VaultSafeUall

Sunday 31 July 2011

BELUM ADA LAPORAN NEGATIF BIOBAHAN API B5

Sejak biobahan api B5 dilancarkan 1 Jun lepas, belum ada sebarang laporan mengenai kesan negatif hasil penggunaaannya.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Hamzah Zainudin berkata kementerian itu melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), telah melakukan pemantauan secara berkala dengan mengambil dan menguji sampel dari stesen minyak yang terlibat.

"Ujian mendapati biobahan api B5 tersebut berada pada paras yang sepatutnya dan sesuai untuk kegunaan kenderaan diesel," katanya kepada pemberita selepas pelancaran program B5 peringkat Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Negeri Sembilan merupakan negeri ketiga melaksanakan program B5 untuk sektor pengangkutan, selepas Putrajaya pada 1 Jun, yang melibatkan enam stesen minyak, serta di Melaka pada 1 Julai lepas, yang melibatkan 107 stesen minyak.

Katanya mulai Isnin, diesel yang dibekalkan kepada 156 stesen minyak di Negeri Sembilan mengandungi adunan biodiesel sawit.

"Mulai 1 Sept nanti, kita akan adakan program yang sama di Kuala Lumpur yang melibatkan 247 stesen minyak dan 1 Okt depan di Selangor sebanyak 634 stesen minyak. Ini bermakna setakat tahun ini sebanyak 1,150 stesen minyak di Wilayah Tengah menggunakan B5.

"Ini menunjukkan kita sudah pun mencapai satu angka yang boleh kita banggakan, walaupun ia agak kecil jika mengambil kira keseluruhan negara. Walaupun pada masa ini kita minta supaya kenderaan milik kerajaan menggunakan B5, ini tidak bermakna kita tidak menjemput "orang luar" menggunakan B5 berdasarkan banyak kebaikan menggunakan B5 ini.

"Alhamdulillah, kepada mereka yang telah menggunakan B5 dari Jun hingga hari ini, belum ada satu aduan pun berkenaan dengan penggunaan B5 dalam negara ini. Ini akan memberikan satu lagi cerita yang baik untuk negara kerana Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa beliau mahu kurangkan pengeluaran karbon dalam negara, sekurang-kurangnya menerusi penggunaan B5 ini," katanya.

B5 merujuk kepada penggunaan adunan 5 peratus metil ester sawit dengan 95 peratus diesel petroleum.

Hamzah berkata kajian menunjukkan bahawa penggunaan biodiesel sawit menyumbang kepada pengurangan sebanyak 50 peratus pelepasan gas rumah hijau berbanding diesel fosil.

"Biodiesel juga dapat meningkatkan prestasi enjin dan seterusnya menyumbang kepada pelepasan asap kenderaan yang lebih bersih," katanya.

Katanya program B5 ini tidak memberi implikasi kenaikan harga minyak memandangkan kerajaan akan terus menyediakan subsidi bagi memastikan harga runcit biobahan api B5 ini pada kadar yang sama dengan harga diesel petroleum.

Katanya sejak Februari 2009, penggunaan B5 telah dilaksanakan oleh agensi kerajaan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melibatkan 3,900 buah kenderaan berenjin diesel, dan sehingga kini, tiada sebarang laporan mengenai kesan negatif hasil daripada penggunaan B5.

Katanya Eropah dan Amerika Syarikat telah memperkenal penggunaan adunan biodiesel dengan diesel sejak awal 2000-an.

"Negara Thailand telah melaksanakan adunan B2 (2 peratus biodiesel dalam diesel) secara mandatori bermula April 2008. Selain itu, Filipina telah mewajibkan penggunaan adunan B1 (1 peratus biodiesel dalam diesel) sejak Mei 2007. Mulai tahun 2006, Indonesia telah menggunakan B5 di bandar dan daerah terpilih," katanya.

No comments:

Post a Comment