri halal.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment