VaultSafeUall

Friday 29 July 2011

RIZAB ANTARABANGSA BNM RM407 BILION

Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM407 bilion pada 15 Julai, 2011, memadai untuk membiayai 9.7 bulan import tertangguh dan merupakan 4.5 kali hutang luar negara jangka pendek.

Dalam satu kenyataan mengenai perkembangan monetari dan kewangan bagi Jun, BNM berkata ringgit pada umumnya menyusut berbanding mata wang rakan dagangan utama Malaysia.

"Penyusutan ini sejajar dengan mata wang serantau lain, mencerminkan penghindaran risiko global yang semakin ketara di tengah-tengah kebimbangan terhadap krisis hutang kerajaan yang semakin meruncing di zon euro dan prospek ekonomi global yang berterusan tidak menentu," katanya.

BNM berkata pada Julai, ringgit mencatatkan prestasi bercampur-campur.

"Ringgit menambah nilai berbanding dengan dolar AS, euro dan renminbi China, namun menyusut nilai berbanding yen Jepun dan dolar Singapura," katanya.

Ia berkata kadar antara bank stabil pada Jun.

Dari segi kadar runcit, kadar pinjaman asas (BLR) purata bank perdagangan tidak berubah pada 6.54 peratus pada akhir bulan Jun, katanya.

Kata BNM dalam tempoh 5-7 Julai 2011, kadar purata antara bank semalaman adalah lebih rendah dan hampir kepada kadar terendah koridor kadar dasar semalaman (OPR).

"Ini disebabkan terutamanya oleh minat luar biasa yang ditunjukkan oleh peserta pasaran terhadap simpanan jangka pendek dengan BNM menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari," katanya.

Mudah tunai sektor swasta yang diukur oleh wang secara luas (M3), berkembang pada kadar tahunan yang lebih tinggi iaitu 12.4 peratus pada Jun.



"Peningkatan dalam M3 mencerminkan pemberian kredit oleh sistem perbankan kepada sektor swasta dan aliran masuk portfolio, katanya.

Ia berkata pembiayaan bersih kepada sektor swasta meningkat sebanyak RM24.1 bilion pada Jun, didorong oleh terbitan sekuriti hutang swasta (PDS).

"Terbitan PDS mweningkat disebabkan oleh beberapa terbitan yang besar, terutamanya oleh sektor bekalan elektrik, gas dan air, serta kerajaan dan perkhidmatan lain," kata BNM.

BNM berkata meskipun pinjaman terkumpul kepada sektor perniagaan dan isi rumah adalah lebih sederhana berbanding bulan sebelumnya dan ini disebabkan oleh pembayaran balik yang besar oleh sektor bekalan elektrik gas dan air, perkilangan; dan kewangan, insurans dan perkhidmatan perniagaan.



Sementara itu, katanya, permintaan terhadap pinjaman kekal kukuh dengan permohonan pinjaman yang lebih tinggi terutamanya daripada sektor perniagaan.

Permodalan sistem perbankan terus kukuh dengan nisbah modal wajaran risiko (RWCR) dan nisbah modal teras (CCR) masing-masing pada 13.9 peratus dan 12.3 peratus, kata Bank Negara.

No comments:

Post a Comment