VaultSafeUall

Tuesday 18 October 2011

NADAYU HARAP RAYUANNYA DITERIMA

Nadayu Properties Bhd. (Nadayu) berharap rayuannya kepada Kementerian Kewangan berkaitan kelulusan pembelian tanah milik UDA Holdings Bhd. (UDA Holdings) di Jalan Sultan Ismail, di sini mendapat maklum balas positif.


Pengerusi Eksekutifnya, Hamidon Abdullah berkata, syarikat masih berminat untuk membangunkan kawasan tanah tersebut kerana lokasinya yang baik.

''Kami sudah berbincang dengan pihak kementerian dan merasakan sesuatu yang positif boleh dicapai.

''Rayuan syarikat adalah berdasarkan kertas cadangan pertama diberikan sebelum ini,'' katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Nadayu di sini hari ini

Hadir sama Pengarah Eksekutifnya, Cheang Chee Leong.

Nadayu sebelum ini dikenali sebagai Mutiara Goodyear Development Bhd. (Mutiara Goodyear).

Sebelum ini, UDA Holdings telah memutuskan untuk menjual tanah seluas 1.15 hektar di Jalan Sultan Ismail kepada Mutiara Goodyear pada harga RM215.5 juta.

Pengerusi UDA Holdings, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, mereka menjual tanah itu kepada Mutiara Goodyear kerana menawarkan harga terbaik iaitu lebih RM1,400 kaki persegi berbanding harga pasaran iaitu sekitar RM800 per segi.

Kementerian Kewangan, pada bulan Julai lalu menolak transaksi jual beli tersebut kerana mendakwa Nadayu tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan meskipun telah memberikan surat kelulusan.

Selain itu, Nadayu juga berminat menyertai pembangunan tanah di Sungai Buloh yang diberikan kepercayaan oleh kerajaan untuk dimajukan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Terdahulu, Nadayu mendapat kelulusan dari pemegang sahamnya untuk menjual tiga lot pejabat di Dataran Prima, satu lot pejabat Menara Prima dan ruangan letak kereta kepada Park Access Sdn. Bhd. pada harga RM42.6 juta.

Hamidon berkata, pelupusan aset tersebut selari dengan strategi syarikat untuk memberi tumpuan kepada perniagaan utama iaitu pembangunan hartanah.

''Tunai yang diterima nanti akan digunakan untuk membeli lebih banyak bank tanah pada masa hadapan bagi mengukuhkan jenama kami,'' jelasnya.

Bergerak ke hadapan, beliau berkata, Nadayu menyasarkan jualan syarikat adalah sekitar RM300 juta pada tahun hadapan berbanding sasaran sebanyak RM250 juta pada tahun ini.

No comments:

Post a Comment