VaultSafeUall

Monday 29 August 2011

FDI SEPARUH MASA PERTAMA 2011 MENINGKAT


Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dalam pelaburan langsung asing (FDI) pada separuh pertama 2011 berjumlah RM21.3 bilion berbanding dengan RM12.1 bilion pada jangka masa yang sama tahun lepas.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dengan jumlah yang sebegitu tinggi, beliau yakin jumlah FDI bagi tahun 2011 akan melebihi jumlah yang dicatatkan pada 2010 iaitu RM29.3 bilion.
Pada tahun 2009, jumlah FDI yang masuk ke negara ialah RM5 bilion.

"Peningkatan dalam aliran masuk FDI bagi tempoh setengah tahun pertama 2011 menunjukkan keyakinan pelabur yang terus meningkat lanjutan inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.

"Pengenalan beberapa inisiatif utama seperti Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi telah membantu menambah baik persekitaran perniagaan secara keseluruhan,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Mustapa berkata, pemulihan kukuh dalam aliran masuk FDI negara akan memastikan unjuran pelaburan swasta bagi tahun ini sebanyak RM83 bilion tercapai.

Sunday 28 August 2011

DELIMA SASAR UNTUNG RM300 JUTA


Delima Oil Products Sdn. Bhd. (Delima) menyasarkan keuntungan sebelum cukai melepasi paras RM300 juta dalam tempoh lima tahun lagi dengan mempelbagaikan produk yang ditawarkan kepada pengguna pada setiap tahun.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zakaria Arshad berkata, syarikat kini agresif membangunkan pelbagai produk premium dalam usaha memberi nilai kepada produk-produk sedia ada selain menumpukan produk-produk hiliran pengguna berasaskan minyak sawit.

Delima yang dimiliki Felda sepenuhnya itu kini mengeluarkan minyak masak jenama Saji, Tiara dan Tiga Udang, Marjerin Seri Pelangi, minyak sapi, lelemak, lemak doh dan salut lemak bagi kegunaan pengguna dan industri.
Terbaharu, syarikat itu telah melancarkan empat perisa mi segera, susu pekat, susu cair dan mayonis di bawah jenama Saji.

Produk Delima bukan hanya dipasarkan di dalam negara tetapi juga di rantau ini.

Zakaria yakin sasaran keuntungan itu mampu dicapai berikutan usaha yang dilakukan Delima untuk menumpukan kepada pelaburan penjenamaan, peralatan, teknikal serta pengiklanan dan promosi.

Tahun ini, kata beliau, Delima telah membelanjakan RM50 juta bagi modal perbelanjaan.

Beliau berkata, syarikat mengunjurkan produk-produk terbaharu itu akan memberi sumbangan tambahan sebanyak RM100 juta kepada perolehannya tahun ini.

''Sejak ia dilancarkan pada Mei lalu, produk-produk terbaharu ini telah menyaksikan jualan yang kukuh dan mencatatkan peningkatan jumlah dagangan 50 peratus sebulan.

''Berikutan itu, kami yakin mampu meraih perolehan sebanyak RM700 juta dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM12 juta dan RM15 juta menjelang akhir tahun ini.

''Malah, kami menyasarkan perolehan ini meningkat antara 10 hingga 20 peratus setiap tahun," kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.

Zakaria berkata, produk-produk makanan keluaran syarikat setakat ini mencatatkan kadar penguasaan pasaran sehingga 70 peratus melalui 6,000 buah kedai.

''Kami menjangkakan penguasaan 30 peratus lagi selepas sambutan Hari Raya nanti," kata beliau.

Selain pasar raya dan kedai-kedai runcit, Delima juga sedang mengukuhkan penggunaan produk-produk terbaharu itu di hotel, kafeteria dan restoran.

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan produk keluarannya menguasai kedudukan kedua terbaik dalam persaingan bagi tempoh tiga atau empat tahun lagi.

Zakaria percaya produk-produk Delima mampu bersaing setelah dibuktikan oleh minyak masak Saji yang menjadi pilihan ramai dengan penguasaan pasaran sebanyak 30 peratus.

''Produk-produk kami bukan sahaja berkualiti tinggi, berstatus halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), malah harganya cukup kompetitif berbanding produk yang sama,'' ujar beliau.

Kata Zakaria, produk-produk Delima sudah pun menembusi pasaran Myanmar dan bakal ke negara-negara ASEAN, seperti yang dirancangkan oleh syarikat itu.

Saturday 27 August 2011

PEMUDA MAHU KERAJAAN BERUNDING DENGAN EXXONMOBIL

Pergerakan Pemuda Umno hari ini berharap kerajaan dapat berunding dengan syarikat ExxonMobil International Holdings (ExxonMobil) mengenai tindakannya menjual 65 peratus kepentingannya dalam Esso Malaysia Bhd kepada sebuah syarikat Filipina. 

NONE"Aset syarikat ini adalah strategik, maka itu perlu pertimbangan terutama apabila sudah ada tawaran yang begitu tinggi (oleh) syarikat tempatan," kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin kepada Bernama.

Beliau mengulas tindakan syarikat petroleum Amerika yang dilaporkan telah mencapai persetujuan untuk menjual kepentingannya itu kepada syarikat pembuat bir terkenal dari Filipina, San Miguel Corp, yang juga konglomerat yang amat pelbagai dengan harga yang lebih rendah daripada tawaran yang dibuat oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Khairy berkata tindakan rakyat negara ini yang mahu kerajaan melihat semula mengenai perjanjian antara ExxonMobil International dengan San Miguel Corp bukan bermakna rakyat negara ini menghalang syarikat antarabangsa daripada masuk dan melabur di sini, atau tidak menghargai penglibatan mereka dalam ekonomi negara.

"Cuma kita minta kerajaan melihat semula kepada transaksi ini. Mungkin tidak boleh buat apa-apa tapi mungkin kita boleh minta supaya ExxonMobil dapat mempertimbangkan tawaran yang dibuat oleh LTAT itu," katanya kepada pemberita selepas mengedarkan pek berbuka puasa kepada orang ramai di Stesen Kuala Lumpur Sentral sempena program Jom Balik Kampung.

Thursday 25 August 2011

MITI KATA JUALAN EXXONMOBIL BELUM DIMUKTAMADKAN


 Selepas pelbagai pihak mendesak kerajaan melakukan sesuatu terhadap penjualan Exxonmobil kepada San Miguel Corporation (SMC), hari ini Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengesahkan bahawa persetujuan penjualan itu masih belum dimuktamadkan.


Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia kerana sehingga hari ini kementerian itu masih belum menerima sebarang permohonan rasmi berhubung penjualan Exxonmobil daripada kedua-dua entiti tersebut.

Jelasnya, kedua-dua entiti yang terlibat dalam penjualan dan pembelian itu perlu mematuhi peraturan sebelum mendapat kelulusan rasmi daripada MITI untuk melupuskan dan membeli aset dalam negara ini.

Difahamkan ia adalah satu keperluan yang perlu dipatuhi oleh syarikat asing yang melabur di negara ini.

''Setakat ini, kita masih belum mendapat permohonan rasmi (daripada Exxonmobil dan SMC) dan kelulusan permohonan itu pun tertakluk kepada beberapa agensi kerajaan yang lain,'' kata beliau ketika ditemui selepas majlis perhimpunan bulanan kementerian itu di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian MITI berhubung persetujuan Exxonmobil untuk melupuskan pegangannya dalam tiga operasi perniagaan sektor huluan di Malaysia kepada SMC.

Sejak Exxonmobil mengumumkan penjualan itu pada 17 Ogos lalu, ia menimbulkan pelbagai polemik di kalangan banyak pihak kerana berpendapat jualan itu perlu diutamakan kepada syarikat tempatan.

Lebih menghangatkan isu itu apabila keputusan Exxonmobil memilih SMC telah mengenepikan Boustead Holdings Bhd. yang didakwa membida syarikat tersebut pada harga RM1 bilion, lebih tinggi yang ditawarkan oleh SMC.
Penjualan kepentingan itu dengan nilai RM614.3 juta (AS$206.0 million) atau RM3.50 sesaham.

Perjanjian itu meliputi kepentingan ExxonMobil sebanyak 65 peratus dalam Esso Malaysia Bhd. (EMB) yang mempunyai kilang penapisan di Port Dickson.

