VaultSafeUall

Thursday 29 September 2011

PEMEGANG SAHAM RUGI JIKA PNB TAK BELI SP SETIA

Permodalan Nasional Bhd. (PNB) tidak rugi apa-apa sekiranya para pemegang saham SP Setia Bhd. (SP Setia) menolak cadangan tawaran harga pembelian syarikat hartanah itu.
 
Sebaliknya, yang rugi adalah para pemegang saham syarikat itu.

Menurut penganalisis tempatan yang enggan dikenali berkata, harga yang ditawarkan oleh PNB adalah terbaik berdasarkan kedudukan syarikat itu dan situasi pasaran pada masa ini.

''Cuba anda lihat laporan analisis, semuanya menyatakan tawaran harga yang dibuat oleh PNB adalah tinggi, adil dan cukup munasabah,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan, Lembaga Pengarah SP Setia juga menyedari PNB membuat tawaran yang menarik, cuma Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Tan Sri Liew Kee Sin dipercayai mahu mencuba nasib mengharapkan harga lebih tinggi.

Meskipun SP Setia meletakkan penanda aras RM4.50 hingga RM5 sesaham berbanding RM3.90 sesaham yang ditawarkan, dipercayai PNB akan terus 'bertahan' pada harga asal.

''Sukar untuk PNB mengikut rentak SP Setia kerana itulah PNB dan PNB tidak rugi apa-apa pun kalau tidak menguasai kepentingan 51 peratus dalam syarikat tersebut.

''Kalau PNB menguasai SP Setia, saya pasti PNB tidak akan menukar pengurusan syarikat tersebut.

''Sekarang terpulang kepada pemegang saham untuk membuat keputusan,'' ujar penganalisis lagi.

Sementara itu, MIDF Research (MIDF), berkata, harga yang ditawarkan PNB untuk menguasai baki saham yang belum dimilikinya adalah adil.

Malah, pandangan yang sama diberikan oleh OSK Research yang menyifatkannya sebagai munasabah dan patut diterima.

Mengulas lanjut, MIDF dalam nota penyelidikannya berkata, harga tawaran itu mewakili premium 21 peratus daripada jumlah harga purata selama lima hari (5-days VMAP) yang berjumlah RM3.21 selain 24 peratus lebih tinggi berbanding harga sasaran MIDF iaitu RM3.15.

Berdasarkan data yang dikumpulkan Bloomberg, 17 urusniaga hartanah yang bernilai lebih AS$500 juta (RM1.58 bilion) di Asia Tenggara sejak lima tahun lalu menawarkan purata premium sebanyak 34 peratus.

" Kami percaya harga tawaran tersebut adalah adil apabila mengambil kira peningkatan risiko terhadap gelombang kedua kemelesetan ekonomi. Berbanding beberapa pengambilan alih dan urusniaga penggabungan pemaju hartanah di Malaysia sebelum ini, harga yang ditawarkan PNB adalah yang tertinggi dari segi harga/nilai aset bersih (P/NAV) iaitu 2.15.

''Kami menasihati para pelabur supaya merebut peluang menjual pegangan mereka sebelum pasaran ekuiti semakin jatuh," katanya.

Bagaimanapun, pelabur lebih lama mungkin enggan melepaskan pegangan mereka berikutan asas kukuh yang dimiliki SP Setia, hasil dividen yang menarik serta potensi pertumbuhan lebih baik.
"PNB dijangka mengekalkan status penyenaraian SP Setia kerana jenama ekuiti SP Setia sudah terkenal dan ia juga mempunyai pilihan sama ada menggabungkan kesemua aset hartanahnya di bawah SP Setia ataupun membangunkan projek hartanah secara usahasama," katanya.

OSK Research dalam kenyataannya berkata, harga RM3.90 itu jika diterjemahkan adalah 2.25 kali harga bagi setiap nilai belian (P/BV) bagi tahun kewangan 2012 (FY 12) yang mana lebih tinggi sedikit berbanding purata tertinggi SP Setia dalam tempoh lima tahun iaitu 2.22 kali.

Ia juga adalah 23.1 kali ganda nisbah harga pendapatan (PER) pada pendapatan sesaham (EPS) pada tahun 2012, kata OSK Research.

No comments:

Post a Comment