VaultSafeUall

Wednesday 12 October 2011

CIMB HARAP DIPILIH KENDALIKAN IPO FELDA GLOBAL

CIMB Group berharap bakal dipilih untuk mengendalikan tawaran awam permulaan (IPO) Felda Global Ventures Holdings (Felda Global) yang akan disenaraikan nanti.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment Bank Bhd., Datuk Charon Wardini Mokhzani berkata, seperti bank-bank lain di sini, CIMB Group juga ingin menjadi sebahagian daripada proses penyenaraian tersebut.

''Pengumuman yang dibuat kerajaan baru-baru ini (penyenaraian Felda Global) adalah sesuatu yang baik dan kami berharap dapat turut serta.

''Buat masa ini, masih belum ada sebarang perkembangan terbaharu. Mereka akan mengumumkannya,'' kata beliau selepas taklimat media mengenai Persidangan CIMB ASEAN 2011 di sini hari ini.

Cadangan penyenaraian Felda Global yang dijangka dilaksanakan menjelang pertengahan tahun depan telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2012 minggu lalu.

Ketika ditanya tentang prestasi pasaran semasa sama ada sesuai untuk melakukan penyenaraian atau IPO, Charon berkata, buat masa ini ia masih tidak menentu.
''Sentimen pasaran waktu ini tidak menentu. Walaupun, Asia Tenggara dan Malaysia tidak mengalami sebarang krisis kewangan tetapi para pelabur masih menanti perkembangan yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

''Namun dalam tempoh sebulan atau dua bulan akan datang pasaran akan kembali pulih untuk sebarang IPO atau penyenaraian,'' jelasnya.

Diminta mengulas mengenai perkembangan pengambilan alihan Bank of Commerce di Filipina, Charon berkata, mereka mengharapkan penyelesaian baik.

Sebelum ini , CIMB Group mengeluarkan kenyataan bahawa pihak mereka sedang berada di peringkat awal perbincangan San Miguel Corp. (SMC) mengenai pengambilan alih itu.

SMC merupakan pemilik Bank of Commercen atau turut dikenali sebagai BankCom, Bancommerce dan BoC adalah bank perdagangan ke-16 terbesar di Filipina dengan jumlah kira-kira AS$2.07 bilion (RM6.56 bilion).

Dalam perkembangan lain, CIMB Group akan menganjurkan Persidangan CIMB ASEAN 2011 yang akan berlangsung pada 27 hingga 28 Oktober ini dengan tema Korporat ASEAN adalah Dunia Baru.

No comments:

Post a Comment