Begitu juga kepentingan dalam ExxonMobil Malaysia Sdn. Bhd., (EMMSB) dan sekutu-sekutu ExxonMobil Borneo Sdn. Bhd., (EMBSB) yang terlibat dalam peruncitan, perindustrian dan borong serta perniagaan-perniagaan minyak syarikat penerbangan.

Perniagaan-perniagaan pemasaran minyak, penapisan dan pengagihan akan beroperasi seperti sedia ada di bawah pemegang saham yang baharu.

Ditanya apakah pendirian MITI sekiranya Exxonmobil dan SMC mengemukakan permohonan rasmi nanti, Mustapa berkata, kementerian itu sentiasa mengikuti perbahasan di media mengenai isu itu dan semuanya akan diambil kira dalam pertimbangannya nanti.

''Kita tidak boleh membuat sebarang ulasan pada masa ini kerana tiada menerima permohonan rasmi, banyak aspek perlu diteliti dan diperhalusi,'' tambahnya.

Bagaimanapun, ketika diasak dengan persoalan sama ada persetujuan jual-beli itu boleh dibatalkan, Mustapa berkata: ''Tunggulah...saya tidak boleh menjawabnya lagi''.

Wednesday 24 August 2011

AIRASIA UNTUNG, MAS RUGI

AirAsia Bhd. (AirAsia) merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM145 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2011, peningkatan sebanyak 0.6 peratus.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes berkata, prestasi tersebut adalah baik memandangkan suasana mencabar iaitu harga bahan bakar yang tidak menentu, peningkatan kos serta ketidaktentuan ekonomi global.

''Suku kedua secara tradisionalnya merupakan salah satu suku yang lemah, walaupun suasana mencabar bagi industri namun kami mampu mengharunginya.

''Kos telah meningkat, tetapi perolehan kami tumbuh, baki tunai AirAsia adalah sihat iaitu sebanyak RM1.9 bilion.

''AirAsia berada pada kedudukan terbaik dalam mencapai tujuan untuk tahun ini, membina asas yang kukuh untuk terus berkembang dalam beberapa bulan dan tahun akan datang. AirAsia memanfaatkan pelaburan tambahan,'' katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.

Tambah Fernandes, strategi syarikat 'muatan aktif, hasil pasif' membayar dividen yang tinggi dengan tambang rendah menarik lebih ramai penumpang dan menyumbang kepada pengambilan lebih tinggi tambahan seperti beg besar, pilihan tempat duduk, kargo dan kurier.

''Kami sering mengekalkan berbanding menaikan tambang bagi meningkatkan hasil dan dengan memberikan tambang murah akan menarik minat penumpang dan melonjakkan perolehan melalui perkhidmatan tambahan,'' jelasnya.

Fernandes berkata, tambang AirAsia yang murah membolehkan syarikat mencatatkan faktor muatan tinggi sebanyak 81 peratus.

Sementara itu, pendapatan tambahan telah memberikan aliran perolehan untuk syarikat penerbangan tambang murah itu.

Bagi suku kedua, AirAsia mencatatkan perolehan sebanyak RM1.08 bilion.

Sementara itu Malaysian Airline System Bhd. (MAS) hari ini merekodkan kerugian bersih sebanyak RM527 juta untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2011.


Menurut kenyataan MAS, kerugian tersebut disebabkan oleh kos bahan bakar tinggi yang telah mengganti kerugian (offset) hasil dan perolehan bagi tempat duduk kilometer (RASK) yang lebih tinggi pada suku sama tahun lalu.

''Namun perolehan bagi syarikat bagi suku kedua meningkat kepada RM3.485 bilion atau peningkatan sebanyak lapan peratus berbanding RM3.123 bilion sebelumnya.

''Manakala perolehan penumpang merekodkan pertumbuhan sebanyak sembilan peratus kepada RM2.086 bilion berbanding RM1.912 bilion,'' katanya.

Tambah kenyataan itu, langkah kawalan kos secara agresif dan konsisten telah memberikan kesan positif dengan pengurangan sebanyak dua peratus bagi perbelanjaan bukan berkaitan bahan bakar.

''Tetapi kos bahan bakar terus memberikan kesan besar kepada operasi syarikat dengan peningkatan sebanyak 41 peratus kepada RM1.550 bilion untuk tempoh tersebut.

