VaultSafeUall

Thursday 14 July 2011

BANDAR GETAH BERSEPADU DI PADANG TERAP

Tradewinds Plantations Bhd., (TPB) merancang membina bandar getah bersepadu di Kota Putra dekat Padang Terap, Kedah dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
 
Kawasan seluas 11,000 hektar itu dijangka lengkap dengan pelbagai kemudahan dan mempunyai pelbagai aktiviti dan operasi perkilangan membabitkan industri getah.

Pengerusinya, Datuk Wira Syed Abdul Jabbar Shahabudin berkata, bandar getah tersebut dijangka menarik pelaburan hebat dari luar dan dalam negara.

Katanya, lokasi Kota Putra yang berada di sempadan Thailand turut dijangka dapat menarik pelaburan dari negara jiran terdekat itu.

''Kami masih di peringkat pelan induk perancangan. Bandar tersebut dijangka menampilkan kemudahan bertaraf dunia, piawaian tempat tinggal dan persekitaran kerja yang berkualiti serta baik,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat agung luar biasa (EGM) TPB di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif TPB, Chan Seng Fatt, Pengarah Urusan Padiberas Nasional Bhd., (Bernas) Bakry Hamzah, dan Ketua Pegawai Eksekutif Mardec Bhd., Khalid Bahsoon.

Pada mesyuarat hari ini, para pemegang saham telah meluluskan usul cadangan TPB untuk mengambil alih Mardec dengan harga RM140 juta pada Oktober depan.

Ketika ditanya mengapa TPB mengambil proses terlalu lama untuk mengambil alih Mardec, Syed Abdul Jabbar menjawab, pihaknya perlu mendapatkan kelulusan dan kebenaran daripada pelbagai pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Malaysia dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).

"Kami menjangka untuk mendapatkan kelulusan daripada EPU berhubung pengambilalihan Mardec akhir bulan ini,'' ujarnya.

Jelas Syed Abdul Jabbar, pihaknya dijangka menamatkan proses menanam pokok getah pada tahun 2014.

Katanya, pada waktu ini, pihaknya mempunyai 6,100 hektar tanah untuk ditanam dengan pokok getah di Kedah.

"Kami masih mempunyai 18,000 hektar tanah yang belum dibangunkan,'' ujarnya.
Seng Fatt menambah, TPB menjangkakan untuk menuai hasil getah sebanyak 2,000 tan metrik pada tahun depan.

Katanya, getah masih belum menjadi penyumbang tertinggi keuntungan TPB berbanding kelapa sawit.

Beliau memberitahu, dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, pihaknya menyasarkan untuk memperoleh 10 peratus keuntungan daripada sektor getah, tujuh hingga 10 peratus daripada Mardec dan 80 peratus masih daripada sektor kelapa sawit.

"TPB telah menanam kelapa sawit di kawasan seluas 102,000 hektar, 72,000 hektar daripadanya merupakan kawasan pokok matang manakala 30,000 daripadanya pokok masih muda.

"Syarikat turut merancang untuk menanam pokok kelapa sawit di kawasan baru seluas 6,000 hektar,'' ujarnya.

No comments:

Post a Comment