VaultSafeUall

Wednesday 6 July 2011

ARAB CITY DI MELAKA SIAP AKHIR TAHUN

Golden Corporate Heritage Sdn. Bhd. (GCHSB) menjangkakan projek pembangunan Taman Tema Arab atau Arab City yang terletak di Pulau Melaka, Melaka akan siap menjelang akhir tahun ini.


Buat masa ini, taman tema seluas 3.6 hektar dengan nilai pembangunan kasarnya RM75 juta, menyaksikan hampir 68 peratus telah siap.

Pengarah GCHSB, Dr. Salim N. Al Gudhea berkata, Arab City Melaka seterusnya akan dilancarkan secara tidak rasmi pada Januari ini dan dijangka dibuka kepada umum beberapa bulan selepas itu.

Katanya lagi, sedikit tambahan telah dilakukan di bahagian pesisir pantai taman itu. Struktur tambahan berupa permukaan berpasir itu dinamakan sebagai Arabian Oasis.

“Projek tambahan seluas 1.6 hektar itu akan dilaksanakan oleh syarikat pemaju pesisir pantai, Benalec Holdings Sdn. Bhd..

“Tempoh pembangunannya adalah selama 16 minggu,” katanya di sini hari ini pada majlis memeterai perjanjian pelantikan Benalec dalam projek berkenaan.

Arab City Melaka dibina dengan tujuan menjadikannya sebagai salah satu daya penarik pelancong ke negeri itu hasil usaha sama GCHSB dan Kerajaan Negeri Melaka.

Ia diterapkan dengan unsur-unsur kebudayaan masyarakat Arab dengan menyediakan muzium Mesir, taman tema, teater, spa untuk golongan lelaki dan wanita serta 20 restoran makanan asli Arab, bazar dan gerai kraftangan.

Tambah Salim, projek di Pulau Melaka itu yang telah bermula pada awal tahun ini adalah merupakan fasa pertama daripada keseluruhan projek yang akan turut dilaksanakan di negeri itu.

Fasa kedua dan ketiga masing-masing terletak di Klebang dan Kampung Jawa, Melaka.

No comments:

Post a Comment