VaultSafeUall

Saturday 20 August 2011

PELABUR MALAYSIA KENA AMBIL PELUANG DI INDIA

Harga hartanah di India dijangka meningkat sebanyak lima hingga enam kali dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K. Devamany.

Justeru itu, Devamany berkata pelabur Malaysia perlu menimbang melabur dalam sektor hartanah di India. "Harga hartanah dan tanah di India munasabah dan tidak boleh dimanipulasikan.

Pelabur Malaysia harus merebut peluang ini," katanya semasa melancarkan Pameran Pelaburan Hartanah India, di sini. Pameran dua hari itu mempamerkan produk pelbagai firma hartanah di India.

Devamany berkata objektif pameran itu adalah untuk mempamerkan peluang bagi pelabur Malaysia dalam sektor hartanah di India dan memaklumkan kepada mereka bahawa mereka tidak akan berdepan masalah dalam pemilikan hartanah.

Beliau berkata pameran itu akan dianjurkan di Kuala Lumpur setiap tahun bagi menyediakan peluang pelaburan dalam sektor hartanah di India untuk rakyat Malaysia, terutamanya, sektor swasta. Tahun lepas, pameran itu dianjurkan di Kuala Lumpur bagi tujuan pendidikan, katanya.

Devamany juga berkata hubungan antara Malaysia dan India semakin erat dengan permeterian Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (CECA) antara kedua-dua negara. CECA membayangkan liberalisasi perdagangan dalam barangan, perdagangan dalam perkhidmatan, pelaburan dan bahagian kerjasama ekonomi lain.

Beliau berkata perjanjian bandar raya berkembar antara Kuala Lumpur dan Chennai, dan Little India di Brickfields merupakan antara faktor-faktor yang mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.

Perjanjian bandar raya berkembar antara Kuala Lumpur dan Chennai menyediakan platform terbaik bagi kedua-dua bandar raya itu untuk bekerjasama dalam bidang seni, kebudayaan, pelancongan dan ekonomi.

"Pameran ini akan mengeratkan lagi hubungan antara India dan Malaysia," katanya.

No comments:

Post a Comment