''Ahli lembaga pengarah juga tidak menjangkakan sebarang keuntungan dapat diperolehi untuk separuh kedua nanti, walaupun kerugian tersebut tidak akan seburuk suku pertama tahun ini,'' jelasnya.

Bergerak ke hadapan, lembaga pengarah telah mengenal pasti fokus masa terdekat seperti memilih kepimpinan terbaik untuk meneraju MAS dan secara proaktif sedang mencari pengganti Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif serta kedudukan pengurusan kanan.

''Bekerja dengan Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) yang dibentuk dua minggu lalu, inisiatif pemulihan akan dilaksanakan untuk mengembalikan serta membina semula rizab tunai.

''Inisiatif terdekat termasuk pengurusan kapasiti lebih baik, pelaksanaan harga dinamik untuk menambah baik hasil dan perolehan.

''Selain itu, penilaian semula produk dan kedudukan jenama serta penilaian perniagaan Firefly untuk fokus kepada operasi pesawat turbo-prop beroperasi luar Subang dan menyusun semula perniagaan jet mereka bagi menyediakan perkhidmatan premium serantau,'' katanya.

Bagi jangka panjang, EXCO akan mencari pelan strategik dalam membawa semula syarikat penerbangan kebangsaan itu dalam lingkungan keuntungan.

Katanya, untuk tahun ini, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mengunjurkan industri penerbangan kekal mencabar dengan harga bahan bakar kekal tinggi dan kebimbangan krisis hutang di Eropah serta tinjauan di Amerika Syarikat (AS).

Tempahan awal MAS menunjukkan cabaran untuk sektor Eropah, AS dan Jepun dengan trend tempahan bagi rantau utama lain adalah normal.

Katanya, bagi berhadapan dengan suasana operasi yang mencabar, MAS akan menyederhanakan pertumbuhan kapasiti bagi jangka pendek.

Pihak pengurusan akan menilai semula secara serius rangkaiannya pada masa ini.

Monday 22 August 2011

PROPOSAL SUDAH ADA UNTUK TURUNKAN HARGA BARANG TAPI KERAJAAN TAK LAKSANA

Tidak perlu perunding asing bagi menasihatkan negara bahawa pengurangan subsidi akan mengecilkan bajet negara yang terus melambung, kata PAS ketika membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamad Yakcop.

NONE"Malah, guru Kemas pun boleh bagi tahu anda perkara itu,” kata pengerusi Kelab Protes Barang Naik Datuk Mahfuz Omar berhubung kenyataan yang dibuat oleh menteri yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancangan Ekonomi (EPU) itu.
Mahfuz mengulas kenyataan Nor Mohamed semalam bahawa kerajaan tidak berkuasa dalam menentukan harga barang.
"Kita melihat bahawa kalaupun ada barangan tertentu harga naik di pasaraan dunia, kalau kerajaan bijak dalam pengurusan ekonomi dan kewangan, boleh beri pengapungan subsidi.

"Tapi kerajaan selalu beri alasan, contohnya harga minyak (petrol). Bila harga pasaran dunia naik, kerajaan kata terpaksa naikkan sebab tak mampu tampung subsidi berlebihan, bila harga turun, kerajaan berhujah kita harus stabilkan harga," katanya.
Menurut Mahfuz yang juga naib presiden PAS, kerajaan sepatutnya lebih cekap menguruskan ekonomi negara dengan mengubal polisi fiskal yang lebih baik, memecahkan monopoli dan bekerja keras mempertahankan subsidi di sebalik kenaikan harga global.
Dakwanya, faktor kenaikan harga barang kawalan sejak akhir-akhir berpunca dari kegagalan pengurusan ekonomi dan kewangan negara oleh kerajaan BN.
azlanPada pembentangan Makmal Rasionalisasi Subsidi tahun lalu yang kerajaan memperuntukkan RM74 bilion sebagai subsidi setahun merangkumi bahagian sosial (RM42.4 bilion), bahan api dan tenaga (RM23.5 bilion), prasarana (RM4.8 bilion) dan makanan (RM3.4 bilion).

"Bagi saya RM42 bilion untuk sosial seperti pendidikan dan kesihaatan itu adalah tanggungjawab, begitu juga untuk infrastruktur.

