VaultSafeUall

Saturday 30 July 2011

TERENGGANU TIMBANG PERMOHONAN PERWAJA

Kerajaan Negeri Terengganu sedia menimbang bagi memberi kelulusan kepada Perwaja Holdings Berhad untuk melombong bijih besi di Bukit Besi, Dungun bagi kegunaan syarikatnya.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, berkata kerajaan Terengganu akan memberi kerjasama kepada Perwaja untuk menjalankan kerja-kerja mengeluarkan bijih besi bagi kegunaan kilang barunya di Kemaman.

"Kita sedia bekerjasama dengan Perwaja untuk mengeluar dan memproses bijih besi berkenaan dengan syarat Perwaja perlu memenuhi syarat iaitu 60 peratus pekerjaan diberi peluang kepada anak tempatan.

"Mengikut kajian yang dijalankan selepas kerja-kerja melombong bijih besi oleh British sehingga 1971, masih terdapat lagi kira-kira 50 juta tan metrik bijih besi bermutu tinggi di kawasan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan upacara pecah tanah Loji Concentration and Pelletizing Perwaja bersebelahan Perwaja Steel di kawasan perindustrian Telok Kalong di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Perwaja Holdings Berhad Tan Sri Abu Sahid Mohamed.

Perwaja Holodings Berhad melabur RM400 juta bagi membina loji berkenaan yang mampu mengeluarkan sebanyak 1.2 juta tan metrik besi pilet bagi fasa pertama tahun depan dan 2.4 juta tan metrik bagi fasa kedua pada 2013.

Loji Consentration and Pelletizing merupakan logi pertama di Asia Tenggara, dijangka siap pada Ogos atau September tahun depan dengan mampu menyediakan peluang pekerjaan sehingga 3,000 orang.

Katanya, selain Perwaja, terdapat beberapa syarikat lain memohon untuk menjalankan kerja melombong di Bukit Besi, tetapi sehingga ini kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan.

Ahmad berkata selain bijih besi di Bukit Besi, terdapat beberapa kawasan lain seperti di daerah Kemaman yang dipercayai mengandungi kira-kira 25 juta tan metrik bijih besi yang masih belum diusahakan.

Sementara itu, Abu Sahid berkata, sebelum ini Perwaja mengimpot bijih besi daripada beberapa negara luar seperti Brazil, Sweden dan lain-lain bagi kegunaan kilangnya.

Beliau berkata dengan persetujuan kerajaan negeri untuk membenarkan Perwaja mengeluarkan biji besi di negeri itu, syarikat akan dapat menjimatkan kos operasi.

"Dengan persetujuan kerajaan itu, kita akan menggunakan sepenuhnya bijih besi dari Terengganu untuk operasi loji baru kita di Kemaman ini," katanya.

No comments:

Post a Comment