VaultSafeUall

Thursday 18 August 2011

DPIM MOHON RM2 BILION

Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) memohon pertimbangan kerajaan untuk memberi peruntukan sekurang-kurangnya RM2 bilion bagi digunakan untuk membeli dan mewakafkan saham-saham milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada institusi Waqaf Korporat Nasional (WKN).

"Melalui institusi ini, pertambahan nilai saham akan dimanfaatkan oleh WKN untuk dipanjangkan kepada masyarakat menerusi agihan kepada golongan bukan perniagaan khususnya golongan miskin dan terpinggir," kata Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhammad Ali Hashim ketika taklimat media berkenaan cadangan penubuhan WKN di sini Selasa.

Muhammad Ali berkata cadangan penubuhan WKN telah dibentangkan kepada agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom iaitu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

"Kami menerima respons yang positif mengenai cadangan penubuhan institusi wakaf ini namun kerajaan meminta supaya kami dapat memperincikan lagi mengenai cadangan itu," katanya yang juga Pengerusi Pengasas Waqaf An Nur Corporation Bhd (WanCorp).

Beliau berkata penubuhan WKN akan mengambil contoh kejayaan WanCorp yang merupakan syarikat yang ditubuhkan oleh Johor Corporation.

WanCorp yang kini memiliki aset bernilai RM430.4 juta pada akhir tahun lalu turut memiliki beberapa saham tersenarai di Bursa Malaysia.

WanCorp juga telah memberi sumbangan besar kepada lebih 650,000 pesakit miskin menerusi rangkaian Klinik Waqaf dan Hospital Waqaf di seluruh negara, termasuk lebih 40,000 pesakit miskin bukan Islam.

No comments:

Post a Comment