VaultSafeUall

Monday 18 July 2011

PROTON ATASI PERODUA

Proton Holdings Bhd mengatasi Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) untuk menduduki kedudukan teratas dalam jualan kereta pada separuh pertama tahun ini dengan 74,519 unit dijual berbanding Perodua sebanyak 62,584.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam laporan kajian pasaran yang dikeluarkan Isnin berkata jualan Proton meningkat daripada 65,918 yang dilihat pada tempoh yang sama tahun lepas tetapi Perodua mencatatkan penurunan daripada 71,375 sebelumnya.

Bagi jualan segmen kereta bukan nasional, Toyota di tempat pertama dengan 21,653 unit dijual pada separuh pertama walaupun penurunan daripada 25,697 unit dijual sebelumnya, diikuti oleh Honda dengan jualan sebanyak 15,807 unit berbanding dengan 18,796 unit.

Jumlah kereta penumpang pada Jun sebanyak 4,255 unit atau 9.2 peratus lebih rendah berbanding bulan sebelumnya.

Antara faktor-faktor yang menyumbang kepada prestasi yang kurang memberangsangkan termasuk kesan gempa bumi dan tsunami yang berlaku pada Mac terhadap bekalan dari Jepun serta pelaksanaan pindaan Akta Sewa Beli 1967.

Menurut MAA, pindaan akta berkenaan menjadikan proses penyelesaian jualan mengambil masa yang menyebabkan kelewatan pendaftaran kenderaan baru.

Bagaimanapun, persatuan mengunjur jualan akan lebih baik pada separuh kedua tahun ini dengan pengeluaran dijangka pulih ke paras normal mulai Ogos serta dengan pengenalan model baru.

Namun begitu, MAA menyemak turun unjuran jualan industri kenderaan bagi tahun ini kepada 608,000 unit, daripada anggaran awal sebanyak 618,000. Tahun lepas jumlah jualan industri sebanyak 605,156 unit.

No comments:

Post a Comment