VaultSafeUall

Thursday 25 August 2011

MITI KATA JUALAN EXXONMOBIL BELUM DIMUKTAMADKAN


 Selepas pelbagai pihak mendesak kerajaan melakukan sesuatu terhadap penjualan Exxonmobil kepada San Miguel Corporation (SMC), hari ini Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengesahkan bahawa persetujuan penjualan itu masih belum dimuktamadkan.


Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia kerana sehingga hari ini kementerian itu masih belum menerima sebarang permohonan rasmi berhubung penjualan Exxonmobil daripada kedua-dua entiti tersebut.

Jelasnya, kedua-dua entiti yang terlibat dalam penjualan dan pembelian itu perlu mematuhi peraturan sebelum mendapat kelulusan rasmi daripada MITI untuk melupuskan dan membeli aset dalam negara ini.

Difahamkan ia adalah satu keperluan yang perlu dipatuhi oleh syarikat asing yang melabur di negara ini.

''Setakat ini, kita masih belum mendapat permohonan rasmi (daripada Exxonmobil dan SMC) dan kelulusan permohonan itu pun tertakluk kepada beberapa agensi kerajaan yang lain,'' kata beliau ketika ditemui selepas majlis perhimpunan bulanan kementerian itu di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian MITI berhubung persetujuan Exxonmobil untuk melupuskan pegangannya dalam tiga operasi perniagaan sektor huluan di Malaysia kepada SMC.

Sejak Exxonmobil mengumumkan penjualan itu pada 17 Ogos lalu, ia menimbulkan pelbagai polemik di kalangan banyak pihak kerana berpendapat jualan itu perlu diutamakan kepada syarikat tempatan.

Lebih menghangatkan isu itu apabila keputusan Exxonmobil memilih SMC telah mengenepikan Boustead Holdings Bhd. yang didakwa membida syarikat tersebut pada harga RM1 bilion, lebih tinggi yang ditawarkan oleh SMC.
Penjualan kepentingan itu dengan nilai RM614.3 juta (AS$206.0 million) atau RM3.50 sesaham.

Perjanjian itu meliputi kepentingan ExxonMobil sebanyak 65 peratus dalam Esso Malaysia Bhd. (EMB) yang mempunyai kilang penapisan di Port Dickson.

Begitu juga kepentingan dalam ExxonMobil Malaysia Sdn. Bhd., (EMMSB) dan sekutu-sekutu ExxonMobil Borneo Sdn. Bhd., (EMBSB) yang terlibat dalam peruncitan, perindustrian dan borong serta perniagaan-perniagaan minyak syarikat penerbangan.

Perniagaan-perniagaan pemasaran minyak, penapisan dan pengagihan akan beroperasi seperti sedia ada di bawah pemegang saham yang baharu.

Ditanya apakah pendirian MITI sekiranya Exxonmobil dan SMC mengemukakan permohonan rasmi nanti, Mustapa berkata, kementerian itu sentiasa mengikuti perbahasan di media mengenai isu itu dan semuanya akan diambil kira dalam pertimbangannya nanti.

''Kita tidak boleh membuat sebarang ulasan pada masa ini kerana tiada menerima permohonan rasmi, banyak aspek perlu diteliti dan diperhalusi,'' tambahnya.

Bagaimanapun, ketika diasak dengan persoalan sama ada persetujuan jual-beli itu boleh dibatalkan, Mustapa berkata: ''Tunggulah...saya tidak boleh menjawabnya lagi''.

No comments:

Post a Comment