"Sekarang kerajaan gabungkan tanggungjawab itu sebagai subsidi. Saya rasa pelik. Sedangkan untuk bahan api dan tenaga syarikat IPP dapat untung. Rakyat kena tanggung kenaikan tarif. Dan inilah penyebab kos hidup meningkat," katanya.

Menurut Mahfuz, jika ditolak bahagian sosial dan infrastruktur itu, kerajaan hanya menanggung kira-kira RM26 bilion dalam menanggung subsidi rakyat, lebih rendah daripada laporan bahawa ketirisan dan pembaziran negara sebanyak RM28 bilion setahun.

Saya sokong dengan kenyataan Mahfuz bahawa  tak perlu lantik perunding asing untuk nasihati kerajaan mengenai subsidi negara. Sebenarnya sudah ada proposal sari sebuah syarikat kepada kerajaan untuk mengurangkan subsidi tetapi kerajaan Pak Lah ketika itu tidak berminat melaksanakannya.

Sebaliknya Pak Lah mengumumkan semua rakyat yang ingin memperbaharui cukai jalan kereta merela dapat rebat sebanyak RM625. Proposal syarikat itu jelas menunjukkan bahawa kerajaan dapat mengurus subsidi dan dapat menjimatkan duit rakyat.

Melalui proposal itu semua harga barangan dapat diturunkan dari harga pasaran seperi harga minyak, minyak masak, gula, beras, tepung gandum. Oleh itu jika kerajaan BN serius untuk menangani masalah kenaikan barang ini, maka proposal itu perlu diteliti semula untuk dilaksanakan.





Saturday 20 August 2011

PELABUR MALAYSIA KENA AMBIL PELUANG DI INDIA

Harga hartanah di India dijangka meningkat sebanyak lima hingga enam kali dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K. Devamany.

Justeru itu, Devamany berkata pelabur Malaysia perlu menimbang melabur dalam sektor hartanah di India. "Harga hartanah dan tanah di India munasabah dan tidak boleh dimanipulasikan.

Pelabur Malaysia harus merebut peluang ini," katanya semasa melancarkan Pameran Pelaburan Hartanah India, di sini. Pameran dua hari itu mempamerkan produk pelbagai firma hartanah di India.

Devamany berkata objektif pameran itu adalah untuk mempamerkan peluang bagi pelabur Malaysia dalam sektor hartanah di India dan memaklumkan kepada mereka bahawa mereka tidak akan berdepan masalah dalam pemilikan hartanah.

Beliau berkata pameran itu akan dianjurkan di Kuala Lumpur setiap tahun bagi menyediakan peluang pelaburan dalam sektor hartanah di India untuk rakyat Malaysia, terutamanya, sektor swasta. Tahun lepas, pameran itu dianjurkan di Kuala Lumpur bagi tujuan pendidikan, katanya.

Devamany juga berkata hubungan antara Malaysia dan India semakin erat dengan permeterian Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (CECA) antara kedua-dua negara. CECA membayangkan liberalisasi perdagangan dalam barangan, perdagangan dalam perkhidmatan, pelaburan dan bahagian kerjasama ekonomi lain.

Beliau berkata perjanjian bandar raya berkembar antara Kuala Lumpur dan Chennai, dan Little India di Brickfields merupakan antara faktor-faktor yang mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.

Perjanjian bandar raya berkembar antara Kuala Lumpur dan Chennai menyediakan platform terbaik bagi kedua-dua bandar raya itu untuk bekerjasama dalam bidang seni, kebudayaan, pelancongan dan ekonomi.

"Pameran ini akan mengeratkan lagi hubungan antara India dan Malaysia," katanya.

Friday 19 August 2011

AZIZ KECEWA IDRIS JALA JUAL BANGUNAN MAS

JADUALNYA kelihatan padat sekali. Jadi tidak hairanlah pada jam 9.30 pagi, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman sudah melayan tetamu di rumahnya.

Setelah melangkah masuk, bekas pengawai tadbir kerajaan itu menyatakan beliau sedang memperkatakan tentang usaha terbaharu memantapkan ekonomi orang Melayu.
Ternyata agenda itu memberikannya semangat untuk melakar kemungkinan baharu sambil raut wajahnya tergambar perasaan belum puas hati dengan perkembangan semasa.

