VaultSafeUall

Wednesday 20 July 2011

KLCC UNJUR PEROLEHAN MENINGKAT RM100 JUTA

KLCC Property Holdings Bhd yang memiliki pelbagai portfolio hartanah, termasuk sebuah hotel mewah, sebahagian besar di kawasan Pembangunan KLCC, mengunjurkan perolehannya meningkat kepada RM100 juta dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2012.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Hashim Wahir berkata unjuran yang lebih tinggi dalam tahun kewangan baharu itu adalah berasaskan impak ketara yang dijangkakan hasil penyiapan dan operasi penuh menara pejabat Lot C di kawasan pembangunan KLCC pada awal 2012.

"Operasi runcit di Lot C pada September juga dijangka meningkatkan keuntungan kumpulan," kata Wahir selepas mesyuarat agung tahunan KLCC Property.

Pusat membeli-belah enam tingkat di Suria KLCC, kata Wahir, bakal menyaksikan tambahan 140,000 kaki persegi kawasaan bersih boleh disewa menerusi pembukaan perniagaan runcit Lot C.

Semalam, Sapura Resources Bhd menandatangani perjanjian usaha sama dengan KLCC (Holdings) Sdn Bhd, antara pemegang saham terbesar KLCC Property, bagi pembangunan tanah berukuran 7,605 meter persegi bersebelahan Pusat Konvensyen KLCC.

"Peranan kami dalam pembangunan ini adalah dalam bentuk perkhidmatan, dengan menggunakan keupayaan kami untuk mengurus bangunan pejabat dan runcit," katanya.

Selepas Lot C, beliau berkata pembangunan seterusnya, yang dijadual dilancar dalam tempoh setahun, membabitkan kawasan berdekatan Mandarin Oriental Hotel, Kuala Lumpur dengan keluasan 1.4 ekar. Ia dijangkakan membabitkan projek pembangunan bercampur.

KLCC Property, pemilik Kompleks Dayabumi, mencadangkan dividen akhir tujuh peratus sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2011.

Ini menjadikan jumlah dividen bagi tahun ini kepada 12 peratus sesaham, pembayaran tertinggi sejak penyenaraian syarikat pada 2004.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2011, keuntungan bagi tahun itu selepas kepentingan minoriti berjumlah RM706 juta, peningkatan sembilan peratus berbanding tahun sebelumnya.

No comments:

Post a Comment