VaultSafeUall

Monday 26 September 2011

PERDASAMA SOKONG KENYATAAN SALLEH MAJID

Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) meminta Sime Darby memandang serius dengan kenyataan bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia), Datuk Salleh Majid yang mempersoalkan alasan Sime Darby bagi memiliki 30 peratus saham Eastern & Oriental (E&O) Bhd.


Presidennya, Datuk Moehamad Izat Emir bersetuju dengan kenyataan Salleh yang melihat Sime Darby sanggup membayar 60 peratus lebih mahal daripada harga pasaran bagi memiliki saham tersebut.

"Mereka seharusnya lebih berhati-hati dalam membuat pelaburan sedangkan setahun dua sebelum ini Sime Darby telah mengalami kerugian ekoran kelemahan pengurusan dan beberapa individu telah diambil tindakan.

"Pada waktu ini, Sime Darby masih dalam tahap pemulihan. Ekonomi dunia juga menunjukkan permasalahan dan kelemahan, namun Alhamdulillah langkah-langkah yang diambil Perdana Menteri dan kerajaan bagi pengurusan ekonomi cara baru berjaya membantu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kontroversi pembelian 30 peratus saham syarikat E&O oleh Sime Darby dengan kos RM776 juta secara tunai, iaitu 60 peratus lebih mahal daripada harga pasaran sehingga menimbulkan pelbagai keraguan orang ramai.

Tambah Moehamad, mungkin tindakan Sime Darby atas alasan untuk lebih berkembang, tetapi mereka tidaklah perlu berbelanja melebihi daripada sepatutnya.

Sementara itu, Yang Dipertua Perdasama Perak, Ariffin Zun berkata, jawatankuasa dalaman khas yang telah dibentuk oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) harus memberi perhatian dalam soal ini bagi memastikan apa yang berlaku sebenarnya kerana implikasinya akan menyebabkan keraguan kepada pelabur asing.

No comments:

Post a Comment