Menurut bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines (MAS) itu dirinya masih lagi sibuk biarpun tidak lagi berkecimpung dalam dunia korporat.

Masanya juga tertumpu kepada kariernya sebagai seorang peguam di Tetuan Nik, Sagil dan Ismail.

‘‘Saya ada dua kes yang sedang dikendalikan termasuk melibatkan seorang sahabat,” kata beliau sambil menunjukkan di mana letaknya beg ‘besar’ yang digunakan untuk ke mahkamah.

Sungguhpun begitu, beliau cuba juga menghabiskan masa yang terluang untuk pergi bermain golf.

Abdul Aziz menyifatkan pengalamannya yang lalu semasa bertugas menjadi penolong pegawai daerah dan pegawai daerah membolehkannya mengenali ragam sebenar manusia termasuk ketika menerajui MAS.

Kata beliau, dirinya pernah membuat pemeriksaan mengejut pada pukul 3 pagi untuk melihat sendiri sejauh mana pekerjanya melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

Abdul Aziz berkata, apa juga yang dilakukan perlu ada sistem pemantauan yang betul dan cekap selain barisan pengurusan dengan penerajunya mempunyai integriti, dedikasi dan rasa kecintaan terhadap organisasi yang diwakilinya.

‘‘Ketika di MAS dahulu, telur (yang digunakan untuk operasi penyajian makanan) dalam pesawat pun kena curi,’’ katanya sambil ketawa dan menegaskan perlunya orang yang betul ditempatkan pada jawatan yang betul.

Tidak menghairankan selepas menerajui MAS selama lebih 20 tahun, beliau dikenali sebagai orang yang memajukan syarikat penerbangan nasional itu daripada asalnya tidak miliki apa-apa.

Menurut Abdul Aziz, beliau amat gembira dengan kejayaan yang ditinggalkan sewaktu menerajui syarikat itu termasuk ibupejabat meskipun tanpa memiliki banyak dana.

‘‘Pada waktu itu, mana-mana sahaja kami pergi, kami rasa cukup berbangga. Ramai syarikat penerbangan asing memanggil kami untuk beri ceramah dan kami memenangi banyak anugerah,’’ kata beliau.

Abdul Aziz berkata, beliau mengakui tangan pernah menggigil apabila terpaksa menggunakan cash flow yang ada pada setiap bulan untuk membiayai pembinaan bangunan MAS yang terletak di Jalan Sultan Ismail.

Katanya, sebagai sebuah syarikat penerbangan kebangsaan, ia perlu mempunyai bangunannya sendiri di ibukota, Kuala Lumpur.

Namun begitu, berkat kesungguhan dan kegigihan beliau dan juga pengurusan, MAS akhirnya berjaya memiliki bangunan sendiri selepas beroperasi di pejabat di Bangunan Koperasi Polis di Jalan Tun Sambanthan.

Abdul Aziz mengakui kecewa apabila mengetahui bangunan berkenaan akhirnya terpaksa dijual oleh MAS kerana masalah kewangan.

Biarpun beliau kini tidak lagi bersama-sama dengan tetapi perkembangan terus diikuti dan sering juga didatangi oleh para pegawai syarikat itu untuk bertukar-tukar pandangan.

Thursday 18 August 2011

DPIM MOHON RM2 BILION

Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) memohon pertimbangan kerajaan untuk memberi peruntukan sekurang-kurangnya RM2 bilion bagi digunakan untuk membeli dan mewakafkan saham-saham milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada institusi Waqaf Korporat Nasional (WKN).

"Melalui institusi ini, pertambahan nilai saham akan dimanfaatkan oleh WKN untuk dipanjangkan kepada masyarakat menerusi agihan kepada golongan bukan perniagaan khususnya golongan miskin dan terpinggir," kata Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhammad Ali Hashim ketika taklimat media berkenaan cadangan penubuhan WKN di sini Selasa.

Muhammad Ali berkata cadangan penubuhan WKN telah dibentangkan kepada agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom iaitu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

"Kami menerima respons yang positif mengenai cadangan penubuhan institusi wakaf ini namun kerajaan meminta supaya kami dapat memperincikan lagi mengenai cadangan itu," katanya yang juga Pengerusi Pengasas Waqaf An Nur Corporation Bhd (WanCorp).

