VaultSafeUall

Thursday 7 July 2011

MAYBANK SASAR 30 RIBU PELANGGAN BARU

Malayan Banking Bhd. (Maybank) menyasarkan 30,000 pelanggan baharu dalam tempoh tiga tahun bagi kad kredit khas untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), MAS American Express Business Card yang dilancarkan semalam.
 
MAS American Express Business Card adalah hasil usahasama antara Maybank dengan Malaysian Airline System Bhd. (MAS) dan American Express bagi menarik pelanggan PKS yang dianggarkan lebih 540,000 syarikat.

Timbalan Presiden dan Ketua Perkhidmatan Kewangan Komunitinya, Lim Hong Tat berkata, ini merupakan kali pertama Maybank melancarkan kad kredit khas untuk PKS yang kerap melakukan penerbangan dalam operasinya.

''MAS American Express Business Card menawarkan diskaun dan ganjaran mata bonus yang lumayan untuk setiap transaksi yang dilakukan.

''Dengan itu, PKS boleh melakukan penjimatan untuk setiap penerbangan menerusi MAS ke mana sahaja dengan menggunakan kad kredit baharu tersebut,'' katanya selepas majlis pelancaran kad kredit berkenaan di sini semalam.

Turut hadir Naib Presiden American Express, Ketua Perkhidmatan Rangkaian Antarabangsa, Jepun, Asia Pasifik dan Australia, Kula Kulendran dan Naib Presiden Kanan Bahagian Jualan Malaysia MAS, Azman Ahmad.

Ketika ini Maybank memiliki lebih 1.5 juta pelanggan kad kredit, meningkat 17 peratus berbanding tahun lalu.

Sementara itu, Azman Ahmad berkata, kerjasama dengan Maybank merupakan langkah terbaik untuk MAS mendekati pelanggan PKS yang semakin meningkat bilangannya setiap tahun.

''Kami tidak kuat dalam pasaran PKS sebelum ini dan kerjasama adalah salah satu strategi mengukuhkan bahagian tersebut,'' jelasnya.

MAS American Express Business Card ditawarkan dalam dua pakej iaitu Platinum dan Gold dengan kedua-duanya menawarkan faedah penerbangan, ganjaran dan juga penjimatan yang komprehensif.

Pemegang kad berpeluang menikmati sehingga 100 peratus mata ganjaran Enrich Miles untuk perbelanjaan tempatan, lima peratus penjimatan untuk penerbangan antarabangsa MAS, diskaun 20 peratus untuk pembayaran melalui American Express dan 50 hari bebas kadar faedah untuk semua transaksi.

Bagi menghargai pelanggan terawal, pemegang kad akan memperolehi 10,000 mata ganjaran Enrich Miles untuk transaksi pertama dan peluang memenangi cabutan bertuah berupa dua tiket penerbangan pergi balik ke negara-negara Asia Tenggara terpilih.

No comments:

Post a Comment