VaultSafeUall

Sunday 25 September 2011

SALLEH PERSOAL SIME DARBY

Bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia), Datuk Salleh Majid mempersoal apakah tidak cukup pakar dalam sektor hartanah yang dimiliki Sime Darby selama ini, sehingga syarikat milik kerajaan (GLC) itu terpaksa menagih kepakaran Eastern & Oriental (E&O) Bhd.


Katanya, alasan Sime Darby bahawa pihaknya sanggup membayar harga tinggi sehingga 60 peratus melebihi premium harga pasaran bagi membeli saham E&O disebabkan syarikat itu mempunyai kepakaran dalam bidang hartanah, selain ingin menceburi bidang hartanah di segmen atasan sukar diterima.

“Soalan saya, tidak cukupkah pakar dalam sektor hartanah Sime Darby yang sudah terlibat dalam pembangunan taman perumahan dalam pelbagai segmen di Malaysia, sehingga pengurusan Sime Darby sanggup membayar 60 peratus lebih mahal daripada harga pasaran bagi memiliki hanya 30 peratus saham E&O.

“Kedua, apabila digabungkan tiga syarikat iaitu Golden Hope, Guthrie dan Sime Darby, tidak cukupkah tanah yang diperolehi sehingga masih hendak membeli hartanah yang begitu mahal dalam suasana yang menimbulkan banyak persoalan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kontroversi pembelian 30 peratus saham syarikat E&O oleh Sime Darby dengan kos RM776 juta secara tunai, iaitu 60 peratus lebih mahal daripada harga pasaran sehingga menimbul pelbagai keraguan orang ramai.

Dalam perkembangan berkaitan, Salleh berkata, Pengerusi Bukan Eksekutif E&O, Datuk Azizan Abd. Rahman sepatutnya tidak boleh terlibat dengan mana-mana syarikat yang tersenarai, memandangkan isterinya, Tan Sri Zarinah Anwar adalah Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti yang kini turut terpalit dengan kontroversi berkenaan.

“Masalah percanggahan kepentingan berlaku apabila Zarinah terpaksa mengumumkan bahawa beliau tidak campur tangan dalam siasatan berkait dengan pembelian saham tersebut. Perkara yang wajar dan beretika ialah Azizan sepatutnya tidak terlibat dengan mana-mana syarikat yang tersenarai,” katanya.

No comments:

Post a Comment