Beliau berkata penubuhan WKN akan mengambil contoh kejayaan WanCorp yang merupakan syarikat yang ditubuhkan oleh Johor Corporation.

WanCorp yang kini memiliki aset bernilai RM430.4 juta pada akhir tahun lalu turut memiliki beberapa saham tersenarai di Bursa Malaysia.

WanCorp juga telah memberi sumbangan besar kepada lebih 650,000 pesakit miskin menerusi rangkaian Klinik Waqaf dan Hospital Waqaf di seluruh negara, termasuk lebih 40,000 pesakit miskin bukan Islam.

Monday 15 August 2011

FDI CECAH USD10 BILION

Aliran masuk Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke Malaysia kini berada pada landasan untuk mencecah US$10 bilion pada tahun ini walau pun ekonomi AS berhadapan tinjauan yang suram, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

"Kita kini mempunyai lebih banyak telur di dalam bakul, yang bermakna kita kini tidak terlalu bergantung kepada satu atau dua sumber pelaburan seperti AS dan Eropah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Perkhidmatan Perniagaan Shell di sini hari ini.

Pada 2010, aliran masuk FDI ke Malaysia berjumlah US$9.1 bilion.

Mukhriz berkata Malaysia boleh mengurangkan kesan sebarang penurunan di segi pelaburan dari mana-mana negara.

"Kita mempunyai FTA (perjanjuiann perdagangan bebas) yang telah kita tanda tangani dengan sebilangan negara dan rantau. FTA itu bukan sahaja terhad hanya kepada perdagangan malah turut merangkumi pelaburan."

"Apabila kita mempunyai peraturan sedemikian, syarikat dari negara-negara berkenaan menjadi lebih sedar mengenai jenis insentif yang kita sediakan dan kerana ia berkesan untuk melabur di Malaysia."

"Mereka datang ke sini dan melihat sendiri apa yang kita boleh tawarkan dan dari situ minat (untuk melabur) bermula," katanya.

Mukhriz berkata kementerian dan agensinya juga mengambil langkah agresif mempromosikan Malaysia sebagai satu destinasi pelaburan yang menarik di negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan dan negara-negara di Timur Tengah.

"Bagi inisiatif sedemikian, sebilangan pertanyaan yang serius seperti ini dilayan oleh Mida (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia)," katanya.

Sunday 14 August 2011

PELABURAN KOREA SELATAN DAN PERANCHIS JANA EKONOMI TERENGGANU

Kerajaan Terengganu, yang menyambut baik pelaburan terbesar dalam bidang bioteknologi oleh CJ CheilJedang Corporation (CJ) dari Korea Selatan dan Arkema SA (Arkema) dari Peranchis, akan menjadi penjana kepada pertumbuhan baharu ekonomi di negeri itu.

Usahasama oleh kedua-dua syarikat itu melibatkan pelaburan RM2 bilion di Zon Ekonomi Khas (SEZ) Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Taman Polimer Kertih di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata, pembinaan loji bio-metionina pertama di dunia dan platformn tiokimia pertama di Asia bernilai RM400 juta itu apabila siap kelak, akan membuka lembaran baharu bagi negeri itu.

"Apabila beroperasi kelak, ia akan membuka 500 peluang pekerjaan di mana 60 peratus dijangka diisi oleh warga kerja yang terdiri daripada anak Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pembahagian wang zakat kepada 131 peneroka Ladang Ketengah Jaya di sini.

Ahmad berkata, pembinaan loji berkenaan akan bermula tahun hadapan di satu kawasan seluas kira-kira 20 hektar di Kertih.

Apabila beroperasi kelak, katanya ia dijangka menjana kira-kira RM20 bilion dari segi jualan terkumpul menjelang tahun 2020.

Selain pelaburan itu, katanya Terenggnau juga menerima pelaburan RM1.3 bilion dari Peranchis di dalam bidang perikanan kawasan Tasik Kenyir.

Thursday 11 August 2011

LEMBABNYA CEO TDM BERHAD

Lembab betul CEO, TDM Berhad. Entah macam mana CEO bengong ini dipilih sebagai CEO. Saya bukan buat fitnah. Ini benda betul. Saya hantar surat mohon iklan dari TDM untuk majalah Agro Malaysia  (terbitan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani) dah sebulan lebih. Baru dapat jawapan tidak ada bajet iklan padahal baru-baru ini TDM umum untung juta-juta.

Entah ke mana duit itu pergi. Nak jawab surat tak sampai lima minit pun sampai tersadai sebulan lebih surat itu di atas mejanya. Sibuk sangat ke sampai surat nak jawab, yes or no tak sampai lima minit pun, susah nak jawab. Saya cadangkan kepada MB supaya tukar sahaja CEO ini dengan orang lain. Lembab sangat jadi CEO.

Saya pernah jadi pegawai kerajaan sama ada di FELCRA atau di YPK atau di PNS. Memang sibuk dengan miting dari pagi hingga petang. Kalau  datang ofis jam 8 pagi, memang tak sempat semak surat dalam tray masuk pasal 8.30 sudah ada miting. Sebab itu jam 7 pagi saya sudah berada di ofis clearkan semua surat sebelum jam 8 untuk tindakan kerani atau jurutaip.

Nak jawab surat tak sampai satu minit yes or no beli iklan sampai surat tersadai dalam tray masuk sebulan lebih. Kalau begini cara CEO bekerja rugilah TDM berhad. macam mana syarikat listed Terengganu nak maju kalau dapat CEO macam ini yang bengong, bahlul dan bengap?

YAB Dato' Ahmad Said, tukarlah CEO ini dengan orang lain. Carilah orang yang cekap. Saya tak marah TDM tak beli iklan, yang saya marah nak jawab surat itu sampai sebulan lebih.

Thursday 4 August 2011

TM DAN GOOGLE TAWARKAN PKS IKLANKAN PRODUK

Telekom Malaysia Bhd. (TM) bekerjasama dengan enjin carian, Google Inc. (Google) untuk menawarkan medium pemasaran dalam talian, Google Adwords bagi pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengiklanan melalui Google membolehkan PKS tempatan memasarkan produk masing-masing sehingga ke peringkat dunia.

Dalam fasa pertama, sebanyak 68,000 daripada 398,000 pelanggan setia TM layak dipilih bagi menyertai medium tersebut secara percuma dalam tempoh tertentu.

Naib Presiden Eksekutif SME TM, Azizi A. Hadi berkata, pihaknya akan memilih sejumlah pelanggan daripada 68,000 pelanggan setianya untuk menyertai program tersebut.

Katanya, daripada 68,000 pelanggan, 18,000 merupakan pelanggan perniagaan Unifi manakala 50,000 lagi merupakan pelanggan pakej office of the box.

"Pengiklanan melalui Google Adwords merupakan satu platform yang baik untuk pelanggan PKS TM mendedahkan perniagaan masing- masing sehingga ke peringkat global,'' katanya selepas menghadiri majlis memeterai kerjasama di antara TM dan Google di sini hari ini.

Hadir pada majlis ialah Pengurus Besar SME TM, Mohamad Yusman Ammeran, Ketua Perniagaan Tempatan Google Inc., Sajith Sivanandan dan Ketua Pemasaran Google Asia Tenggara, Derek Callow.

TM akan memberi kupon percuma pengiklanan Google bernilai dari RM150 hinga RM500 kepada para pelanggan PKS yang terpilih menyertai bahagian.

Ketika ditanya perancangan lain TM SME, Azizi berkata, pihaknya mungkin akan bekerjasama dengan SME Corporation Malaysia Bhd. (SME Corp) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Katanya, beliau mahu lebih banyak PKS tempatan mendapat pendedahan dalam perniagaan sehingga ke peringkat global.

''Melalui kerjasama ini, SME TM menjangkakan sektor berkenaan menyumbang lebihi 25 peratus setahun kepada Kumpulan," jelasnya.

Sementara itu, Sivanandan pula berkata, enjin pencarian Google berkembang pesat hasil daripada sumbangan PKS seluruh dunia.

Malah, katanya, pihaknya optimis melalui kerjasama yang terbentuk di antara Google dan TM.
"PKS dapat menjimatkan kos pemasaran masing-masing melalui pengiklanan dalam enjin pencarian Google yang lebih memberi kesan terhadap perniagaan,'' ujarnya lagi.